2 Julai 2013
KUALA PILAH – Impian menduduki kediaman di Taman Perpaduan
Height bakal terlaksana apabila pihak konsultan yang dilantik mengesahkan
kediaman di taman berkenaan selamat diduduki secara teknikalnya.
Terdahulu, sebelum
ini pelbagai spekulasi timbul perumahan terbengkalai itu tidak selamat diduduki
disebabkan tanah yang berpasir dan berlaku tanah runtuh. Keadaan itu memberi
kesan kepada projek rumah kos rendah yang mengalami keretakan.
Pengerusi taman
berkenaan, Mohd Sallehudin Abdullah, berkata, disebabkan masalah itu
mereka dibebani hutang rumah sejak 14
tahun lalu selepas projek perumahan berkenaan dimulakan pada 1999.
“Seramai 213 pembeli dijangka tinggal di rumah ini pada 2001
namun sehingga kini, rumah yang dijanjikan tidak siap malah kami terpaksa bayar
hutang melalui pihak perbankan.
“Meskipun ada pihak perbankan memberi kerjasama yang mana faedah boleh ditamatkan sekitar
pembayarannya, ada sesetengah perbankan menyenaraihitamkan nama pembeli rumah
ini kerana tidak membuat pembayaran,” katanya.
Menurutnya,
perjumpaan bersama konsultan jurutera, juruukur potensi dan P&D Planners
Sdn Bhd diadakan bertujuan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah
berkenaan.
“Seramai 100 dari 213 pembeli hadir dan perbincangan yang
dilakukan bersama konsultan jurutera Ir Dzulqanain Md Yusoff dari bidang
kejuruteraan sivil memaklumkan kepada kami kedudukan tanah di sini selamat
diduduki dan projek berkenaan boleh diteruskan.
“Kata beliau (Dzulqanain) rumah kos rendah yang berlaku
keretakan di bahagian dinding dan lantai berlaku disebabkan pembinaan dibuat
dengan cara yang tidak betul dan kerana itu ia retak.
"Jika projek ini
berjaya diteruskan, rumah kos rendah akan dirobohkan, dibina semula dengan
mempunyai sistem perparitan yang sistematik bagi mengelakkan berlaku keretakan,
" katanya.
Pembeli perlu beri sokongan
Mohd Sallehudin
berkata, kedudukan rumah berada di lereng bukit tidak menjadi masalah jika ia
dilakukan secara teknikal, kaedah pembinaan yang betul, pemantauan secara
berkala dan sistem perparitan yang sistematik.
Menurutnya, sekiranya
projek ini dapat diteruskan pembinaannya, pembeli perlu memberi sokongan dan
kerjasama.
“Ini kerana, difahamkan, pembeli perlu memberi sokongan 100
peratus bagi menjayakan projek ini. Kami memerlukan 75 peratus dari jumlah
pembeli untuk meneruskan projek ini. Jika hanya 50 peratus, ia tidak kukuh.
“Oleh itu, kami berharap pembeli yang berada di luar sana
berhubung dengan kami menerusi laman sosial Facebook, Taman Perpaduan Height
Kuala Pilah, ” katanya.
Nama sudah disenaraihitam
Pembeli Azli Amanir, 50, berkata, disebabkan umah
terbengkalai itu, namanya disenaraihitamkan oleh pihak perbankan sekali gus
membebankan dirinya.
“Pada mulanya, saya membayar faedah secara konsisten kepada
perbankan. Namun, sejak sembilan bulan lalu, saya berhentikan seketika
pembayaran berkenaan kerana tidak berbaloi kerana rumah yang diimpikan tidak
siap sehingga kini, " katanya.
Menurutnya,
sewajarnya pihak perbankan tidak boleh menyenaraihitamkan namanya kerana sebelum
ini dia membuat bayaran secara konsisten sebanyak RM358 setiap bulan.
"Perbankan lain
boleh sahaja memberi kerjasama kenapa bank ini tidak boleh membantu, kami orang
teraniaya,” katanya.
Dibebani hutang setiap bulan
Pembeli, Mohammad
Bahrun, 57, berkata, dia terpaksa membayar sebanyak RM300 kepada bank dan ia
amat membebankan.
“Kedudukan rumah kos rendah di kawasan perumahan itu teruk
kerana retak sana sini malah rumah pula
senget. Bagaimana kami mahu tinggal di rumah itu sedangkan ia seperti tidak
selamat. Kos pembayaran dengan pihak bank berjalan seperti biasa, rumah tiada
bayangan sehingga kini.
“Sepatutnya pihak kerajaan negeri membantu pembeli seperti
kami yang teraniaya oleh pihak kontraktor terdahulu hingga pembeli dibebani
hutang. Ada juga pembeli telah meninggal dunia gara-gara menunggu rumah ini
siap, " katanya.