20090718

Pembeli kecewa projek tertangguh


Sinar Harian 17 Julai 2009

TAMAN KRISTAL – Pembeli rumah di Taman Kristal kecewa dengan janji pelbagai pihak untuk menyiapkan projek taman perumahan itu yang tertangguh lama.

Projek taman perumahan membangunkan 149 unit rumah itu terbengkalai lama dan kawasan sekitarnya ditumbuhi lalang dan semak.

Seorang pembeli rumah berkenaan, Jag Jit, 44, berkata, perjanjian jual beli sejak 1986 dan bank telah meluluskan pinjaman kepada pemaju, tetapi sehingga kini bangunan rumah masih terbengkalai.

Menurutnya, terdapat struktur rumah telah siap pembinaannya 90 peratus, namun pemaju masih gagal menyempurnakan rumah berkenaan.

Terdapat unit rumah masih 60 hingga 70 peratus siap pembinaannya.

“Kami sudah menunggu hampir 24 tahun, tetapi rumah belum siap dan asyik bertukar pemaju. Keadaan ini menimbulkan kerisauan kepada pembeli walaupun rumah terbengkalai, kami perlu membayar di bank.

“Pembeli terpaksa menanggung beban dan perbincangan dibuat bersama pemaju mendapati pemaju perumahan bertukar kepada pemaju lain.

“Kami pernah mengadakan perbincangan dengan kementerian berkenaan pada September tahun lalu dan mereka berjanji mengatasi masalah ini enam bulan daripada tarikh perbincangan tersebut, namun sehingga kini keadaan masih sama,” katanya.

Jag Jit berkata, Selain pihak kementerian kami pernah mengadakan rundingan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan, Tenaga Nasional Berhad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Port Dickson dan sehingga kini tiada sebarang reaksi daripada mereka berkenaan permasalahan projek rumah terbengkalai itu.

“Setiap kali rundingan, mereka sering mengatakan janji untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi tidak pernah dikotakan. Tambah teruknya, kami dikenakan tindakan undang-undang kerana pihak kami berhenti membayar bayaran bulanan rumah tersebut.

“Pembeli bertindak berhenti membayar bayaran bulanan tersebut sebagai tanda protes kerana tindakan tidak serius diambil pemaju untuk menyiapkan 149 unit rumah mengikut jadual ditetapkan.

“Kami sebagai pembeli merasa seperti dianiaya, sementara pemaju mengambil duit kami dan tidak melakukan sebarang tindakan. Terdapat pembeli yang membeli rumah tersebut secara tunai. Kami mahu pihak bertanggungjawab tampil memberi penjelasan sebenarnya dan segera menyelesaikan permasalahan ini.

“Lebih buruk lagi, kawasan perumahan terbengkalai ini dijadikan sumber pencarian penagih dadah dan sebagainya. Mereka mencuri pintu, lampu, paip, besi dan sebagainya di rumah yang siap 90 peratus pembinaannya.

“Perkara ini terjadi beri-kutan tiada pengawal menjaga kawasan perumahan ini dan merupakan sesuatu yang membazir,” katanya.

Rata-rata pembeli kecewa kerana rumah dibeli tidak siap dibina walaupun deposit sudah dijelaskan dan bayaran bulanan dibayar, sekalipun projek perumahan gagal disempurnakan.

Tinjauan mendapati beberapa rumah telah berpenghuni, namun tidak diketahui siapa mendiaminya.

Kesempatan itu diambil berkemungkinan rumah tersebut siap pembinaannya 90 peratus.

Sementara itu, ADUN Port Dickson, M Ravi berkata, permasalahan itu akan dibangkitkan di dalam mesyuarat ADUN nanti.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku dan pihak bertanggungjawab bukan hanya turun padang untuk memantau keadaan tersebut, tetapi melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Keadaan ini menunjukkan penganiayaan kepada pembeli rumah tersebut kerana tidak mendapat hak sepatutnya dan mengharap perkara ini dipandang serius Menteri Besar,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2963359.asp