20090829

Pembeli Taman Selasih tunggu kunci rumah

Berita Harian 28 Ogos 2009

SAYA adalah pembeli projek taman perumahan yang dimajukan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Seperti sedia maklum, syarikat ini diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan yang menjadi alasan kukuh kenapa saya dan pembeli lain teruja untuk membeli rumah di Taman Selasih, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Namun begitu, entah di mana silapnya projek yang dijadualkan siap pada 2007 itu hanya siap pada awal tahun ini dan sehingga kini kami masih tidak dapat menduduki rumah itu.

Masalahnya hanya satu, yang sehingga kini masih tidak dapat diatasi iaitu tangki air yang menyalurkan bekalan air kepada taman perumahan ini masih belum siap.

Beberapa panggilan telefon dibuat kepada SPNB, namun jawapan yang diberikan amat mengecewakan.

Mereka hanya berjanji untuk menyelesaikan perkara itu secepat mungkin tetapi masih tiada kerja dijalankan sehingga ke hari ini.

Majlis penyerahan kunci diadakan pada 31 Mei lalu dan SPNB berjanji taman itu boleh diduduki sebelum bulan ini.

Namun, sehingga hari ini semua masih kabur. Bukan niat saya dan pembeli lain menuding jari menyalahkan mana-mana pihak kerana kami memahami kelewatan mungkin berpunca daripada faktor luaran lain yang di luar jangkaan tetapi memandangkan tiada usaha atau sebarang makluman secara bertulis kepada kami menyebabkan kami buntu.

Besar harapan kami untuk menduduki rumah berkenaan secepat mungkin memandangkan bayaran ansuran pinjaman dan pembiayaan kepada pihak bank sudah bermula beberapa tahun lalu.

Untuk makluman juga, rata-rata pembeli bukan daripada golongan yang berkemampuan untuk membayar ansuran pembiayaan, pinjaman dan bayaran rumah sewa sekali gus.

WAKIL PEMBELI
TAMAN SELASIH,
Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Surat/20090828005401/Article/index_html

20090805

Penduduk kesal pemaju lepas tangan


Sinar Harian 5 Ogos 2009

LUBOK CHINA - Penduduk di sini melahirkan rasa kecewa dan kesal kerana projek perumahan yang sepatutnya siap November 2005, masih terbengkalai sehingga kini.

Pelbagai cara dan usaha dilakukan penduduk namun masih menemui jalan buntu apabila pemaju perumahan seolah-olah lepas tangan.

Masalah yang dihadapi penduduk di sini pernah disiarkan Sinar Harian keluaran 11 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Taman Desa Indah Lubok China, Ibrahim Mahat berkata, perkara ini sudah lama dibangkitkan dan pihaknya telah pergi ke agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk menangani masalah ini namun jawapan yang diterima adalah diminta bersabar dan menunggu siasatan dilakukan.

Menurutnya, memandangkan tahun ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan maka pihak yang berkenaan perlu mengambil saranan ini sebagai langkah proaktif menyelesaikan masalah penduduk.

“Jangan pinggirkan penduduk kampung seperti kami, tolonglah pantau dan tinjaulah masalah yang kami hadapi ini kerana sampai bila kami harus menunggu tanpa mengetahui perkembangan sebenar projek yang terbengkalai ini,” katanya.

Ibrahim berkata, projek ini menyebabkan masalah lain turut timbul akibat keadaan rumah separuh siap itu dibiarkan tanpa penjagaan bertahun lama.

Menurutnya, ia bukan lagi semak-samun malah kawasan perumahan itu kini sudah menjadi seperti belukar dan dipenuhi air bertakung yang menggalakkan pembiakan nyamuk Aedes selain berlakunya tanah runtuh.

“Kawasan ini juga berdekatan dengan Rumah Rakyat Lubok China dan hanya beberapa meter dari rumah penduduk.

“Perkara ini amat membimbangkan penduduk sekitar kerana mereka turut mendapat kesan akibat projek ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya meminta jasa baik agensi kerajaan yang berkaitan supaya turun membantu menyelesaikan kemelut yang melanda pembeli di sini walaupun pihaknya menyedari projek ini adalah projek syarikat swasta.

“Kami amat mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak untuk tangani masalah ini. Kami akan berpuas hati sekiranya kami dapat mengetahui status dan keputusan mengenai projek terbengkalai itu bila akan diteruskan,” katanya.

Seorang lagi pembeli, Isah Ayub yang mewakili suaminya berkata, sehingga kini dia masih membayar ansuran rumah RM341.52 sebulan walaupun projek itu masih tiada perubahan kerana jika tidak membayar akan dikenakan tindakan mahkamah.

“Mahu tidak mahu kena juga bayar. Apa yang merunsingkan saya sekarang ialah keadaan suami yang tidak sihat, saya pula tidak bekerja.

“Saya bimbang jika suatu masa nanti menghadapi kesukaran untuk membayar apatah lagi rumah itu belum siap dan sekarang kami sekeluarga tinggal di rumah kampung kerana masih menunggu rumah ini siap,” katanya.

Menurutnya, kesabaran mereka seolah-olah teruji dengan keadaan seperti ini kerana bukan setahun dua masalah ini diajukan tetapi lebih daripada itu.

“Cubalah tengok keadaan rumah itu sekarang, langsung tiada perubahan malahan bertambah teruk dan tidak boleh diduduki lagi,” katanya.

Isah berkata, keadaan ini sangat mengecewakan kerana banyak pihak bersikap sambil lewa dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.

Katanya, walaupun perkara ini sudah lama tetapi pembeli yang terlibat tetap akan berjuang untuk mendapatkan hak mereka.

“Kami memohon menyegerakan projek ini dan prihatin dengan keadaan kami. Kami bukannya orang senang untuk membawa masalah ini ke sini sana.

“Jika pihak yang bertanggung jawab tidak membantu kami siapa lagi kami boleh minta tolong,” katanya.

Bagi pasangan suami isteri, Anas Haiza Hamid dan Norsherina Husin, perkara yang mengelirukan mereka adalah rumah belum didirikan lagi dan yang ada cuma tapak tetapi hak milik tanah sudah bertukar kepada mereka sedangkan tidak semua pembeli yang mendapat tukar hak milik tanah ini.

Menurut Norsherina, perkara ini telah dibawa ke Pejabat Tanah untuk mengetahui keadaan sebenar namun jawapan yang diberikan adalah dia beruntung kerana mendapat tanah secara percuma dan kini perlu membayar cukai tanah.

“Saya pun hairan apabila hak milik tanah ini sudah bertukar padahal rumah belum dibina lagi dan hal ini menjadi tanda tanya kepada pembeli yang lain,” katanya.

Norsherina berkata, sudah sembilan tahun dia sekeluarga menyewa rumah sementara menunggu rumah ini siap namun kini harapan untuk tinggal di rumah sendiri nyata hanya tinggal harapan.

“Saya berharap projek perumahan ini dapat dijalankan dengan segera kerana sampai bila lagi kami mahu hidup menyewa dan terus menunggu sedangkan anak-anak semakin membesar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Lubok China, Ismail Md Jan ketika ditemui berkata, keadaan yang menimpa penduduk terutama pembeli amat dikesalkan dan memohon pihak yang bertanggungjawab agar memberi keputusan yang pasti kepada pembeli.

“Saya bersimpati dengan apa yang dialami mereka kerana perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku sehingga menjejaskan kehidupan penduduk di sini,” katanya.

Ismail berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dimohon memantau keadaan seperti belukar di situ dan menjadi tempat pembiakan nyamuk selain menjadi tempat haiwan berbisa tinggal yang membahayakan kesihatan dan keselamatan penduduk setempat.

“Justeru, tidak hairanlah kawasan Rumah Rakyat Lubok China ini mencatatkan kes demam denggi yang tinggi jika dilihat persekitaran kawasan yang tidak selamat dan tidak dijaga.

“Saya ada menghubungi Jabatan Kesihatan untuk membantu menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk ini tetapi mereka tidak mampu untuk memantau keseluruhan kawasan itu,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story3018274.asp