20111024

Rumah terbengkalai 10 tahun

Rumah terbengkalai 10 tahun
Utusan Malaysia 24 Okt 2011



Sebahagian pembeli rumah Taman Desa Kempas mengadakan piket secara aman berhubung isu kelewatan projek berkenaan disiapkan, di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 23 Okt. - Kira- kira 100 pembeli rumah Taman Desa Kempas mengadakan demonstrasi aman menuntut penjelasan daripada pihak pemaju berhubung projek perumahan tersebut yang terbengkalai sejak lebih 10 tahun lalu.

Beberapa pembeli mendakwa mereka terpaksa menanggung kerugian termasuk kos bayaran rumah sewa dan ansuran pinjaman perumahan kepada pihak bank setiap bulan sejak 2003.

Salah seorang pembeli, Chan Hwa Nong, 38, berkata, dia membeli sebuah rumah kos rendah berharga RM22,000 pada 2000 semasa tawaran pembelian di sebuah pusat beli-belah di sini.

''Rumah itu sepatutnya siap pada 2003 tapi sampai sekarang tak siap-siap lagi dan disebabkan itu saya terpaksa menyewa rumah lain dengan sewa RM350 sebulan.

''Saya juga terpaksa membayar ansuran pinjaman perumahan kira-kira RM40 setiap bulan pada bank sejak rumah itu dibeli," katanya ketika ditemui di tapak projek perumahan tersebut di sini hari ini.

Difahamkan, projek pangsapuri Taman Desa Kempas dibangunkan pada 2001 dijual pada harga RM22,000 hingga RM100,000 bagi setiap unit. Ia dijadual siap sepenuhnya pada 2004 tetapi sehingga hari ini hanya fasa satu dan dua berjaya disempurnakan.

Seorang suri rumah, Ari Hasni Arifin, 33, dan seorang pegawai keselamatan, R. Lingam, 56, turut melahirkan rasa kecewa kerana masih belum dapat mendiami rumah idaman mereka biarpun pembayaran ansuran sudah mula dibuat sejak 2001.

Kedua-dua mereka masing-masing membeli sebuah pangsapuri berharga RM88,000 dan membayar ansuran pinjaman di antara RM350 hingga RM380 setiap bulan.

''Kami kecewa dan kesal. Sudahlah berhabis puluhan ribu ringgit malah terpaksa pula membayar sewa rumah yang diduduki sekarang. Kami berharap kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya ," ujarnya lagi.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_16.htm

Tiada ulasan: