20091002

Rumah masih terbengkalai, pembeli mahu penjelasan


Sinar Harian 2 Okt 09

LUBOK CHINA - Masalah projek perumahan terbengkalai di Taman Desa Indah berhampiran Rumah Rakyat Lubok China yang sepatutnya siap November 2005 masih belum selesai sepenuhnya sehingga mendatangkan seribu pertanyaan dan kekeliruan kepada pembeli terlibat.

Masalah yang dihadapi penduduk di sini pernah disiarkan Sinar Harian keluaran 5 Ogos lalu.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi projek perumahan tersebut mendapati kawasan itu sedang digiat dibersihkan kerana sebelum ini ia ditumbuhi semak samun dan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

:Bagaimanapun, kerja baik pulih dan pembersihan ini menjadi tanda tanya kepada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Taman Desa Indah, Lubok China, Ibrahim Mahat dan pembeli lain kerana mereka tidak menerima sebarang notis atau surat memaklumkan kerja baik pulih dan pembersihan kawasan tersebut dijalankan.

Menurutnya, apa yang menghairankan apabila dia menghubungi pihak pemaju, mereka sendiri tidak tahu mengenai kerja baik pulih sedang dijalankan di kawasan tersebut.

“Saya jadi pelik kenapa hal ini boleh berlaku. Apabila saya tanya kepada orang yang melakukan kerja baik pulih ini mereka juga enggan memberi kerjasama sedangkan sebagai pembeli kami berhak tahu,” katanya.

Difahamkan, dia turut menghubungi Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, namun mereka juga memberi alasan yang sama tidak mengetahui mengenai kerja baik pulih yang dijalankan.

Malah, pihak kemente-rian juga telah mengeluarkan surat bahawa projek ini adalah projek peruma-han terbengkalai.

“Saya diberitahu pihak mereka akan menyiasat keadaan sebenar untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Ibrahim berkata, kehadiran pihak pemaju untuk bertemu dengan pembeli amat diharapkan bagi mengungkai segala kekeliruan yang dialami kini.

Menurutnya, perjumpaan bersama penting supaya masalah yang berlarutan selama bertahun ini selesai secepat mungkin.

“Sebagai pembeli sampai bila kami harus menunggu sedangkan pihak pemaju sendiri tidak mahu turun padang menemui pembeli.

“Seolah-olah mereka lepas tangan begitu sahaja tanpa memikirkan derita yang terpaksa kami tanggung,” katanya.

Katanya, masalah ini telah dibangkitkan kepada banyak pihak yang berkaitan, namun sehingga kini pembeli masih belum mendapat jaminan pasti bahawa projek perumahan ini akan boleh diduduki.

“Jika ya, adakah mereka akan membaiki segala kerosakan yang dialami seperti kayu yang telah reput dan keadaan rumah yang memerlukan proses baik pulih.

“Kami tidak mahu kerja baik pulih yang dijalankan ibarat melepas batuk di tangga dan akhirnya kami terpaksa menanggung kerugian wang ringgit atau nyawa,” katanya.

Seorang pembeli, Siti Aisyah Ayub, 43, yang mewakili suaminya berkata, dia tidak menafikan ada perubahan yang dilakukan yakni kerja pembersihan dilakukan sebulan lalu hingga kini selepas beberapa tahun mereka dihimpit dengan pelbagai persoalan dan rasa kesal dengan tindakan pemaju.

“Namun, saya masih khuatir takut kerja baik pulih ini dilakukan secara sambil lewa tanpa memikirkan risiko yang perlu pembeli hadapi selepas menduduki rumah ini,” katanya.

Aisyah berkata, dia agak tertekan kerana terpaksa membayar ansuran rumah sedangkan keadaan suami tidak sihat manakala dia pula tidak bekerja.

“Perkara ini sememangnya merunsingkan mereka sekeluarga apatah lagi sehingga kini rumah tersebut gagal diduduki.

“Saya sangat kecewa dengan tindakan pemaju yang tidak pernah mengambil tahu mengenai keadaan kami,” katanya.

Sehubungan itu, jika masalah ini berlarutan dia mahukan pihak pemaju membayar ganti rugi dan menghentikan segala pembayaran yang dibuat sebahagian pembeli di sini.

Sebagai pembeli, mereka tidak mahu diperkotak-katikkan oleh pihak yang tidak bertanggung-jawab.

“Pulangkan duit kami. Biar kami cari rumah lain. Tak perlu kita semua bermain tarik tali kerana yang menanggung kesusahan adalah kami.

“Saya sendiri sudah lali dengan masalah ini kerana penantian kami selama hampir 10 tahun masih belum berakhir,” katanya.

Menurutnya, bukan sekali dua masalah ini dilontarkan kepada pihak yang bertanggungjawab, namun setiap kali dibangkitkan, suara kecil pembeli tidak diendahkan.

“Keprihatinan dan perhatian Kerajaan Negeri amat diharapkan dalam membantu menyelesaikan kekalutan yang dialami.

“Kami tidak tahu di mana lagi hendak mengadu. Setiap hari terpaksa memikirkan sampai bila semua ini akan selesai. Saya harap pihak berkaitan turun padang lihat sendiri apa masalah yang ditanggung kami,” kata-nya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kema-juan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lubok China, Ismail Md Jan berkata, kerja baik pulih ini dijalankan sebulan lalu dan berterusan sehingga kini.

“Kerja baik pulih dan pembersihan ini melibatkan 46 buah rumah yang telah dibina sebelum ini di kawasan tersebut,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5181516.asp

Tiada ulasan: