20100325

Bimbang rumah tak siap jadi sarang penagih

2010/03/25

TEMIANG: Penduduk berhampiran sebuah projek pembinaan rumah teres terbengkalai dekat Taman Temiang Jaya di sini bimbang projek terbengkalai itu bukan sekadar menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, malah sarang penagih dadah.

Terdapat 13 unit rumah terbengkalai di kawasan itu yang kini ditumbuhi semak samun menyebabkan penduduk mendakwa persekitaran tidak terurus boleh menyebabkan nyamuk aedes membiak di tempat yang mempunyai takungan air dalam bangunan.

Tinjauan Berita Harian mendapati rumah terbengkalai itu terletak berhampiran kediaman penduduk menuntut pihak berwajib melakukan pembersihan kawasan berkenaan dengan segera. Peniaga, S Devi, 30, berkata projek itu yang terbengkalai sejak beberapa tahun lalu juga dikhuatiri menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian. "Kami penduduk pun tidak berani masuk ke dalam bangunan terbengkalai dan ini memudahkan tempat itu menjadi sarang penagih dadah,” katanya.

Beliau juga bimbang semak samun mengelilinginya menjadi sarang binatang berbisa seperti ular dan lipan yang boleh mengancam keselamatan penduduk sekitar, terutama kanak-kanak yang bermain berdekatan kawasan itu.

Bagaimanapun, A Vasanthakumaran, 21, berpendapat penduduk tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membersihkan semak samun itu.

Katanya, penduduk sepatutnya harus mengambil inisiatif sendiri untuk membersihkan kawasan itu dengan mengadakan gotong royong dari semasa ke semasa dan pada peringkat permulaan, boleh mendapatkan bantuan PBT.

“Selepas semak samun tebal dibuang, penduduk hanya perlu memastikan keadaan bersih dikekalkan dan ini tidak terlalu sukar," katanya.

Vasanthakumaran berkata, gotong royong juga dapat membantu mencegah kes demam denggi di sekitar taman ini yang dipercayai turut berpunca dari projek terbengkalai kerana nyamuk aedes boleh membiak dalam tempat air bertakung dalam rumah terbengkalai.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_Bimbangrumahtaksiapjadisarangpenagih/Article