Sinar Harian 30 April 2010
GEMAS – Niat berbakti kepada kampung sendiri untuk menjadi sebahagian tenaga belia kampung menjadikan Mohd Zairul Almey Abdul Rahaman, 27, dari Kampung Londah membuat keputusan pulang ke kampung halaman pada 2006.
Niatnya itu diperkukuhkan dengan perkahwinannya bersama Wan Jannati Wan Haznan, 29, untuk terus menetap di kampung berkenaan dan dia mula membuat permohonan menjadi peserta Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Halacara Baru sejak 9 Februari 2007.
Mohd Zairul berkata, pada 26 November 2007 dia menerima surat tawaran seunit rumah di PAKR Halacara Baru Gemas dan dikehendaki mengesahkan kelayakan permohonan dengan pergi ke Pejabat Daerah Kecil Gemas pada 6 Disember 2007.
Bagaimanapun, menurutnya, pada 3 Disember 2007, tiga hari sebelum pengesahan kelayakan, dia menerima surat penangguhan pengundian lot rumah di PAKR Halacara Baru, Gemas daripada agensi berkaitan.
“Perkara ini mengecewakan, namun saya tetap menunggu kerana yakin diberikan surat tawaran dan surat berkenaan hanya penangguhan pengundian lot sahaja,” katanya ketika ditemui di Kampung Londah, dekat sini.
“Namun, penantian selama dua tahun tidak berakhir dengan khabar gembira apabila pengundian lot rumah PAKR Halacara Baru pada awal 2010 membabitkan 20 unit rumah tidak menyelitkan nama saya.
Mohd Zairul berkata, bagaimanapun dia tidak cepat melatah kerana beranggapan kemungkinan pengundian kali itu bukan rezekinya dan berharap dapat disertakan dalam pengundian lain.
“Namun, setelah berbual dengan beberapa individu yang berjaya memiliki rumah di PAKR Halacara Baru, saya kecewa dan tidak berpuas hati kerana ada di antara mereka baru memohon selama setahun, sudah memiliki rumah dan tidak kurang juga menyewa kepada orang lain.
“Saya keliru rumah di PAKR Halacara Baru ini pada awalnya dikatakan keutamaan akan diberikan kepada anak jati Kampung Londah dan kini turut diberikan kepada orang luar. Namun, ini bukan perkara utama sekiranya mereka layak, tetapi ada di antara mereka sudah memiliki rumah sendiri.
Mohd Zairul berkata, dia cuba berunding mengenai isu berkenaan kepada wakil rakyat setempat dan pernah menghubungi Unit Perumahan Kerajaan Tempatan (UPKT) serta terkilan kerana tidak diberikan kata putus.
“Oleh itu, saya berharap masalah saya ini dapat berakhir dengan perkhabaran gembira kerana saya memerlukannya kerana kini saya memiliki dua anak berusia tiga minggu hingga dua tahun.
Menurutnya, kini dia menyewa di taman berhampiran dengan bayaran RM250 sebulan dan saya hanya melakukan kerja kampung sahaja.
“Jika dahulu, pendapatan saya agak baik kerana saya menoreh getah, tetapi kini dalam proses tanam semula dan saya terpaksa membuat kerja lain. Mujur saya memiliki pengalaman membaiki elektrik ketika di Kuala Lumpur dahulu untuk menampung keluarga saya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7628383.asp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan