20100201

Sisa toksik di kawasan tanah lapang

Berita Harian 1 Feb 2010

Kilang getah buang sampah di tapak projek terbengkalai

TAMPIN: Kawasan lapang dalam projek perumahan Bandar Tampin Utama di Kilometer 2.5 Jalan Gemas dekat sini, yang terbengkalai sejak tujuh tahun lalu dan jauh daripada pandangan orang ramai kini menjadi pusat pembuangan sampah dan sisa toksik.

Pembuangan sampah secara haram yang dipercayai dilakukan kontraktor pembinaan, kilang getah, kedai tayar dan penebangan pokok sejak beberapa bulan lalu.

Ia berikutan penemuan timbunan sisa bahan binaan, tayar buruk, keratan batang dan dahan pokok serta bekas bahan kimia yang dipercayai mengandungi sisa toksik.

Tinjauan Berita Harian mendapati sampah sarap yang terbakar dan mengeluarkan asap mereka yang berada di situ pening kepala, rasa loya. Pada timbunan sampah juga ditemui bekas plastik turut tertera nama sebuah syarikat memproses susu getah.

Perbuatan membuang sampah sarap dan sisa toksik di situ terbongkar selepas orang ramai menghidu kehadiran lori yang berulang-alik memasuki projek terbengkalai itu sejak kebelakangan ini.

Peniaga warung, Mustafa Saleh, 45, berkata kekerapan lori memasuki kawasan itu menyebabkan mereka mula menyangka ada sesuatu yang tidak kena di situ.

“Akhirnya terbukti benar kerana pihak terbabit membuang sampah dan lebih mengejutkan, ada yang sanggup membuang bahan dipercayai toksik.

"Nasib baik perkara ini diketahui. Jika tidak, mungkin sisa toksik bertambah banyak dan membahayakan penduduk sekitar," katanya.

Berikutan itu, empat pegawai Majlis Daerah Tampin (MDT) diketuai Ketua Jabatan Kesihatan, Nor Mohamed Hussin, bergegas ke lokasi selepas mendapat arahan Yang Dipertua MDT, Datuk Mohd Yusof Yunus.

Nor Mohamed berkata, pemeriksaan MDT mendapati sampah yang dipercayai sisa toksik itu adalah milik sebuah syarikat kilang getah.

Sehubungan itu, katanya, MDT dengan segera akan menghubungi syarikat berkenaan untuk mengenal pasti sama ada bahan buangan itu milik syarikat terbabit.

Katanya, tindakan membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya seperti di Bandar Tampin Utama tidak sepatutnya berlaku kerana mengotorkan dan menjejaskan pemandangan.

"Pembuangan barangan yang mempunyai unsur bahan kimia adalah lebih bahaya kerana bukan hanya mencemarkan alam sekitar, malah dikhuatiri boleh membawa kemudaratan kepada manusia di kawasan berdekatan," katanya.

Sementara itu, Mohd Yusof meminta orang ramai memberi maklumat kepada MDT jika mempunyai maklumat berhubung perbuatan membuang sampah dan sebarang bahan mengandungi toksik dengan menelefon 06-4422801.

Katanya, aduan juga boleh dibuat melalui e-mel ke alamat www.mdtampin.gov.my atau menghubungi terus Ketua Jabatan Kesihatan Nor Mohamed Hussin di talian 06-4414161 atau 019-6509003.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Wilayah/20100201091034/Article/index_html

Tiada ulasan: