20081204
Pemaju didakwa mungkir janji
Berita Harian 3 Dis 08
SEREMBAN: Seramai 105 pembeli rumah Fasa 3 Taman Tuanku Ja'afar, Senawang, dekat sini, kecewa kerana pemaju projek perumahan itu, Naga Sakti Sdn Bhd, didakwa mungkir janji apabila gagal menyiapkan rumah dibeli mengikut jadual.
Projek perumahan yang membabitkan rumah teres setingkat, separuh berkembar dan banglo berharga antara RM110,000 hingga RM200,000 itu sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun selepas menandatangani perjanjian jual beli pada 2005, tetapi projek itu bukan saja terbengkalai, malah tiada aktiviti pembinaan dilaksanakan di tapak itu kecuali dua unit rumah banglo contoh sudah diliputi semak.
Berikutan itu, pembeli hilang sabar kerana selain terpaksa menyewa rumah, mereka juga membayar ansuran bulanan dengan institusi kewangan antara RM800 hingga RM1,500 sebulan sejak 2005 dan ada antara pembeli berkenaan sudah mengeluarkan belanja antara RM10,000 hingga RM45,000 tidak termasuk bayaran perjanjian jual beli dikenakan pemaju.
Jurucakap kumpulan pembeli rumah berkenaan, P Rajasegar, berkata dia sudah membelanjakan kira-kira RM45,000 untuk membayar ansuran rumah banglo yang dibeli di tapak projek itu tetapi sehingga kini bukan saja rumah yang diharapkan dapat diduduki, malah tiada struktur rumah dibangunkan di tapak berkenaan.
Menurutnya, pihaknya sudah beberapa kali bertanya kepada pemaju tetapi kakitangan syarikat itu memberikan pelbagai helah termasuk memberitahu pembinaan rumah itu dipertanggungjawabkan kepada sebuah syarikat lain iaitu D2B Management Sdn Bhd (D2B) sedangkan perjanjian jual beli dibuat dengan Naga Sakti.
"Kami kecewa dengan tindakan pemaju yang cuba lepas tangan terhadap projek itu sedangkan ramai pembeli sudah mengeluarkan banyak wang. Pemaju memberikan alasan tidak munasabah termasuk kenaikan harga bahan binaan dan bahan api menyebabkan projek tergendala sedangkan kenaikan bahan berkenaan baru berlaku tahun ini.
"Pemaju terbabit juga cuba memaksa pembeli menandatangani perjanjian jual beli dengan skop pembinaan baru antaranya mengecilkan kawasan binaan rumah, selain dikenakan bayaran tambahan kira-kira RM10,000," katanya.
Husaini Hussain, 41, berkata pihaknya kesal dengan tindakan pemaju yang hanya meninggalkan tanah kosong tanpa melakukan sebarang pembinaan rumah sedangkan potongan bank kira-kira RM1,500 sebulan sudah dibuat sebaik menandatangani perjanjian jual beli.
Dia yang membeli rumah banglo bernilai RM200,000 kini terpaksa menyewa di Taman Senawang Jaya selepas rumah yang dijanjikan pemaju dan sepatutnya siap tahun lalu atau selewat-lewatnya awal tahun ini hanya tinggal harapan.
"Saya minta pihak berkuasa khususnya kerajaan negeri campur tangan kerana ia membabitkan kepentingan pembeli dan kami tidak sanggup lagi menanggung kerugian kerana terpaksa membayar ansuran bulanan bank dan menyewa kediaman lain," katanya.
Sementara itu, kumpulan pembeli berkenaan yang mengadakan pertemuan dengan kakitangan pemaju di pejabat Naga Sakti tidak jauh dari kawasan tapak projek perumahan itu, kelmarin bagaimanapun masih gagal menyelesaikan masalah itu apabila pemaju tidak memberikan jaminan untuk menyiapkan projek rumah berkenaan.
Sebaliknya, pemaju masih berdolak-dalik dengan mengatakan projek itu adalah tanggungjawab D2B selain meletakkan kesalahan kepada pembeli.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Wilayah/20081203101703/Article/index_html
Langgan:
Catatan (Atom)