20111024

Mount Austin terbengkalai

Mount Austin terbengkalai
Berita Harian
24 Okt 2011

200 pembeli pangsapuri kos rendah rayu kerajaan campur tangan

JOHOR BAHRU: Lebih 200 pembeli pangsapuri kos rendah Taman Mount Austin di sini, merayu Kerajaan Pusat dan negeri campur tangan menyelesaikan masalah perumahan yang terbengkalai sejak lapan tahun lalu.

Lebih mengusutkan masalah pembeli terbabit, pemaju gagal dikesan apabila pejabat urusannya sudah dipindahkan sekali gus menambahkan kebimbangan kepada golongan berpendapatan rendah yang masing-masing sudah membayar pendahuluan serta mengambil pinjaman bank.

Penduduk tidak mampu menyediakan peguam untuk membawa masalah ini ke mahkamah. Kami merayu kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam dapat campur tangan. - Suhaini Mat Isa, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Projek, Terbengkalai Taman Mount Austin Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Projek Terbengkalai Taman Mount Austin, Suhaini Mat Isa, berkata menerusi memorandum diserahkan kepada kerajaan negeri, pihaknya mengharapkan sokongan dan simpati kerajaan bagi menyelesaikan isu projek terbabit.

"Pelbagai saluran sudah kami gunakan bagi mencari penyelesaian terbaik, namun sehingga kini belum menemui sebarang penyelesaian, sedangkan ansuran pinjaman perlu dibayar.

"Justeru, penduduk berharap isu ini tidak dipolitikkan kerana kerajaan mempunyai kuasa melantik pemaju baru apabila projek gagal disiapkan mengikut tempoh. Kami hanya berharap hak kami dipenuhi kerana kami bukan berpendapatan tinggi untuk membeli rumah baru di tempat lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Johor, Mohd Haffiz Ahmad, di Pejabat Menteri Besar dekat Nusajaya, kelmarin. Hadir sama, Naib Pengerusinya jawatankuasa itu, Cong Werry.

Suhaini berkata, pihaknya berharap kerajaan memperuntukkan dana secukupnya bagi memulihkan projek terbengkalai yang setakat ini semakin meningkat selain meminta pihak terbabit segera mengambil langkah segera sebagai membuktikan pencapaian diutamakan, rakyat didahulukan.

"Penduduk tidak mampu menyediakan peguam untuk membawa masalah ini ke mahkamah. Justeru, penduduk merayu kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam dapat campur tangan.

'Kami juga bercadang mahu membuat laporan polis bagi memastikan pemaju tidak sewenang-wenang melepaskan tanggungjawab mereka dengan meninggalkan projek terbengkalai,” katanya.

Sementara itu, pekerja kilang, Nor Hashimah Sahat, 34, berkata beliau sudah membayar lebih RM20,000 sebagai bayaran pendahuluan rumah selain menjelaskan ansuran bulanan kepada bank, hampa apabila rumah yang dibina sejak 2004 gagal disiapkan sehingga kini.
"Penantian kami selama ini sia-sia apabila rumah tidak disiapkan seperti dijanjikan, malah paling mengecewakan hanya tapak rumah yang ditinggalkan apabila pemaju menghilangkan diri,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MountAustinterbengkalai/Article

Tiada ulasan: