20111130

Tujuh tahun tunggu rumah disiapkan

Tujuh tahun tunggu rumah disiapkan
Utusan Malaysia, 29 Nov 2011

APABILA membaca surat daripada Terkedu dalam ruangan ini pada 21 November 2011 dari Cheras, saya ingin berkongsi pengalaman membeli rumah pangsa yang sama. Apabila rumah pangsa tersebut terbengkalai, saya mendapat banyak surat amaran daripada peguam syarikat kewangan untuk membayar pinjaman perumahan. Ini tidak termasuk panggilan telefon yang tidak berhenti-henti walau pun hari Sabtu, sekalipun berkali-kali saya memberitahu bahawa rumah itu terbengkalai.

Saya telah menulis surat ke semua kementerian dan jabatan berkenaan, disalinkan kepada semua pihak-pihak yang saya harap dapat membantu termasuk YB di kawasan tersebut. Sehingga sekarang saya masih menunggu surat jawapan daripada Jabatan Perumahan Negara walaupun surat yang saya hantar sudah melebihi sebulan lamanya.

Saya juga mendapat panggilan untuk hadir ke mesyuarat Projek Perumahan Terbengkalai pada 14 November 2011 tetapi telah dibatalkan pada saat akhir.

Untuk pengetahuan Terkedu, kebanyakan pembeli terdiri daripada kumpulan sokongan kakitangan kerajaan, terdiri daripada pemandu, pembantu am rendah dan pengawal keselamatan. Ada pembelinya sudah meninggal dunia, ada juga pembeli sudah disenarai hitam oleh bank.

Untuk pengetahuan Terkedu, saya juga terpaksa membayar faedah bank dan masih tinggal di kuarters kerajaan. Saya telah berusaha pelbagai cara agar rumah pangsa itu dapat dipulihkan dan dapat diduduki walaupun sudah tujuh tahun menanti.

TERANIAYA
Putrajaya

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_04.htm

Tiada ulasan: