20150506

Pembeli kecewa rumah terbengkalai





Pembeli kecewa rumah terbengkalai
6 Mei 2015

REMBAU – Impian pembeli rumah di Taman Rembau Bayu di sini, untuk mendiami rumah mereka berkecai apabila rumah yang sepatutnya siap penghujung bulan lalu, masih lagi terbengkalai hingga kini.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi berkenaan mendapati terdapat rumah yang masih lagi bercerucuk dan peratusan siap rumah bagi 38 unit juga berbeza-beza di mana ada antaranya yang sudah siap berbumbung.

Terpikat tawaran pakej umrah

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Projek Perumahan Taman Rembau Bayu, Abd Aziz Hamid, 62, dia mula menyedari projek perumahan berkenaan terbengkalai apabila pihak pemaju tidak lagi menuntut bayaran tunai daripadanya September tahun lalu.

“Saya bayar tunai ikut peratusan projek rumah saya siap.  Unit rumah yang saya beli sudah siap 45 peratus dan saya juga sudah membayar secara tunai sebanyak RM140,000 daripada harga rumah iaitu kira-kira RM285,000.

“Pada awalnya saya tertarik untuk membeli rumah ini memandangkan tawaran subsidi 10 peratus yang diberi serta pakej umrah untuk dua orang.  Malah, saya bersama dua buah keluarga sudah pun menunaikan umrah melalui pakej yang diberikan pemaju," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, apa yang dikesalkan kini ialah rumah yang seharusnya siap pada bulan lalu, kini terbengkalai dan pembeli yang rata-ratanya terdiri daripada kakitangan awam seperti guru kini sudah mulai bimbang.

“Ada yang sudah membuat bayaran bulanan dengan bank dan membayar cukai pintu kepada Majlis Daerah Rembau (MDR).  Bagaimanapun, rumah yang seharusnya siap, masih lagi terbengkalai," katanya.

Hasrat duduki rumah selepas bersara

Bagi Johadi Samad, 60, dia membeli rumah berkenaan dengan impian dapat terus menduduki rumah berkenaan selepas secara rasminya bersara dari perkhidmatan awam pada November tahun ini.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya menetap di kuartes Jabatan Bomba dan Penyelamat sahaja dan rumah berkenaan merupakan rumah pertama yang dibelinya untuk diduduki selepas bersara nanti.

“Memang saya ingin menetap di kampung halaman saya dan rumah yang dibeli ini terletak di kawasan yang strategik iaitu berdekatan sekolah, pekan dan juga kemudahan awam seperti kereta api.

“Oleh itu, bila saya tahu rumah ini tidak siap, anak saya berusaha untuk mencari pemaju dan mengadukan masalah ini kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya.

Johadi berkata, sebaik diadukan kepada KPKT, maklumat yang diterima adalah memeranjatkan apabila pemaju memberikan laporan projek berjalan seperti biasa sedangkan projek kini terbengkalai.

“Akhirnya, satu laporan polis dibuat baru-baru ini kerana selaku pembeli, saya berasa tertipu dan tertindas dengan laporan yang diberikan pemaju kepada KPKT, sedangkan projek sudah lama terhenti," katanya.

Sudah mula buat pembayaran

Manakala, bagi Jumaat Misran, 52, dia berasa kesal apabila rumah pertama yang dibeli anaknya, Mohd Ridzwan Jumaat, 28, terbengkalai sedangkan bayaran bulanan institusi perbankan sudah mula dibayar sebanyak RM380.

Menurutnya, anaknya kini bekerja di luar negara sebagai jurutera dan sering bertanyakan status rumah berkenaan kerana  bimbang projek berkenaan akan terus terbengkalai.

“Saya harap masalah ini tidak akan berpanjangan dan projek perumahan ini akan dapat disiapkan seperti mana yang dijanjikan.

MDR bakal aturkan pertemuan dengan pemaju

Sementara itu, Adun Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris berkata, MDR kini sedang mengatur pertemuan secepat mungkin dengan pemaju bagi mengetahui masalah sebenar kelewatan projek perumahan berkenaan.

Menurutnya, kerjasama sewajarnya akan diberikan kepada pembeli supaya tidak terbeban dengan kelewatan berkenaan.