Kurang 50 peratus rumah terbelangkai berjaya dipulih
Nov 13, 2011
Hanya 83 daripada 167 projek perumahan yang diisytiharkan terbengkalai sejak 2009 berjaya dipulihkan sehingga akhir bulan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Chor Chee Heung.
"Sebanyak 62 projek atau 37 peratus lagi sedang dipulihkan dan berada dalam pelbagai peringkat kemajuan manakala baki 22 projek kini dalam perancangan untuk dipulihkan," katanya ketika merasmikan Seminar Perumahan Kebangsaan anjuran bersama KPKT dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) dan Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, kejayaan itu dengan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri yang memberi manfaat kepada 9,278 pembeli yang menunggu sekian lama untuk memiliki rumah.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Ahmad Kabit, Presiden Rehda, Datuk Seri Michael Yam dan Setiausaha Agung Kehormat HBA Chang Kim Loong.
Chor berkata, kebanyakan kes projek perumahan terbengkalai membabitkan pemaju tidak berlesen yang mengambil peluang mengaut keuntungan ekoran kurang kesedaran pembeli mengenai hak mereka sebagai pembeli seperti yang terkandung dalam surat perjanjian jual beli (S&P).
Beliau berkata, kebanyakan kes rumah terbengkalai yang dilaksanakan pemaju tanpa lesen pula menunjukkan pembeli rumah tidak memahami aspek asas sebelum membeli rumah, iaitu pemaju memerlukan lesen pemajuan perumahan daripada kementerian.
"Prihatin dengan keperluan rakyat khususnya dalam isu perumahan terbengkalai, kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai untuk memantau dan memulihkan projek-projek perumahan yang terbengkalai di seluruh negara," katanya.
"Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM63 juta untuk memulihkan 1,270 unit rumah terbengkalai dengan keutamaan kepada kos rumah rendah melalui Belanjawan 2012 yang lalu, dan peruntukan itu adalah bukti keperihatinan dan komitmen kerajaan terhadap masalah ini," katanya.
Chor turut menyarankan supaya laman sesawang Jabatan Perumahan Negara (JPN) yang kini hanya memaparkan syarikat pemaju perumahan berlesen tanpa menyatakan butiran terperinci pemaju seperti tarikh tamat lesen, hendaklah juga memasukkan beberapa maklumat tambahan bagi memudahkan pembeli membuat rujukan sekiranya ingin membeli sesuatu hartanah.
Beliau turut menasihatkan bakal pembeli agar jangan terlalu ghairah dan terpengaruh apabila melihat sesuatu pelancaran perumahan dengan terus membuat bayaran pendahuluan dan menandatangani dokumen pembelian tanpa terlebih dahulu membuat semakan dengan jabatan perumahan.
Sementara itu, Ahmad berkata isu perumahan terbengkalai sepatutnya tidak lagi berlaku jika Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa dalam meluluskan kebenaran merancang, kelulusan pelan bangunan serta tanah lebih efektif menangani perkara itu.
- Bernama
http://www.malaysiakini.com/news/181238
Tiada ulasan:
Catat Ulasan