Sinar Harian 26 Feb 2010
KUNDUR – Impian pembeli di Taman Sri Kundur untuk memiliki sebuah rumah sendiri berkecai apabila rumah yang sepatutnya siap penghujung 2006 kini terbengkalai dan tiada sebarang tanda akan dipulihkan.
Pembeli kini bukan sahaja terpaksa menang-gung hutang membayar balik pinjaman, malah lebih membingungkan pemaju seolah-olah lepas tangan membiarkan ma-salah tiada penyelesaian.
Dibebani hutang
Kakitangan kerajaan, Bahar Shariff, 54, berkata, dia membeli rumah itu sebagai persediaan awal meneruskan kehidupan selepas pencen, namun impiannya itu terus tinggal impian.
Dia tambah kecewa apabila sudah membayar ansuran bulanan kepada bank sebanyak RM530 sejak pertengahan 2007.
“Masalah ini nyata merunsingkan saya kerana setiap bulan saya perlu membayar ansuran rumah, tetapi rumah itu tidak siap sepenuhnya.
“Saya sudah nak pencen tetapi jadi macam ini pula. Sudahlah setiap bulan kena bayar ansuran tetapi rumah itu tidak boleh diduduki. Saya rasa seperti tertipu dan terlalu kecewa dengan sikap pemaju,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di taman perumahan itu,
Bahar berkata, ketika ini, isteri dan lima anakmenumpang sementara di rumah mertuanya.
Justeru, dia berharap pihak pemaju dapat meneruskan kembali projek tergendala supaya mereka anak beranak dapat tinggal di rumah sendiri.
“Saya juga akan berusaha sedaya upaya supaya pembeli seperti kami mendapat hak semula dan tidak dibiarkan terkon-tang-kanting tanpa penjelasan wajar,” katanya.
Menurutnya, pihak pemaju seharusnya bersikap profesional dan tidak mendiamkan diri kerana kebanyakan pembeli sudah membayar wang deposit selain membayar ansuran bulanan kepada pihak bank.
“Saya sangat kesal dengan tindakan pihak pemaju kerana tidak memikirkan kesusahan ditanggung pembeli kerana rata-rata sangat berharap dapat mendiami rumah ini mengikut apa yang dikatakan pihak pemaju,” katanya.
Mahu penjelasan
Pembeli, Norhisyam Sharif, 40, berkata, pihak pemaju perlu tampil bertemu pembeli bagi menjelaskan keadaan sebenar supaya pembeli tidak tertunggu-tunggu menanti bila projek itu akan siap.
Menurutnya, seperti pembeli lain, dia membeli rumah itu dengan harapan dapat menduduki rumah sendiri apabila dijanjikan akan siap sepenuhnya kira-kira empat tahun lalu.
“Namun penantian itu ibarat satu penyeksaan apabila projek itu terhenti sehingga ke hari ini.
“Sebagai pembeli sudah tentu kami merasa tidak puas hati kerana rumah ini sepatutnya sudah boleh didiami tetapi perkara sebaliknya berlaku apabila rumah itu hanya siap separuh sahaja,” katanya.
Norhisyam berkata, dia sudah membayar ansuran rumah sejak 2008 selain membayar deposit rumah sebanyak RM1,000.
“Bayangkan kami perlu membayar ansuran setiap bulan tetapi projek perumahan itu masih tidak berjalan.
“Bagaimana dengan nasib pembeli seperti kami ini. Ke mana lagi harus kami perjuangkan nasib sebagai pembeli. Sampai bila kami perlu membayar sedangkan projek ini masih dibiarkan,” katanya.
Dipenuhi semak
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke taman perumahan itu mendapati keadaan amat menyedihkan kerana sekeliling rumah ditumbuhi semak samun selain menjadi tempat pembiakan binatang berbisa.
Sementara itu, Bahar berkata, keadaan persekitaran rumah itu semakin teruk dan sangat berbahaya kepada orang ramai yang melalui kawasan ini apatah lagi kawasan ini bersebelahan dengan sekolah rendah.
“Bukan sahaja semak samun menyakitkan mata memandang tetapi dikhuatiri menjadi tempat binatang berbisa seperti ular,” katanya.
Menurutnya, dengan keadaan rumah yang tersorok di pandangan mata menjadikan tempat ini sebagai lokasi remaja nakal untuk menjalankan kegiatan tidak sihat.
“Tengoklah ada tin minuman keras. Dalam rumah pula diconteng dan dilukis gambar-gambar yang tidak sepatutnya. Kalau tidak diambil tindakan segera tidak mustahil tempat ini akan menjadi tempat melakukan aktiviti negatif,” katanya.
Pulangkan deposit
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Rembau, Mohd Rawi Baharom berkata, pihaknya memutuskan dalam mesyuarat lalu bahawa pihak pemaju perlu memulangkan kembali wang deposit pembeli.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Rembau berkata, pihak pemaju sudah tidak berupaya meneruskan projek perumahan kerana masalah kewangan melanda syarikat terbabit.
“Walaupun mereka berusaha mendapatkan pinjaman untuk menjalankan projek ini namun sehingga kini tiada perkembangan positif diterima.
“Berikutan itu, kita meminta pihak pemaju menyerahkan kembali wang deposit pembeli. MDR juga sedang mencari maklumat lanjut untuk mengenal pasti ke semua pembeli rumah taman ini,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6868032.asp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan