20101118

Pembeli kecewa rumah mesra rakyat tidak siap


Utusan Malaysia 18 Nov 2010

Nor Azlan Ismail dan isterinya, Azlina Abd. Rahman meninjau rumah mesra rakyat mereka yang tidak siap di Desa Permai, Jempol, semalam.

--------------------------------------

JEMPOL 17 Nov. - Seorang pembeli rumah hari ini kecewa dengan sebuah syarikat kontraktor yang gagal menyiapkan rumah mesra rakyat di Desa Permai sejak dua tahun lalu.

Nor Azlan Ismail, 37, berkata, rumah yang sepatutnya dimilikinya Ogos tahun lalu kini hanya tinggal harapan sehinggakan dia sudah buntu untuk mencari jalan penyelesaian.

''Pada awalnya saya dikhabarkan rumah ini dijangka siap pada awal bulan Ogos tahun lalu. Bagaimanapun, projek itu terhenti separuh jalan, kelibat kontraktor hilang entah ke mana.

''Masalah ini telah saya ajukan kepada Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yassin. Saya difahamkan terdapat perubahan pada kontraktor. Selepas itu ramai kontraktor datang melihat rumah. Namun masih tiada kontraktor yang meneruskan projek.

''Sementara menunggu tindakan susulan oleh pihak berkenaan, saya terpaksa menyewa sementara di taman ini dengan sewa RM150 sebulan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nor Azlan berkata, lebih mengecewakan dia dimaklumkan tidak berhak ke atas tanah tersebut kerana geran kini disimpan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Sementara itu, Lilah ketika mengulas perkara berkenaan memberitahu, pihaknya telah menghantar sepucuk surat kepada SPNB bagi mengetahui status terkini pembinaan rumah berkenaan.

''Berdasarkan maklumat yang kita peroleh daripada SPNB, kontraktor pertama dikatakan mengalami masalah sehingga projek berkenaan terpaksa dihentikan.

''Daripada aspek pembinaan pula, rumah yang dibuat oleh kontraktor itu tidak menepati syarat yang ditetapkan termasuk longkangnya kecil, tingkap rendah serta masalah di bahagian bumbung," katanya.

Justeru, Lilah berharap pihak SPNB dapat menyelesaikan masalah pembinaan rumah itu secepat mungkin kerana ia telah lama dibincangkan tanpa penyelesaian menyebabkan pemilik menghadapi masalah.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_06.htm