Harian Metro 15 Nov 2007
KUALA PILAH: Impian 213 pembeli untuk memiliki kediaman sendiri tidak kesampaian apabila rumah idaman mereka di Perpaduan Height, terbengkalai sejak enam tahun lalu.
Selain itu, pembeli terbabit mendakwa pemaju menipu mereka apabila lokasi tapak projek perumahan terbengkalai itu berbeza dengan pelan asal yang dikemukakan sebelum mereka bersetuju membuat pembelian pada 1999.
Kediaman itu meliputi 169 unit rumah kos sederhana setingkat, 55 rumah kos rendah dua tingkat dan tujuh rumah kedai yang berharga antara RM35,000 hingga RM65,000.
Berikutan itu, semua mereka yang sebahagian besarnya kakitangan awam kecewa bukan saja kerana terpaksa menanggung hutang pinjaman, sebaliknya impian tinggal di rumah sendiri berkecai.
Mereka juga kecewa dengan sikap sambil lewa Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) dalam menangani masalah itu walaupun projek berkenaan sebenarnya dikendalikan sebuah syarikat swasta dengan kerjasama jabatan itu.
Tinjauan Harian Metro di lokasi itu semalam, mendapati deretan rumah terbengkalai itu sudah mengalami rekahan manakala jalan raya taman perumahan itu juga sudah pecah akibat hakisan tanah.
Pembeli, Mohd Salehudin Abdullah, 42, berkata rumah berkenaan adalah fasa pertama daripada lima peringkat yang dijangka siap sepenuhnya pada 2001.
"Mengikut perancangan, kawasan berkenaan adalah berdekatan dengan Taman Bukit Intan, di sini juga akan dilengkapi dengan kemudahan lain seperti sekolah, kompleks sukan dan padang permainan kanak-kanak menyebabkan saya tertarik untuk membelinya.
"Bagaimanapun, saya terkejut selepas mendapati lokasi rumah itu dipindahkan ke tempat lain yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi asal," katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/73174/Article/index_html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan