20080515

N.Sembilan perlu contohi Melaka tangani perumahan terbengkalai

Berapa banyak projek perumahan terbengkalai di N.Sembilan ? Di daerah Rembau, Tampin, Port Dickson, Kuala Pilah, Mantin dan lain-lain tempat di negeri ini ? Mungkin boleh ditanya semasa Sidang Dewan Undangan Negeri yang akan datang.

Apakah langkah yang akan diambil oleh kerajaan N.Sembilan untuk membantu memulihkan projek perumahan terbengkalai ini ? Juga mungkin boleh ditanya semasa Sidang Dewan Undangan Negeri yang akan datang.

Yang pasti projek perumahan terbengkalai ini membawa pelbagai masalah bukan sahaja kepada pembeli tetapi kepada semua pihak antaranya :
1. Pembeli dibebani dengan hutang pinjaman sedangkan rumah tidak siap
2. Kerajaan negeri hilang hasil kutipan cukai tanah dan cukai pintu
3. Perumahan terbengkalai mendatangkan risiko kesihatan seperti pembiakan nyamuk aedes yang menyebabkan demam denggi
4. Perumahan terbengkalai mendatangkan risiko keselamatan seperti sarang penagih dadah, sarang penjenayah serta binatang liar.
5. Mencacatkan pemandangan
6. Pelabur, pemaju hartanah dan pembeli sendiri akan takut melabur dan membeli di negeri yang mempunyai banyak projek perumahan terbengkalai.

Justeru itu antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan N.Sembilan ialah mencontohi kerajaan negeri Melaka dalam menangani isu perumahan terbengkalai.

Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan oleh pelajar-pelajar IPTA yang membuat thesis mengenai usaha memulihkan perumahan terbengkalai antaranya ialah pelajar UTM ini bertajuk : “Tindakan Pengambil Alihan Projek Perumahan Terbengkalai - Kajian Kes Di Negeri Melaka”

Link http://eprints.utm.my/3490/1/RozettaYunusMBD2005TTT.pdf
Dapatan utama dalam kajian ini membuktikan bahawa tindakan pemulihan menerusi tindakan pengambil alihan projek perumahan terbengkalai telah dapat menangani sebahagian besar permasalahan perumahan terbengkalai. Ini dapat dilihat dengan penurunan kadar jumlah perumahan terbengkalai di Negeri Melaka.

20080514

Pemaju Projek Terbengkalai Boleh Diheret Ke Mahkamah oleh PBT

Tiada kompromi pemaju 13 rumah kosong

Utusan Malaysia 14 Mei 2008 . SEREMBAN 13 Mei - Tiada lagi kompromi. Itu ditegaskan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Abd. Halim Abd. Latif mengenai status 13 rumah teres dua tingkat yang terbengkalai di Taman Temiang Jaya di sini.

Kata beliau, MPS akan mengenakan tindakan kepada pemaju terbabit kerana menyebabkan lokasi berkenaan menjadi semak, dipenuhi nyamuk dan paling dibimbangi menjadi lokasi penagih dadah dan 'kaki botol'.

''MPS memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas pemaju kerana kegagalan mereka menyiapkan projek tersebut menyebabkan penduduk lain terancam.

''Kita mahu pemaju bertanggungjawab terhadap projek yang mereka laksanakan. Jangan biarkan penduduk sekitar menjadi mangsa akibat kegagalan menyiapkan projek perumahan itu. Ambil segera langkah pemulihan," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abd. Halim, biarpun bidang kuasa pihak berkuasa tempatan terhad, tetapi MPS boleh bertindak mengikut saluran tertentu dalam memastikan keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penduduk tidak terjejas.

Bagaimanapun kata beliau, MPS tidak mempunyai kuasa untuk merobohkan rumah yang terbengkalai, mahupun mengenakan tindakan kepada pemaju yang gagal menyiapkan rumah kerana ia diluar bidang kuasa.

Bagaimanapun, katanya, jika wujud unsur membahayakan keselamatan penduduk, pihak pemaju boleh diheret ke mahkamah kerana perkara itu.

Abd. Halim menambah, untuk mengatasi kemelut 13 rumah teres dua tingkat terbengkalai itu, beliau mencadangkan pembeli dan penduduk merujuk perkara tersebut kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mencari formula menyelesaikannya.

Beliau juga menyatakan rasa kesal kerana rumah tersebut sepatutnya sudah siap lama tetapi terbengkalai dan boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes serta lokasi tersembunyi kegiatan tidak bermoral.

''Kita bimbang jika keadaan ini berlarutan, ia akan mengundang masalah lain kepada penduduk sekitar.

''Bila sesebuah projek gagal disiapkan ia akan terus menjadi semak samun. Aktiviti tidak sihat seperti penagihan dadah dan penyakit sosial akan berlaku," katanya.

Justeru kata Abd. Halim, pihak MPS sedia menjadi perantara untuk menyelesaikan masalah berkenaan dan mahu ia segera diatasi agar dapat mewujudkan persekitaran bersih dan sihat, terutama dalam aspek keselamatan penduduk dan anak-anak mereka.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm

Projek Rumah terbengkalai Taman Temiang Jaya

Rumah terbengkalai jadi sarang penagih

Utusan Malaysia 14 Mei 2008. SEREMBAN 13 Mei - Rumah terbengkalai hampir 20 tahun di Taman Temiang Jaya di sini digelar 'rumah hantu' kerana menjadi lokasi kaki botol, penagih dadah dan penghidu gam melepaskan gian.

Suasana itu membuatkan penduduk di taman berkenaan sentiasa resah dan bimbang apabila 13 buah rumah teres dua tingkat di situ berterusan menjadi sarang penyakit sosial.

Imam Surau Taman Temiang Jaya, Dahlan Mohamad, 65, memberitahu, projek perumahan tersebut dimulakan sejak tahun 1985 tetapi gagal disiapkan kerana masalah kewangan.

''Projek itu telah beberapa kali bertukar pemaju dan sehingga kini, pemaju lesap rumah terus terbengkalai. Sekarang, penghuni tetapnya bukan manusia tetapi nyamuk aedes. Manusia pula yang datang ke situ tidak kira masa.

''Mereka bukan penduduk tetapi menceroboh rumah berkenaan dengan melakukan kegiatan tidak bermoral seperti minum minuman keras, hisap dadah dan sebagainya," katanya kesal.

Beliau mendakwa projek itu telah diambil alih oleh tiga pemaju sebelum ini dan sebahagian besar pemilik rumah itu telah membayar ansuran melalui potongan gaji.

Utusan Malaysia yang membuat tinjauan di lokasi terbabit mendapati ruang dalam salah sebuah rumah teres terbengkalai itu mempunyai sofa dan lantainya penuh dengan botol minuman keras dan samsu, selain putung rokok dan tin gam yang bertaburan.

Lebih menjijikkan, bahagian lain dalam bilik ini dijadikan tempat membuang air kecil dan tambah mengejutkan lagi bahagian dinding antara rumah teres dua tingkat itu ditebuk lubang, dipercayai bertujuan meloloskan diri jika pihak berkuasa datang menyerbu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk M. Subramaniam, 44, berkata, kawasan berkenaan pernah dibersihkan oleh penduduk setempat untuk dijadikan kawasan penanaman sayur namun sejak beberapa insiden berlaku di kawasan itu, ia terus terbiar.

''Kami pernah mengambil inisiatif menanam sayur tetapi oleh kerana kawasan itu tidak selamat kerana didatangi individu yang tidak dikenali iaitu menagih dadah, kami biarkan,'' jelasnya.

Katanya, kini hanya tinggal beberapa batang pokok pisang dan tebu dalam timbunan semak itu.

''Kadang kala, remaja dan belia datang berpasangan terutamanya mat rempit. Ada juga yang melakukan aktiviti seks bebas. Ini semua tidak bermoral dan kami bimbang keselamatan penduduk dan anak-anak di taman ini," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Azlan Kamarudin, 26, memberitahu, sepatutnya pihak pemaju bertanggungjawab dengan keadaan rumah yang tidak terurus itu kerana ia mengundang keresahan penduduk, apatah lagi peningkatan penyakit demam denggi.

''Penduduk di sini berharap ada langkah drastik diambil oleh mana-mana pihak agar keadaan ini tidak menyumbang tragedi kepada penduduk.

''Kalau pemaju gagal meneruskan projek ini, kami penduduk tidak mahu melihat rumah itu terus begitu. Robohkan atau mencari jalan membangunkannya secara bantuan kerajaan," katanya.

Azlan memberitahu, penduduk di situ telah pun menyatakan masalah ini kepada pihak berkaitan termasuklah pemaju tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil.

''Kami berharap pihak berkuasa terus mengadakan operasi pembersihan di kawasan 13 rumah teres terbengkalai ini dan bersedia membantu, sama ada bergotong royong dan sebagainya. Datanglah dan lihat masalah yang kami hadapi ini.

''Kalau ia tidak diatasi, saya bimbang masalah sosial dan demam denggi akan terus berlaku," tegasnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm

20080503

Pembeli rumah di Parlimen Rembau tiada pembelaan

Mungkin ramai antara kita tidak pernah dengar nama Titian Bintangor, adakah ianya nun jauh di pedalaman di Sarawak ? Tidak ianya terletak di DUN Kota , Parlimen Rembau.

Kisahnya bermula pada 1 November 2003. Ianya adalah merupakan Projek Perumahan Desa Indah dimana pemajunya ialah PDS Properties Sdn Bhd , Tamun Maluri, Kuala Lumpur dan kini alamat pemajunya di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

Projek Perumahan Desa Indah sekiranya siap mempunyai 95 unit rumah teres kos sederhana rendah dan 60 unit rumah teres kos rendah.

Ibrahim bin Mahat 38 tahun adalah salah seorang daripada pembeli rumah yang rata-ratanya orang Melayu yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya dari mana-mana pihak. Beliau dan isteri telah menghabiskan wang simpanan lebih RM 11,000 sebagai wang pendahuluan rumah idaman mereka. Rumah yang berharga RM 44,500 itu sepatutnya siap dalam masa 2 tahun iaitu pada November 2005. Namun kali terakhir surat yang diterima daripada pihak pemaju ialah pada 12 September 2005 yang menyatakan rumah beliau pada saat itu adalah 35% siap.

Namun begitu Ibrahim sedikit bernasib baik kerana beliau belum membuat pinjaman perumahan justeru itu beliau tidak dibebankan dengan bayaran bulanan daripada institusi kewangan. Menurut beliau ada antara pembeli-pembeli yang terpaksa membayar pinjaman bank, ada yang telah diambil tindakan mahkamah , ada yang telah menerima tunggakan cukai tanah dan pelbagai cerita lain.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pembeli-pembeli di Lubuk Cina, Mukim Titian Bintangor, Daerah Rembau dalam DUN Kota dan Parlimen Rembau ini. Namun sehingga ke saat ini tiada siapa yang mendengar keluhan mereka. Apakah ianya satu tempat yang kita jarang dengar namanya dan tidak jumpa dalam peta mereka ini disisihkan daripada mendapat pembelaan, walaupun mereka ini adalah anak jati Malaysia, anak jati Negeri Sembilan , anak jati Rembau ?

Siapakah yang akan membela nasib mereka ini ? Mereka yang sudi membantu nasib pembeli-pembeli rumah ini bolehlah menghubungi :

Ibrahim bin Mahat
No 6, Blok A, Rumah Rakyat Lubok Cina
71150 Linggi, N.Sembilan
Tel : 012-6091341

Berita bergambar di http://waghih.blogspot.com/2008/05/pembeli-rumah-di-parlimen-rembau-tiada.html