20080514

Pemaju Projek Terbengkalai Boleh Diheret Ke Mahkamah oleh PBT

Tiada kompromi pemaju 13 rumah kosong

Utusan Malaysia 14 Mei 2008 . SEREMBAN 13 Mei - Tiada lagi kompromi. Itu ditegaskan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Abd. Halim Abd. Latif mengenai status 13 rumah teres dua tingkat yang terbengkalai di Taman Temiang Jaya di sini.

Kata beliau, MPS akan mengenakan tindakan kepada pemaju terbabit kerana menyebabkan lokasi berkenaan menjadi semak, dipenuhi nyamuk dan paling dibimbangi menjadi lokasi penagih dadah dan 'kaki botol'.

''MPS memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas pemaju kerana kegagalan mereka menyiapkan projek tersebut menyebabkan penduduk lain terancam.

''Kita mahu pemaju bertanggungjawab terhadap projek yang mereka laksanakan. Jangan biarkan penduduk sekitar menjadi mangsa akibat kegagalan menyiapkan projek perumahan itu. Ambil segera langkah pemulihan," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abd. Halim, biarpun bidang kuasa pihak berkuasa tempatan terhad, tetapi MPS boleh bertindak mengikut saluran tertentu dalam memastikan keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penduduk tidak terjejas.

Bagaimanapun kata beliau, MPS tidak mempunyai kuasa untuk merobohkan rumah yang terbengkalai, mahupun mengenakan tindakan kepada pemaju yang gagal menyiapkan rumah kerana ia diluar bidang kuasa.

Bagaimanapun, katanya, jika wujud unsur membahayakan keselamatan penduduk, pihak pemaju boleh diheret ke mahkamah kerana perkara itu.

Abd. Halim menambah, untuk mengatasi kemelut 13 rumah teres dua tingkat terbengkalai itu, beliau mencadangkan pembeli dan penduduk merujuk perkara tersebut kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mencari formula menyelesaikannya.

Beliau juga menyatakan rasa kesal kerana rumah tersebut sepatutnya sudah siap lama tetapi terbengkalai dan boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes serta lokasi tersembunyi kegiatan tidak bermoral.

''Kita bimbang jika keadaan ini berlarutan, ia akan mengundang masalah lain kepada penduduk sekitar.

''Bila sesebuah projek gagal disiapkan ia akan terus menjadi semak samun. Aktiviti tidak sihat seperti penagihan dadah dan penyakit sosial akan berlaku," katanya.

Justeru kata Abd. Halim, pihak MPS sedia menjadi perantara untuk menyelesaikan masalah berkenaan dan mahu ia segera diatasi agar dapat mewujudkan persekitaran bersih dan sihat, terutama dalam aspek keselamatan penduduk dan anak-anak mereka.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm

Tiada ulasan: