20091130

Pembeli Rumah Ditipu Orang Minyak

Dari Blog YB Dato Kamarul , Pengerusi PKR N.Sembilan

November 2009


PEMBELI RUMAH DITIPU 'ORANG MINYAK'


Sekiranya ada yang sudah lupa, atau belum tahu ceritanya, biar saya ulang. Kisah seorang wanita warga emas, Siti Hawa Abdullah, 61 tahun. Tahun 1982, masih muda pada usia awal 30an, dia berhasrat memiliki rumah sendiri. Dia membeli sebuah rumah di Taman Senawang Jaya (Fasa 1C), Seremban. Ketika membayar wang pendahuluan kepada pihak pemaju, dia membayangkan betapa bahagianya tinggal di rumah sendiri dalam tempoh 2 tahun lagi.


Malang baginya sebab setelah menunggu penuh semangat selama 2 tahun, rumahnya tidak siap. Dia terus menunggu, menunggu, dan menunggu. Akhirnya beberapa bulan lalu rumah idaman itu siap juga, setelah dia menunggu selama 27 tahun! Bayangkan dari pertengahan usia hingga memasuki usia emas, dia menunggu selama lebih suku abad untuk mendapat rumah. Tidakkah Siti Hawa boleh disenaraikan dalam Buku Rekod Dunia sebagai pembeli paling lama menunggu untuk mendapatkan rumah?


Perangkaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyebut ada 148 projek perumahan terbengkalai dilaporkan sejak tahun 1990. Berpuluh ribu pembeli kini masih menjadi mangsa.


Seorang pembantu pengurus di sebuah syarikat pengangkutan berjumpa saya baru-baru ini, membawa bersamanya surat perjanjian jual beli rumah, surat peguam, surat bank dan lain-lain dokumen. Dia membeli rumah kos sederhana satu kawasan perumahan di pinggir KL, berharga RM150,000. Projek tersebut sepatutnya siap dalam 3 tahun. Sampai kini dia sudah menunggu lapan tahun, rumah impian itu baru lebih kurang 30 peratus siap – baru nampak tiang, bumbung dan sebahagian dinding yang semuanya sudah berlumut dimakan cuaca – itu pun dalam semak samun yang mungkin telah menjadi tempat musang, ular sawa, kala jengking atau jin aprit, jembalang tanah dan suku-sakatnya.


Rumah tidak tahu bila akan siap, tetapi sejak hari pertama menandatangani perjanjian jual beli, termasuk dengan pihak bank, dia telah menanggung segala akibatnya. Dia terpaksa membayar balik kepada bank RM1,350 setiap bulan. Terlewat sehari dua bank bising-bising, dan kenakan faedah lambat bayar. Dalam waktu yang sama dia kena juga membayar sewa rumah. Bayangkan lapan tahun membayar balik pada bank untuk rumah yang tidak pernah diduduki. Lapan tahun juga terpaksa tinggal di rumah orang yang sewanya naik, naik, dan terus naik. Dia sekarang sudah separuh gila sebab dikejar bank setelah dua bulan tertunggak. Terkini, dia menerima surat peguam dari bank untuk mengheretnya ke mahkamah kerana kegagalan melunaskan hutang.


Alangkah menderitanya hidup! Semuanya gara-gara pihak pemaju yang tidak bertanggungjawab. Bagi berpuluh ribu mangsa yang menderita, apa lagi kata-kata dan gelaran yang patut diberikan kepada pemaju berkenaan selain penyangak, lintah darat, pembelit, kaki putar alam. Pemaju sudah awal-awal ‘sakau’ duit pembeli. Ketika pembeli tercungap-cungap dikejar bank, pemaju mudah sahaja cuci tangan dan menghilang diri. Menurut kenyataan kementerian berkenaan sebanyak 120 kontraktor telah disenaraihitamkan seluruh negara setakat ini atas pelbagai kesalahan, termasuk kegagalan menyiapkan projek perumahan mengikut jadual.


Apakah cukup sekadar ‘dihitamkan’? Sedangkan sesetengah dari kontraktor hitam itu masih terus selesa dengan rumah besar, kereta mewah, makan angin luar negara. Ketika pembeli menderita, mungkin ada yang membunuh diri, ‘orang minyak’ itu terus ketawa besar, cerut besar, perut besar. Sedikit pun tidak rasa bersalah.

RM200 juta juga telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2010 untuk membantu projek rumah terbengkalai. Peruntukan dalam Belanjawan 2010 itu terlalu kecil, dan patut ditambah bagi membantu berpuluh-puluh ribu lagi pembeli rumah yang sesetengahnya telah menunggu dalam derita selama sepuluh tahun.


Apalah RM200 juta jika dibandingkan dengan skandal PKFZ yang berjumlah berbilion-bilion ringgit itu. Menyedihkan dan menyakitkan hati kos awal projek komersial dan perindustrian Zon Bebas Pelabuhan Klang hanya RM2.5 bilion, tiba-tiba melonjak RM4.6 bilion.


Siapakah musibatnya? Pada ketika berpuluh ribu pembeli rumah menderita dan mengharapkan bantuan untuk mengatasi masalah projek rumah terbengkalai, ada pula pihak yang dengan mudah menyelewengkan duit berbilion ringgit menerusi projek PKFZ. Ini yang orang politik kita kena tengok!


Artikel penuh di http://telokkemang.blogspot.com/2009/11/pembeli-rumah-ditipu-orang-minyak.html

Tiada ulasan: