1 Julai 2013
JOHOR BAHRU – Tiga keluarga nekad berpindah ke rumah mereka
yang dibeli di Taman Desa Kempas, dekat sini, meskipun kediaman tersebut belum
mendapat sijil layak menduduki (CF).
Mereka mendakwa telah
membeli pangsapuri kos sederhana rendah dengan harga RM89,000 itu sejak 13
tahun lalu, namun projek pembangunan rumah tersebut terbengkalai yang
sepatutnya siap sembilan tahun lalu.
Lebih mengecewakan
pembeli terpaksa menjelaskan bayaran ansuran pinjaman rumah tersebut mengikut
kadar tertentu kepada institusi kewangan sejak beberapa tahun lalu selain
terpaksa membayar ansuran rumah sewa dalam masa yang sama.
Suri rumah, Arihasni
Arifin, 35, berkata, dia dan suami, Norazhar Ahmad, 42, nekad berpindah ke
rumah tersebut berikutan telah menunggu sejak sekian lama selain kecewa tiada
penjelasan yang diterima daripada pemaju perumahan berhubung masalah tersebut.
“Saya sudah mula memindahkan barang kelengkapan rumah hari
ini dan akan tinggal di sini. Selain itu, saya turut beli sebuah generator
berharga RM980 untuk menjana elektrik. Saya tidak kisah terpaksa angkut air
setiap hari, janji kami sekeluarga dapat tinggal di rumah sendiri.
“Saya dan suami juga telah membuat laporan polis. Selepas
ini, kami akan pasang jeriji dan berserah tentang soal keselamatan kami.
“Saya sekeluarga tak rasa takut dan harap dengan tindakan
kami ini dapat menyegerakan tindakan susulan oleh pihak pemaju,” katanya ketika
lawatan Ketua Penyelia Pusat Aduan Kempas, Suhaizan Kaiat bersama Adun
Pengkalan Rinting, Cheo Yee How di taman perumahan berkenaan.
Tindakan sama turut
diambil suri rumah, Faridah Bari, 47, yang sanggup menggunakan lilin setiap
hari sementara menunggu pihak yang bertanggungjawab memasang elektrik di rumah
mereka.
“Suami saya hanya bekerja sebagai tukang paip dengan
pendapatan tidak menentu sekitar RM2,000. Saya pula tidak bekerja. Ketiga-tiga
anak saya dari umur 14 hingga 23 tahun masih belajar dan kami tidak tahan
terpaksa membayar kos untuk dua rumah
“Setiap bulan suami saya perlu bayar RM600 untuk ansuran
bulanan rumah yang dibeli dan RM350 untuk rumah yang disewa di kawasan Lurah,
Kempas. Ini belum termasuk pelbagai kos sara hidup yang lain. Jadi, kami
bertekad untuk berpindah meskipun belum menerima CF,” katanya.
Manakala bagi, buruh
Yahya Ayob, 43, dia mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah yang dibeli
itu selepas yakin kediaman tersebut bakal dapat diduduki dalam masa terdekat ini.
“Saya rasa rumah ini dapat siap dalam masa terdekat ini.
Cuma saya rasa tidak perlulah saya bayar wang rumah sewa di Taman Cempaka
dengan kadar RM350 selepas ini. Saya hanya bekerja buruh dengan pendapatan
tidak menentu, sekitar RM1,500 sebulan.
“Saya tidak tahu kepada siapa lagi nak adu masalah ini.
Kasihan saya lihat isteri dan dua anak saya yang dari bayi hingga sudah
bersekolah terpaksa lama menunggu rumah idaman yang tidak siap-siap. Jadi saya
ambil keputusan untuk berpindah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan