20081204

Pemaju didakwa mungkir janji


Berita Harian 3 Dis 08
SEREMBAN: Seramai 105 pembeli rumah Fasa 3 Taman Tuanku Ja'afar, Senawang, dekat sini, kecewa kerana pemaju projek perumahan itu, Naga Sakti Sdn Bhd, didakwa mungkir janji apabila gagal menyiapkan rumah dibeli mengikut jadual.

Projek perumahan yang membabitkan rumah teres setingkat, separuh berkembar dan banglo berharga antara RM110,000 hingga RM200,000 itu sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun selepas menandatangani perjanjian jual beli pada 2005, tetapi projek itu bukan saja terbengkalai, malah tiada aktiviti pembinaan dilaksanakan di tapak itu kecuali dua unit rumah banglo contoh sudah diliputi semak.

Berikutan itu, pembeli hilang sabar kerana selain terpaksa menyewa rumah, mereka juga membayar ansuran bulanan dengan institusi kewangan antara RM800 hingga RM1,500 sebulan sejak 2005 dan ada antara pembeli berkenaan sudah mengeluarkan belanja antara RM10,000 hingga RM45,000 tidak termasuk bayaran perjanjian jual beli dikenakan pemaju.

Jurucakap kumpulan pembeli rumah berkenaan, P Rajasegar, berkata dia sudah membelanjakan kira-kira RM45,000 untuk membayar ansuran rumah banglo yang dibeli di tapak projek itu tetapi sehingga kini bukan saja rumah yang diharapkan dapat diduduki, malah tiada struktur rumah dibangunkan di tapak berkenaan.

Menurutnya, pihaknya sudah beberapa kali bertanya kepada pemaju tetapi kakitangan syarikat itu memberikan pelbagai helah termasuk memberitahu pembinaan rumah itu dipertanggungjawabkan kepada sebuah syarikat lain iaitu D2B Management Sdn Bhd (D2B) sedangkan perjanjian jual beli dibuat dengan Naga Sakti.

"Kami kecewa dengan tindakan pemaju yang cuba lepas tangan terhadap projek itu sedangkan ramai pembeli sudah mengeluarkan banyak wang. Pemaju memberikan alasan tidak munasabah termasuk kenaikan harga bahan binaan dan bahan api menyebabkan projek tergendala sedangkan kenaikan bahan berkenaan baru berlaku tahun ini.

"Pemaju terbabit juga cuba memaksa pembeli menandatangani perjanjian jual beli dengan skop pembinaan baru antaranya mengecilkan kawasan binaan rumah, selain dikenakan bayaran tambahan kira-kira RM10,000," katanya.

Husaini Hussain, 41, berkata pihaknya kesal dengan tindakan pemaju yang hanya meninggalkan tanah kosong tanpa melakukan sebarang pembinaan rumah sedangkan potongan bank kira-kira RM1,500 sebulan sudah dibuat sebaik menandatangani perjanjian jual beli.

Dia yang membeli rumah banglo bernilai RM200,000 kini terpaksa menyewa di Taman Senawang Jaya selepas rumah yang dijanjikan pemaju dan sepatutnya siap tahun lalu atau selewat-lewatnya awal tahun ini hanya tinggal harapan.

"Saya minta pihak berkuasa khususnya kerajaan negeri campur tangan kerana ia membabitkan kepentingan pembeli dan kami tidak sanggup lagi menanggung kerugian kerana terpaksa membayar ansuran bulanan bank dan menyewa kediaman lain," katanya.

Sementara itu, kumpulan pembeli berkenaan yang mengadakan pertemuan dengan kakitangan pemaju di pejabat Naga Sakti tidak jauh dari kawasan tapak projek perumahan itu, kelmarin bagaimanapun masih gagal menyelesaikan masalah itu apabila pemaju tidak memberikan jaminan untuk menyiapkan projek rumah berkenaan.

Sebaliknya, pemaju masih berdolak-dalik dengan mengatakan projek itu adalah tanggungjawab D2B selain meletakkan kesalahan kepada pembeli.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Wilayah/20081203101703/Article/index_html

20081128

Lagi Perumahan Terbengkalai Kuala Pilah , Negeri Sembilan

Sinar Harian 27 November 2008 (sila klik pada laporan akhbar)

20081110

Projek rumah Desa Indah terbengkalai




Sebahagian projek yang telah tiga tahun terbengkalai di Desa Indah, Lubuk Cina, Rembau, Negeri Sembilan.

Utusan Malaysia 10 Nov 2008. REMBAU 9 Nov. - Pembeli 95 unit rumah teres kos sederhana rendah dan 60 unit rumah teres kos rendah di Desa Indah, Lubuk Cina dekat sini, kesal dengan kegagalan pemaju menyiapkan projek itu yang telah tiga tahun terbengkalai.

Seorang pembeli, Ibrahim Mahat, 38, berkata, projek perumahan itu sepatutnya siap pada November 2005, namun sehingga hari ini pembeli-pembeli hanya mampu menggigit jari kerana tidak dapat mendiami rumah milik sendiri.

Menurutnya, sebahagian besar pembeli merupakan golongan berpendapatan rendah dan mereka terpaksa membayar ansuran pinjaman perumahan antara RM200 hingga RM400 sebulan kepada pihak bank walaupun rumah tidak disiapkan.

''Pada masa ini, saya sekeluarga terpaksa menumpang di rumah ibu mertua kerana tidak mampu lagi menyewa rumah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tapak projek perumahan Desa Indah, Lubuk Cina dekat sini hari ini.

Ibrahim berkata, aduan berhubung projek perumahan berkenaan pernah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri serta Biro Pengaduan Awam (BPA) pada tahun 2006 dan 2007.

Bagaimanapun beliau berkata, sehingga kini tidak kelihatan tanda-tanda pemaju akan menyambung semula pembinaan projek perumahan Desa Indah.

Justeru, Ibrahim berharap pihak-pihak berkenaan mengambil tindakan proaktif bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi olehnya dan pembeli-pembeli lain.

Menurut pembeli, Siti Ayub, 48, sebelum ini beliau pernah menghadapi masalah serupa di sebuah projek perumahan di Kuala Lumpur.

Katanya, projek perumahan yang terbengkalai itu berjaya dipulihkan dan beliau melihat agensi-agensi kerajaan terbabit serta pemaju memberi komitmen tinggi dalam menyelesaikan masalah itu.

''Namun lain pula halnya di sini. Nasib kami seolah-olah tidak dipedulikan dan lebih malang lagi, sejak tahun 2006 saya dikehendaki membayar cukai tanah untuk rumah yang tidak siap," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak-pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah ini agar pembeli tidak teraniaya.

Seorang pembeli lain, Anas Haiza Hamid, 28, memberitahu, sebanyak RM6,000 wang pendahuluan dibayar kepada pemaju untuk pembelian rumah kos rendah di projek perumahan tersebut.

Beliau berkata, jumlah itu agak besar kepadanya yang bekerja di sebuah kilang dekat Alor Gajah, Melaka dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

''Saya mengambil masa bertahun-tahun kumpulkan duit sebanyak RM6,000. Sudah tentu saya marah dan kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak pemaju," katanya.

Sementara itu pembeli, Mohd. Afandi Omar, 31, berkata, pemaju pernah berjanji akan mengadakan perjumpaan dengan pembeli berhubung status projek perumahan Desa Indah.

''Namun sehingga hari ini, janji hanya tinggal janji. Pemaju seperti ingin mempermain-mainkan kami," ujarnya.

Mohd. Afandi yang tinggal berhampiran dengan kawasan projek perumahan itu berkata, rumah-rumah yang terbengkalai itu kini menjadi tempat nyamuk membiak selain sarang penagih dadah dan lain-lain aktiviti tidak bermoral.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm

20080807

Rumah janji siap 200 terbengkalai di Telok Kemang

TERBIAR: Antara rumah terbengkalai di Telok Kemang yang dijanjikan pemaju untuk siap dalam masa tiga tahun.














Pemaju sedang menunggu keputusan IWK mengenai kemudahan pembetungan

Berita Harian 6 Ogos 2008. PORT DICKSON: Pembeli projek perumahan Taman Anggerik di Teluk Kemang, dekat sini kecewa dan berasa tertipu apabila rumah mereka yang dijanjikan siap dibina dalam tempoh tiga tahun selepas dibeli pada 2000, bukan saja gagal disiapkan, malah terus terbengkalai sehingga kini.

Ia menyebabkan lebih 40 pembeli tertekan kerana terpaksa menjelaskan ansuran pinjaman sehingga mencecah RM700 sebulan dan pada masa sama ada yang menanggung beban membayar sewa rumah yang diduduki sekarang.

Guru, Junainah Samian, 34, berkata beliau membeli rumah itu lapan tahun lalu dan menandatangani perjanjian jual beli yang menyatakan kediaman berkenaan bakal disiapkan dalam tempoh 36 bulan.

"Selepas lapan tahun, bukan saja rumah gagal disiapkan, malah terus terbengkalai. Sudah empat tahun saya membayar ansuran bulanan pinjaman RM486, tetapi hanya mampu melihat semak samun dan struktur bangunan tak siap kerana kebetulan ia terletak berhampiran kuarters guru yang saya duduki sekarang," katanya.

Hanifah Kadir, 53, pula berkata pemaju berterusan memberi alasan projek akan disiapkan selepas mendapat kelulusan pembetungan, menyebabkan beliau menanggung ansuran RM689 sebulan dan pada masa sama membiayai pengajian empat anaknya di institusi pengajian tinggi awam.

"Ketika membeli rumah dulu, saya mengimpikan dapat mendiami kediaman sendiri selepas bersara, tetapi kini hanya tinggal dua tahun lagi untuk saya menamatkan perkhidmatan dan rumah berkenaan masih belum siap," katanya.

Wakil syarikat pemaju yang mengambil alih projek berkenaan daripada dua pemaju lama, Roslan Abdul Aziz Mohd Yusof, ketika dihubungi menjelaskan pihaknya sedang menunggu keputusan Indah Water Konsortium (IWK) mengenai kemudahan pembetungan di taman perumahan itu sebelum dapat meneruskan pembinaan.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Wilayah/20080806132749/Article/

20080515

N.Sembilan perlu contohi Melaka tangani perumahan terbengkalai

Berapa banyak projek perumahan terbengkalai di N.Sembilan ? Di daerah Rembau, Tampin, Port Dickson, Kuala Pilah, Mantin dan lain-lain tempat di negeri ini ? Mungkin boleh ditanya semasa Sidang Dewan Undangan Negeri yang akan datang.

Apakah langkah yang akan diambil oleh kerajaan N.Sembilan untuk membantu memulihkan projek perumahan terbengkalai ini ? Juga mungkin boleh ditanya semasa Sidang Dewan Undangan Negeri yang akan datang.

Yang pasti projek perumahan terbengkalai ini membawa pelbagai masalah bukan sahaja kepada pembeli tetapi kepada semua pihak antaranya :
1. Pembeli dibebani dengan hutang pinjaman sedangkan rumah tidak siap
2. Kerajaan negeri hilang hasil kutipan cukai tanah dan cukai pintu
3. Perumahan terbengkalai mendatangkan risiko kesihatan seperti pembiakan nyamuk aedes yang menyebabkan demam denggi
4. Perumahan terbengkalai mendatangkan risiko keselamatan seperti sarang penagih dadah, sarang penjenayah serta binatang liar.
5. Mencacatkan pemandangan
6. Pelabur, pemaju hartanah dan pembeli sendiri akan takut melabur dan membeli di negeri yang mempunyai banyak projek perumahan terbengkalai.

Justeru itu antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan N.Sembilan ialah mencontohi kerajaan negeri Melaka dalam menangani isu perumahan terbengkalai.

Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan oleh pelajar-pelajar IPTA yang membuat thesis mengenai usaha memulihkan perumahan terbengkalai antaranya ialah pelajar UTM ini bertajuk : “Tindakan Pengambil Alihan Projek Perumahan Terbengkalai - Kajian Kes Di Negeri Melaka”

Link http://eprints.utm.my/3490/1/RozettaYunusMBD2005TTT.pdf
Dapatan utama dalam kajian ini membuktikan bahawa tindakan pemulihan menerusi tindakan pengambil alihan projek perumahan terbengkalai telah dapat menangani sebahagian besar permasalahan perumahan terbengkalai. Ini dapat dilihat dengan penurunan kadar jumlah perumahan terbengkalai di Negeri Melaka.

20080514

Pemaju Projek Terbengkalai Boleh Diheret Ke Mahkamah oleh PBT

Tiada kompromi pemaju 13 rumah kosong

Utusan Malaysia 14 Mei 2008 . SEREMBAN 13 Mei - Tiada lagi kompromi. Itu ditegaskan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Abd. Halim Abd. Latif mengenai status 13 rumah teres dua tingkat yang terbengkalai di Taman Temiang Jaya di sini.

Kata beliau, MPS akan mengenakan tindakan kepada pemaju terbabit kerana menyebabkan lokasi berkenaan menjadi semak, dipenuhi nyamuk dan paling dibimbangi menjadi lokasi penagih dadah dan 'kaki botol'.

''MPS memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas pemaju kerana kegagalan mereka menyiapkan projek tersebut menyebabkan penduduk lain terancam.

''Kita mahu pemaju bertanggungjawab terhadap projek yang mereka laksanakan. Jangan biarkan penduduk sekitar menjadi mangsa akibat kegagalan menyiapkan projek perumahan itu. Ambil segera langkah pemulihan," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abd. Halim, biarpun bidang kuasa pihak berkuasa tempatan terhad, tetapi MPS boleh bertindak mengikut saluran tertentu dalam memastikan keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penduduk tidak terjejas.

Bagaimanapun kata beliau, MPS tidak mempunyai kuasa untuk merobohkan rumah yang terbengkalai, mahupun mengenakan tindakan kepada pemaju yang gagal menyiapkan rumah kerana ia diluar bidang kuasa.

Bagaimanapun, katanya, jika wujud unsur membahayakan keselamatan penduduk, pihak pemaju boleh diheret ke mahkamah kerana perkara itu.

Abd. Halim menambah, untuk mengatasi kemelut 13 rumah teres dua tingkat terbengkalai itu, beliau mencadangkan pembeli dan penduduk merujuk perkara tersebut kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mencari formula menyelesaikannya.

Beliau juga menyatakan rasa kesal kerana rumah tersebut sepatutnya sudah siap lama tetapi terbengkalai dan boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes serta lokasi tersembunyi kegiatan tidak bermoral.

''Kita bimbang jika keadaan ini berlarutan, ia akan mengundang masalah lain kepada penduduk sekitar.

''Bila sesebuah projek gagal disiapkan ia akan terus menjadi semak samun. Aktiviti tidak sihat seperti penagihan dadah dan penyakit sosial akan berlaku," katanya.

Justeru kata Abd. Halim, pihak MPS sedia menjadi perantara untuk menyelesaikan masalah berkenaan dan mahu ia segera diatasi agar dapat mewujudkan persekitaran bersih dan sihat, terutama dalam aspek keselamatan penduduk dan anak-anak mereka.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm

Projek Rumah terbengkalai Taman Temiang Jaya

Rumah terbengkalai jadi sarang penagih

Utusan Malaysia 14 Mei 2008. SEREMBAN 13 Mei - Rumah terbengkalai hampir 20 tahun di Taman Temiang Jaya di sini digelar 'rumah hantu' kerana menjadi lokasi kaki botol, penagih dadah dan penghidu gam melepaskan gian.

Suasana itu membuatkan penduduk di taman berkenaan sentiasa resah dan bimbang apabila 13 buah rumah teres dua tingkat di situ berterusan menjadi sarang penyakit sosial.

Imam Surau Taman Temiang Jaya, Dahlan Mohamad, 65, memberitahu, projek perumahan tersebut dimulakan sejak tahun 1985 tetapi gagal disiapkan kerana masalah kewangan.

''Projek itu telah beberapa kali bertukar pemaju dan sehingga kini, pemaju lesap rumah terus terbengkalai. Sekarang, penghuni tetapnya bukan manusia tetapi nyamuk aedes. Manusia pula yang datang ke situ tidak kira masa.

''Mereka bukan penduduk tetapi menceroboh rumah berkenaan dengan melakukan kegiatan tidak bermoral seperti minum minuman keras, hisap dadah dan sebagainya," katanya kesal.

Beliau mendakwa projek itu telah diambil alih oleh tiga pemaju sebelum ini dan sebahagian besar pemilik rumah itu telah membayar ansuran melalui potongan gaji.

Utusan Malaysia yang membuat tinjauan di lokasi terbabit mendapati ruang dalam salah sebuah rumah teres terbengkalai itu mempunyai sofa dan lantainya penuh dengan botol minuman keras dan samsu, selain putung rokok dan tin gam yang bertaburan.

Lebih menjijikkan, bahagian lain dalam bilik ini dijadikan tempat membuang air kecil dan tambah mengejutkan lagi bahagian dinding antara rumah teres dua tingkat itu ditebuk lubang, dipercayai bertujuan meloloskan diri jika pihak berkuasa datang menyerbu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk M. Subramaniam, 44, berkata, kawasan berkenaan pernah dibersihkan oleh penduduk setempat untuk dijadikan kawasan penanaman sayur namun sejak beberapa insiden berlaku di kawasan itu, ia terus terbiar.

''Kami pernah mengambil inisiatif menanam sayur tetapi oleh kerana kawasan itu tidak selamat kerana didatangi individu yang tidak dikenali iaitu menagih dadah, kami biarkan,'' jelasnya.

Katanya, kini hanya tinggal beberapa batang pokok pisang dan tebu dalam timbunan semak itu.

''Kadang kala, remaja dan belia datang berpasangan terutamanya mat rempit. Ada juga yang melakukan aktiviti seks bebas. Ini semua tidak bermoral dan kami bimbang keselamatan penduduk dan anak-anak di taman ini," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Azlan Kamarudin, 26, memberitahu, sepatutnya pihak pemaju bertanggungjawab dengan keadaan rumah yang tidak terurus itu kerana ia mengundang keresahan penduduk, apatah lagi peningkatan penyakit demam denggi.

''Penduduk di sini berharap ada langkah drastik diambil oleh mana-mana pihak agar keadaan ini tidak menyumbang tragedi kepada penduduk.

''Kalau pemaju gagal meneruskan projek ini, kami penduduk tidak mahu melihat rumah itu terus begitu. Robohkan atau mencari jalan membangunkannya secara bantuan kerajaan," katanya.

Azlan memberitahu, penduduk di situ telah pun menyatakan masalah ini kepada pihak berkaitan termasuklah pemaju tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil.

''Kami berharap pihak berkuasa terus mengadakan operasi pembersihan di kawasan 13 rumah teres terbengkalai ini dan bersedia membantu, sama ada bergotong royong dan sebagainya. Datanglah dan lihat masalah yang kami hadapi ini.

''Kalau ia tidak diatasi, saya bimbang masalah sosial dan demam denggi akan terus berlaku," tegasnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm

20080503

Pembeli rumah di Parlimen Rembau tiada pembelaan

Mungkin ramai antara kita tidak pernah dengar nama Titian Bintangor, adakah ianya nun jauh di pedalaman di Sarawak ? Tidak ianya terletak di DUN Kota , Parlimen Rembau.

Kisahnya bermula pada 1 November 2003. Ianya adalah merupakan Projek Perumahan Desa Indah dimana pemajunya ialah PDS Properties Sdn Bhd , Tamun Maluri, Kuala Lumpur dan kini alamat pemajunya di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

Projek Perumahan Desa Indah sekiranya siap mempunyai 95 unit rumah teres kos sederhana rendah dan 60 unit rumah teres kos rendah.

Ibrahim bin Mahat 38 tahun adalah salah seorang daripada pembeli rumah yang rata-ratanya orang Melayu yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya dari mana-mana pihak. Beliau dan isteri telah menghabiskan wang simpanan lebih RM 11,000 sebagai wang pendahuluan rumah idaman mereka. Rumah yang berharga RM 44,500 itu sepatutnya siap dalam masa 2 tahun iaitu pada November 2005. Namun kali terakhir surat yang diterima daripada pihak pemaju ialah pada 12 September 2005 yang menyatakan rumah beliau pada saat itu adalah 35% siap.

Namun begitu Ibrahim sedikit bernasib baik kerana beliau belum membuat pinjaman perumahan justeru itu beliau tidak dibebankan dengan bayaran bulanan daripada institusi kewangan. Menurut beliau ada antara pembeli-pembeli yang terpaksa membayar pinjaman bank, ada yang telah diambil tindakan mahkamah , ada yang telah menerima tunggakan cukai tanah dan pelbagai cerita lain.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pembeli-pembeli di Lubuk Cina, Mukim Titian Bintangor, Daerah Rembau dalam DUN Kota dan Parlimen Rembau ini. Namun sehingga ke saat ini tiada siapa yang mendengar keluhan mereka. Apakah ianya satu tempat yang kita jarang dengar namanya dan tidak jumpa dalam peta mereka ini disisihkan daripada mendapat pembelaan, walaupun mereka ini adalah anak jati Malaysia, anak jati Negeri Sembilan , anak jati Rembau ?

Siapakah yang akan membela nasib mereka ini ? Mereka yang sudi membantu nasib pembeli-pembeli rumah ini bolehlah menghubungi :

Ibrahim bin Mahat
No 6, Blok A, Rumah Rakyat Lubok Cina
71150 Linggi, N.Sembilan
Tel : 012-6091341

Berita bergambar di http://waghih.blogspot.com/2008/05/pembeli-rumah-di-parlimen-rembau-tiada.html

20080328

600 Rumah Bandar Utama Tampin 6 tahun tak siap

Sentral: Rumah tak siap 6 tahun
Oleh Jaafar Mulup

Pembeli terpaksa tanggung beban pinjaman bank minta BPR siasat projek terbengkalai

Berita Harian 28 Mac 2008. TAMPIN: Pertemuan demi pertemuan sudah diadakan dengan pihak bertanggungjawab, pelbagai saluran juga digunakan untuk menyuarakan masalah dihadapi, tetapi nasib lebih 600 pembeli projek perumahan terbengkalai di Bandar Utama Tampin, di sini masih tidak nampak jalan penyelesaiannya.

Kini, mereka hanya mampu berharap campur tangan kerajaan melalui Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baru, Datuk Ong Ka Cuan agar kemelut yang dihadapi sejak lebih enam tahun lalu itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

Projek perumahan di kawasan 60 hektar di Mukim Repah itu, dimajukan sebuah syarikat beribu pejabat di Kuala Lumpur dengan pelancaran disempurnakan pada Mei 2000 sebelum dijangka siap pada Februari dua tahun kemudian.

Namun, enam tahun menunggu, 612 pembeli yang kebanyakannya kakitangan awam dan swasta masih tidak dapat berpindah ke rumah baru dan terpaksa menanggung beban kewangan membayar ansuran pinjaman bank serta sewa rumah yang didiami sekarang.

Pembeli, Kek Kuang Yeow, 43, berkata mereka sudah menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi mencari jalan menyelesaikan masalah berkenaan dan sebelum ini beberapa kali mengadakan pertemuan dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah, Datuk Gary Gan Chin Yap.

"Kami juga membangkitkan masalah ini kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Datuk Mohd Yusof Yunus, tetapi pada perjumpaan itu tiada wakil pemaju hadir, sekali gus gagal mencari jalan penyelesaian. Malah, hasil perjumpaan dengan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting juga buntu.

"Apa yang amat mendukacitakan, projek perumahan ini difahamkan sudah bertukar tangan apabila pemaju lama menjualnya kepada syarikat pemaju yang lain. Kami tidak tahu apakah nasib kami sekarang," katanya.

Bekas kakitangan Telekom Malaysia (TM), Basir Ahmad, 53, berkata beliau membeli unit kediaman di kawasan perumahan itu kerana lokasinya yang strategik dengan hasrat dapat mendiami kediaman sendiri selepas bersara.

"Bagaimanapun, hasrat itu belum tertunai malah, saya terpaksa terus menyewa rumah dengan bayaran RM200 sebulan. Ia membebankan kerana selain membayar sewa rumah, saya juga terpaksa membayar ansuran pinjaman bank RM600 sebulan," katanya.

Beliau yang bersara pilihan pada Oktober tahun lalu, berkata dengan pencen RM800 sebulan diterimanya kini, kehidupannya sekeluarga begitu terhimpit dengan beban kewangan, sedangkan pemaju sudah menerima sebahagian bayaran daripada bank.

Guru, Ramli Tambi, 48, pula berkata, projek perumahan terbengkalai itu menyebabkan beliau terpaksa menebalkan muka menumpang di rumah ibu mentua kerana tidak mampu menyewa rumah.

"Sudahlah gaji kecil, RM450 daripadanya ditolak terus dari gaji bulanan untuk bayaran balik pinjaman kerajaan yang dibuat bagi membeli rumah di tapak projek berkenaan," katanya.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 45, berkata beban kewangan akibat projek terbengkalai itu menyebabkan beliau gagal membayar ansuran pinjaman bank untuk pembelian rumah berkenaan selama beberapa bulan.

"Memang saya kini amat terdesak kerana bank sudah mengeluarkan saman menuntut supaya menjelaskan ansuran bulanan yang tertunggak lapan bulan. Bagaimana nak bayar pinjaman bank sedangkan rumah tak siap dan saya terpaksa menyewa dengan bayaran RM350 sebulan," katanya.

Sementara itu, beberapa pembeli meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat projek terbabit kerana Bahagian Pinjaman Perumahan sudah melunaskan semua bayaran kepada pemaju bagi kediaman yang dibeli kakitangan awam.

"Kami difahamkan, kerajaan sudah pun menjelaskan pembayaran, tetapi mengapa rumah masih tak siap selepas enam tahun dengan bebannya dialihkan kepada pembeli yang kebanyakannya adalah rakyat berpendapatan sederhana," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/EdisiWilayah/20080328072145/Article/index_html