20091031

Rumah hantu sarang ular

Berita Harian 30 Okt 09
Banglo PD Village terbiar, dipenuhi semak samun

TELOK KEMANG: Suasana kawasan perumahan banglo setingkat PD Village di sini agak menyeramkan walaupun pada waktu siang kerana daripada 47 rumah di situ, hanya tujuh didiami.

Tinjauan Berita Harian mendapati walaupun kawasan itu terletak di lokasi strategik di atas bukit dan dikelilingi pokok, ia belum dapat menarik perhatian pemiliknya untuk terus kekal tinggal di sana.

Difahamkan semua rumah dengan konsep moden itu mempunyai pemilik, namun sebahagian mereka menjadikan rumah itu sebagai rumah percutian dan selebihnya dijadikan aset.

Bagi yang menjadikan rumah itu sebagai rumah percutian, setiap kali bercuti di situ, mereka akan membersihkan kawasan sekitar. Keadaan jauh berbeza dengan pemilik yang langsung tidak pernah menjenguk rumah mereka yang kelihatan seperti rumah ‘hantu’.

Beberapa rumah yang lengkap dengan alat pendingin hawa juga kelihatan dipecah masuk berdasarkan keadaan pintu dan tingkap yang pecah.

Malah, beberapa rumah yang dalam proses pengubahsuaian dibiarkan begitu saja dengan peralatan untuk mengubah suai dilihat terbiar di luar rumah dalam tempoh yang agak lama.

Sebagai kemudahan tambahan, pihak pemaju turut menyediakan sebuah kolam renang di kawasan ‘elit’ itu, namun kerana tiada pengguna mahu pun penjaga, ia dibiarkan begitu saja dan hanya dipenuhi air hujan serta daun kering.

Rumah pengawal di pintu masuk kawasan itu juga kosong. Difahamkan perumahan itu masih dijaga oleh seorang pengawal keselamatan yang hanya datang pada waktu malam.

Seorang penduduk yang ditemui, Abdullah Sani Mohd Said, 56, memberitahu kawasan itu memang dibiarkan begitu saja oleh pemilik sejak enam tahun lalu selepas siap dibina.

Katanya, walaupun semua rumah memiliki pemiliknya, dia juga tidak pernah mengenali jirannya kerana jarang berjumpa.

"Lebih 80 peratus pemilik adalah orang luar dan kebanyakan mereka berasal dari Kuala Lumpur. Ada yang membeli rumah ini untuk dijadikan rumah percutian dan ada yang dijadikan aset.

"Rumah tiga bilik ini saya beli dengan harga RM140,000 pada 2003 dan sekarang saya rasa harganya sudah jatuh memandangkan banyak rumah dibina di kawasan Port Dickson," katanya yang senang tinggal di situ kerana suasana nyaman sesuai dengan kehidupannya sebagai pesara.

Namun, perkara yang membimbangkannya dan penduduk sekitar, kawasan yang dipenuhi semak samun itu menarik minat haiwan seperti ular sawa dan tedung.

Abdullah Sani yang tinggal bersama isteri dan dua anaknya berkata, dia sering terserempak dengan haiwan liar itu di luar kawasan rumah dan bimbang jika memasuki rumahnya.

"Walaupun di bahagian kiri, kanan dan belakang rumah saya tidak berpenghuni, saya kerap membersihkan semak yang ada bagi mengelakkan kehadiran ular serta mahukan persekitaran yang bersih," katanya.

Tidak cukup dengan itu, Abdullah Sani berkata, bagi menjamin kawasan perumahan itu sentiasa selamat, dia dan beberapa penduduk yang tinggal di situ mengeluarkan sendiri wang untuk mengupah pengawal keselamatan berjaga pada waktu malam.

"Sudah ada beberapa kejadian pecah rumah di kawasan ini, terutama pada waktu malam kerana ia bertambah sunyi. Jadi saya dan beberapa penduduk setempat bertindak mengeluarkan wang sendiri sekurang-kurangnya RM30 setiap bulan bagi mengupah pengawal keselamatan," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Wilayah/20091030100846/Article/index_html

Tiada ulasan: