20130702

Masihkah ada harapan?





2 Julai 2013 

KUALA PILAH – Impian menduduki kediaman di Taman Perpaduan Height bakal terlaksana apabila pihak konsultan yang dilantik mengesahkan kediaman di taman berkenaan selamat diduduki secara teknikalnya.

 Terdahulu, sebelum ini pelbagai spekulasi timbul perumahan terbengkalai itu tidak selamat diduduki disebabkan tanah yang berpasir dan berlaku tanah runtuh. Keadaan itu memberi kesan kepada projek rumah kos rendah yang mengalami keretakan.

 Pengerusi taman berkenaan, Mohd Sallehudin Abdullah, berkata, disebabkan masalah itu mereka  dibebani hutang rumah sejak 14 tahun lalu selepas projek perumahan berkenaan dimulakan pada 1999.

“Seramai 213 pembeli dijangka tinggal di rumah ini pada 2001 namun sehingga kini, rumah yang dijanjikan tidak siap malah kami terpaksa bayar hutang melalui pihak perbankan.

“Meskipun ada pihak perbankan memberi kerjasama  yang mana faedah boleh ditamatkan sekitar pembayarannya, ada sesetengah perbankan menyenaraihitamkan nama pembeli rumah ini kerana tidak membuat pembayaran,” katanya.

 Menurutnya, perjumpaan bersama konsultan jurutera, juruukur potensi dan P&D Planners Sdn Bhd diadakan bertujuan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah berkenaan.

“Seramai 100 dari 213 pembeli hadir dan perbincangan yang dilakukan bersama konsultan jurutera Ir Dzulqanain Md Yusoff dari bidang kejuruteraan sivil memaklumkan kepada kami kedudukan tanah di sini selamat diduduki dan projek berkenaan boleh diteruskan.

“Kata beliau (Dzulqanain) rumah kos rendah yang berlaku keretakan di bahagian dinding dan lantai berlaku disebabkan pembinaan dibuat dengan cara yang tidak betul dan kerana itu ia retak.

 "Jika projek ini berjaya diteruskan, rumah kos rendah akan dirobohkan, dibina semula dengan mempunyai sistem perparitan yang sistematik bagi mengelakkan berlaku keretakan, " katanya.

Pembeli perlu beri sokongan

 Mohd Sallehudin berkata, kedudukan rumah berada di lereng bukit tidak menjadi masalah jika ia dilakukan secara teknikal, kaedah pembinaan yang betul, pemantauan secara berkala dan sistem perparitan yang sistematik.

 Menurutnya, sekiranya projek ini dapat diteruskan pembinaannya, pembeli perlu memberi sokongan dan kerjasama.

“Ini kerana, difahamkan, pembeli perlu memberi sokongan 100 peratus bagi menjayakan projek ini. Kami memerlukan 75 peratus dari jumlah pembeli untuk meneruskan projek ini. Jika hanya 50 peratus, ia tidak kukuh.

“Oleh itu, kami berharap pembeli yang berada di luar sana berhubung dengan kami menerusi laman sosial Facebook, Taman Perpaduan Height Kuala Pilah, ” katanya.

Nama sudah disenaraihitam

 Pembeli  Azli Amanir, 50, berkata, disebabkan umah terbengkalai itu, namanya disenaraihitamkan oleh pihak perbankan sekali gus membebankan dirinya.

“Pada mulanya, saya membayar faedah secara konsisten kepada perbankan. Namun, sejak sembilan bulan lalu, saya berhentikan seketika pembayaran berkenaan kerana tidak berbaloi kerana rumah yang diimpikan tidak siap sehingga kini, " katanya.

 Menurutnya, sewajarnya pihak perbankan tidak boleh menyenaraihitamkan namanya kerana sebelum ini dia membuat bayaran secara konsisten sebanyak RM358 setiap bulan.

 "Perbankan lain boleh sahaja memberi kerjasama kenapa bank ini tidak boleh membantu, kami orang teraniaya,” katanya.

Dibebani hutang setiap bulan

 Pembeli, Mohammad Bahrun, 57, berkata, dia terpaksa membayar sebanyak RM300 kepada bank dan ia amat membebankan.

“Kedudukan rumah kos rendah di kawasan perumahan itu teruk kerana retak sana sini malah  rumah pula senget. Bagaimana kami mahu tinggal di rumah itu sedangkan ia seperti tidak selamat. Kos pembayaran dengan pihak bank berjalan seperti biasa, rumah tiada bayangan sehingga kini.

“Sepatutnya pihak kerajaan negeri membantu pembeli seperti kami yang teraniaya oleh pihak kontraktor terdahulu hingga pembeli dibebani hutang. Ada juga pembeli telah meninggal dunia gara-gara menunggu rumah ini siap, " katanya.

Tiada ulasan: