20111130

Tujuh tahun tunggu rumah disiapkan

Tujuh tahun tunggu rumah disiapkan
Utusan Malaysia, 29 Nov 2011

APABILA membaca surat daripada Terkedu dalam ruangan ini pada 21 November 2011 dari Cheras, saya ingin berkongsi pengalaman membeli rumah pangsa yang sama. Apabila rumah pangsa tersebut terbengkalai, saya mendapat banyak surat amaran daripada peguam syarikat kewangan untuk membayar pinjaman perumahan. Ini tidak termasuk panggilan telefon yang tidak berhenti-henti walau pun hari Sabtu, sekalipun berkali-kali saya memberitahu bahawa rumah itu terbengkalai.

Saya telah menulis surat ke semua kementerian dan jabatan berkenaan, disalinkan kepada semua pihak-pihak yang saya harap dapat membantu termasuk YB di kawasan tersebut. Sehingga sekarang saya masih menunggu surat jawapan daripada Jabatan Perumahan Negara walaupun surat yang saya hantar sudah melebihi sebulan lamanya.

Saya juga mendapat panggilan untuk hadir ke mesyuarat Projek Perumahan Terbengkalai pada 14 November 2011 tetapi telah dibatalkan pada saat akhir.

Untuk pengetahuan Terkedu, kebanyakan pembeli terdiri daripada kumpulan sokongan kakitangan kerajaan, terdiri daripada pemandu, pembantu am rendah dan pengawal keselamatan. Ada pembelinya sudah meninggal dunia, ada juga pembeli sudah disenarai hitam oleh bank.

Untuk pengetahuan Terkedu, saya juga terpaksa membayar faedah bank dan masih tinggal di kuarters kerajaan. Saya telah berusaha pelbagai cara agar rumah pangsa itu dapat dipulihkan dan dapat diduduki walaupun sudah tujuh tahun menanti.

TERANIAYA
Putrajaya

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_04.htm

20111124

290 pembeli cuba dimufliskan kerana rumah terbengkalai



290 pembeli cuba dimufliskan kerana rumah terbengkalai
24 Nov 2011

Seramai 290 pembeli rumah dalam proses untuk dimufliskan pihak bank setelah gagal membayar pinjaman pembelian rumah yang terbengkalai.

Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Tunku Azwil Tunku Abd Razak berkata seramai 19 pembeli rumah telah dimufliskan oleh pihak bank atas sebab sama.

"Dua angka ini merupakan mereka yang membuat aduan kepada PPIM namun, kami percaya ramai lagi yang menjadi mangsa. PPIM akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu mereka.

"PPIM akan menggunakan segala saluran dan tindakan undang-undang yang ada untuk membantu mangsa ini mendapatkan keadilan," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata antara lain PPIM akan membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan.

"Kami dapati kes-kes ini mengandungi unsur-unsur penipuan yang menindas mereka yang tidak bersalah," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zaki, 43, yang menjadi mangsa projek perumahan terbengkalai di Klang, berkata projek itu dibangunkan pada 1999 tetapi dihentikan sejak 2001.

"Saya terpaksa membayar balik pinjaman sebanyak RM93,000 kepada pihak bank walaupun rumah yang dijanjikan baru dinaikkan satu tiang. Status projek berhampiran Pulau Indah itu juga tiada dalam rekod Majlis Perbandaran Klang," katanya.

Selain itu, mangsa penipuan pinjaman kenderaan, yang telah disenaraihitamkan pihak bank, juga meminta bantuan PPIM untuk menyelesaikan kes mereka.

Zilah Mahmood, 34, berkata pihak bank menghantar penyata bank sebagai bukti pinjaman yang kononnya dibuat olehnya dengan jaminan isterinya, sedangkan pada ketika itu dia belum berkahwin dan tidak mengenali penjamin itu.

"Saya terkejut kerana pendapatan bulanan saya tidak mencecah RM1,000 pun sebulan, mana mungkin saya mampu untuk memiliki kenderaan sendiri, inikan pula dua buah kereta sekaligus," katanya.
Zameri Zakeria, 47, turut mengalami situasi sama apabila namanya disenaraihitamkan pada 1997 setelah didakwa berhutang RM29,136 untuk 48 ansuran bulanan bagi kenderaan Proton Saga, yang tidak pernah dimilikinya.

"Nama saya tertulis di atas penyata bank dikeluarkan, tetapi tanda tangan itu bukan milik saya. Saya telah membuat pengesahan di Jabatan Forensik, dan hasil pengesahan jabatan membuktikan tanda tangan itu bukan milik saya," katanya.

- Bernama
http://malaysiakini.com/news/182241

RM60,000 atau bankrap



RM60,000 atau bankrap
24 Nov 2011

KUALA LUMPUR: “Bagaimana saya hendak bayar pinjaman perumahan kepada bank sedangkan hanya sebatang tiang didirikan pemaju,” demikian keluhan Ahmad Zaki Samuri, 43, pembeli projek perumahan Yamin Height di Pulau Indah, Klang, yang terbengkalai sejak 2001.

“Kini bank mahu saya melunaskan pinjaman sehingga RM93,000 walaupun pemaju hanya menyiapkan satu peratus daripada projek berkenaan.

“Selepas rundingan, pihak bank mengurangkan bayaran itu kepada RM60,000 dan saya perlu membayarnya sehingga langsai jika tidak mahu diisytiharkan muflis,” katanya dalam sidang media anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini semalam.

Bagaimanapun, jumlah itu masih terlalu tinggi selain menganggap tidak perlu membayar sesen pun kepada pihak bank berikutan rumah yang dibeli tidak siap.

“Malah, saya juga tidak dimaklumkan mengenai tindakan mahkamah pada 2009 sedangkan pihak bank mempunyai nombor telefon saya,” katanya.

Ahmad Zaki bakal muflis sekiranya gagal melantik peguam pertengahan Disember ini, untuk membuat rayuan selepas dijatuhkan hukuman itu di peringkat Mahkamah Seksyen pada 2009.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RM60_000ataubankrap/Article/index_html

Lapan tahun tunggu rumah siap

Lapan tahun tunggu rumah siap
24 Nov 2011



Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli RKR Peter Brickworks E PJS 1, M.Sugumaran (kiri) bersama beberapa penduduk menunjukkan tanah yang sepatutnya dibangunkan rumah mereka di Petaling Jaya, baru-baru ini.

PETALING JAYA 23 Nov. – Penantian selama lapan tahun bukan satu tempoh yang singkat, namun itulah jangka masa yang sudah dilalui oleh pembeli Rumah Kos Rendah (RKR) Peter Brickworks E PJS 1 dekat sini yang masih terbengkalai sehingga kini.

Bukan itu sahaja, penduduk juga terpaksa hidup dalam keadaan tertekan kerana menanggung pelbagai kos termasuk bayaran rumah sewa dan faedah bank setiap bulan.

Malahan, nasib pembeli yang tinggal di rumah panjang Peter Brickworks juga amat menyedihkan kerana terpaksa tinggal di rumah yang serba kekurangan dan tidak disenggara oleh pihak yang bertanggungjawab.

Seorang pembeli, M. Subramaniam, berkata, dia sudah tinggal di rumah panjang itu selama 14 tahun kerana menunggu rumahnya yang masih tidak menunjukkan tandatanda bila ia akan dibina.

Katanya, keadaan rumah itu juga sudah daif kerana terdapat banyak keretakan, bumbung yang bocor serta dilanda banjir kilat setiap kali hujan.

“Kira-kira 30 buah keluarga terpaksa tinggal di rumah panjang ini kerana rumah kami yang dijanjikan dahulu masih lagi terbengkalai.

“Keadaan rumah panjang ini juga tidak dijaga walaupun sudah beberapa kali kami mengadu kepada pemaju. Ini membuatkan penduduk tinggal dalam keadaan yang tidak selesa,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Seorang lagi pembeli, P. Bala Subramaniam, 48, berkata, dia terpaksa menanggung pelbagai kos sampingan terutama sewa rumah kerana masih belum dapat tinggal di rumah sendiri.

“Saya juga terpaksa membayar faedah pinjaman setiap bulan pada bank sejak rumah itu dibeli.

“Apa yang saya tidak faham ialah bagaimana kerajaan negeri (Selangor) masih membenarkan pemaju ini membuat projek pembangunan di tempat lain sedangkan rumah kami yang terbengkalai selama lapan tahun masih tidak dibina,” ujarnya.

Dalam pada itu, pembeli, Hoo Pong San, 63, berkata, pada mula-mula projek RKR itu akan dijalankan, pemaju berjanji bahawa ia hanya mengambil masa tiga tahun sahaja.

“Rumah itu sepatutnya sudah siap tapi sampai sekarang tak siap-siap lagi dan disebabkan itu saya terpaksa menyewa rumah lain dengan kadar RM450 sebulan,” jelasnya.

Katanya, jumlah itu agak tinggi sedangkan dia boleh berjimat jika rumah yang dibelinya itu siap mengikut jadual.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_01.htm

20111115

Kecewa dengan projek perumahan Vista Minintod SPNB



Kecewa dengan projek perumahan Vista Minintod SPNB
Aduan Rakyat , 15 Nov 2011

Saya adalah salah seorang pembeli perumahan SPNB Vista Minintod, Penampang, Sabah yang kecewa. Indah khabar dari rupa. Cakap tak serupa bikin. Hangat-hangat tahi ayam. itulah yang peribahasa yang sesuai diberi kepada spnb. badan ini di bawah kementerian kewangan sangat tidak bertanggunjawab terhadap pembeli yang menanggung bayaran setiap bulan tapi rumah yang dibeli tidak siap-siap.

Sewaktu saya membeli rumah ini pada tahun 2008. dijanjikan rumah itu akan siap pada awal tahun 2010. tetapi sekarang sudah penghujung 2011. saya datang ke tapak projek rumah itu tidak ada tanda-tanda untuk siap.

Inikah kerajaan yang boleh dipercayai?? rumah rakyat yang dibeli dan dibayar tiap bulan oleh pembeli belum dapat disiapkan. inikah kerajaan yang berkebajikan seperti yang dinyatakan sewaktu belanjawan 2011….

Halalkah pendapatan pegawai-pegawai spnb kerana hampir setiap hari pembeli yang menanggung kesengsaraan membayar balik pinjaman pada pihak bank mengutuk mereka???

Harapan kami agar pihak yang berkenaan ambil tindakan segera…

By: Majunta

Sumber : http://www.aduanrakyat.com.my/kecewa-dengan-projek-perumahan-vista-minintod-spnb

20111113

Kurang 50 peratus rumah terbelangkai berjaya dipulih

Kurang 50 peratus rumah terbelangkai berjaya dipulih
Nov 13, 2011

Hanya 83 daripada 167 projek perumahan yang diisytiharkan terbengkalai sejak 2009 berjaya dipulihkan sehingga akhir bulan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Chor Chee Heung.

"Sebanyak 62 projek atau 37 peratus lagi sedang dipulihkan dan berada dalam pelbagai peringkat kemajuan manakala baki 22 projek kini dalam perancangan untuk dipulihkan," katanya ketika merasmikan Seminar Perumahan Kebangsaan anjuran bersama KPKT dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) dan Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, kejayaan itu dengan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri yang memberi manfaat kepada 9,278 pembeli yang menunggu sekian lama untuk memiliki rumah.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Ahmad Kabit, Presiden Rehda, Datuk Seri Michael Yam dan Setiausaha Agung Kehormat HBA Chang Kim Loong.

Chor berkata, kebanyakan kes projek perumahan terbengkalai membabitkan pemaju tidak berlesen yang mengambil peluang mengaut keuntungan ekoran kurang kesedaran pembeli mengenai hak mereka sebagai pembeli seperti yang terkandung dalam surat perjanjian jual beli (S&P).

Beliau berkata, kebanyakan kes rumah terbengkalai yang dilaksanakan pemaju tanpa lesen pula menunjukkan pembeli rumah tidak memahami aspek asas sebelum membeli rumah, iaitu pemaju memerlukan lesen pemajuan perumahan daripada kementerian.

"Prihatin dengan keperluan rakyat khususnya dalam isu perumahan terbengkalai, kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai untuk memantau dan memulihkan projek-projek perumahan yang terbengkalai di seluruh negara," katanya.

"Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM63 juta untuk memulihkan 1,270 unit rumah terbengkalai dengan keutamaan kepada kos rumah rendah melalui Belanjawan 2012 yang lalu, dan peruntukan itu adalah bukti keperihatinan dan komitmen kerajaan terhadap masalah ini," katanya.

Chor turut menyarankan supaya laman sesawang Jabatan Perumahan Negara (JPN) yang kini hanya memaparkan syarikat pemaju perumahan berlesen tanpa menyatakan butiran terperinci pemaju seperti tarikh tamat lesen, hendaklah juga memasukkan beberapa maklumat tambahan bagi memudahkan pembeli membuat rujukan sekiranya ingin membeli sesuatu hartanah.

Beliau turut menasihatkan bakal pembeli agar jangan terlalu ghairah dan terpengaruh apabila melihat sesuatu pelancaran perumahan dengan terus membuat bayaran pendahuluan dan menandatangani dokumen pembelian tanpa terlebih dahulu membuat semakan dengan jabatan perumahan.

Sementara itu, Ahmad berkata isu perumahan terbengkalai sepatutnya tidak lagi berlaku jika Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa dalam meluluskan kebenaran merancang, kelulusan pelan bangunan serta tanah lebih efektif menangani perkara itu.

- Bernama
http://www.malaysiakini.com/news/181238