20090916

Pembeli berang pemaju ‘ghaib’

Sinar Harian 16 Sep 09

GEMAS – Ketika masyarakat Islam lain sibuk membuat persiapan menyambut Syawal tidak lama lagi dengan penuh ceria, beberapa pembeli rumah di Pinggiran Felda masih tetap tinggal di rumah sewa selepas pemaju perumahan ‘ghaib’ menghilangkan diri.

Hasrat untuk beraya di kediaman baru milik sendiri kian terhakis selepas rumah teres satu tingkat, jenis Melur, masih lagi tidak dapat dihuni biarpun sudah membuat pembayaran sebanyak RM42,000 melalui potongan gaji daripada bank.

Pembeli, Azmi Mahmud, 39, berkata, kerja pembinaan berkenaan bermula sekitar 2005 dan siap pada 2007 serta dijanjikan selamat diduduki pembeli awal tahun ini.

Katanya, janji dibuat itu didengari ketika menghadiri perjumpaan tertutup antara Pegawai Daerah bersama wakil jabatan kerajaan, namun, masih gagal diduduki kerana bangunan kediaman berkenaan tidak mempunyai bekalan air, elektrik dan sijil kelayakan menduduki (CF).

“Pegawai Daerah berjanji rumah yang mula dibina sekitar empat tahun lalu dan siap pada Julai 2007 dijanjikan selamat diduduki pembeli pada 25 Februari lalu.

“Bagaimanapun, sehingga kini kami masih tidak diserahkan kunci, sebaliknya mengetahui kediaman baru kami tidak mempunyai CF, air dan elektrik walaupun sudah menjelaskan bayaran sebanyak RM1,000,” katanya.

Pemaju gagal serah kunci selepas mendapat bayaran

Azmi berkata, kegagalan mereka untuk berhari raya bersama kediaman baru di Taman Pinggiran Felda ini menimbulkan rasa kesal dan ia berpunca sikap tidak bertanggungjawab pemaju perumahan dari Lukut, Port Dickson iaitu, Resolute Fortune, Sdn Bhd yang menghilangkan diri selepas menerima bayaran pembeli.

Dia juga mengambil dokumen penting dari pada pejabat pemaju terbabit sebagai langkah mempertahankan diri selepas mendakwa menyaksikan majlis penyerahan cek kepada jabatan dan organisasi terbabit dengan projek itu pada perjumpaan tertutup.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, kegagalan pihak pemaju melaksanakan proses penyerahan kunci dengan keadaan prasarana lengkap menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati sekali gus mengajak rakan lain mencari penyelesaian.

Selain itu, katanya, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mendapatkan jawapan sebagai penyelesaian permasalahan terbabit seperti menghantar surat kepada pemaju dan Ketua Setiausaha Bahagian Perumahan Malaysia, namun, maklum balas yang diberikan menghampakan.

“Pada perjumpaan tertutup itu, saya diberitahu boleh memasuki kediaman baru pada 25 Februari dan ada menyaksikan majlis penyerahan cek kepada jabatan serta organisasi terbabit dalam projek ini sebagai pembayaran bagi menyiapkan sepenuhnya kawasan perumahan untuk diduduki pembeli.

“Sangkaan saya meleset apabila tibanya waktu penyerahan kunci, tiada seorang pun yang ada di lokasi. Pada keesokan harinya, saya segera menuju ke pejabat pemaju selepas panggilan yang dibuat tidak diendahkan bagi mendapatkan penjelasan serta dokumen penting daripada keraninya,” katanya.

Azmi juga mahu pemimpin setempat peringkat kampung Dewan Undangan Negeri (DUN), Pejabat Daerah dan Tanah Tampin serta jabatan kerajaan campur tangan menyelesaikan permasalahan yang membelenggu pembeli sejak berbulan lamanya.


Projek 90 peratus siap dibina

Sementara itu, Shamsuddin Omar, 48, berkata kehilangan pemaju tanpa diketahui menimbulkan rasa tidak puas hati kerana projek yang dilancar beberapa tahun lalu sudah 90 peratus siap dibina dan pembeli mula membayar cukai pintu dan kediaman berkenaan secara pinjaman bank.

“Saya berasa amat marah dan rasa tertipu dengan sikap pemaju yang lepas tangan selepas menerima bayaran pembeli. Saya sudah mula membayar cukai pintu dan menjelaskan bayaran rumah secara berperingkat sejak 2005.

“Kami pembeli kediaman di Taman Pinggiran Felda tidak akan berdiam diri dan tindakan sewajarnya akan diambil ke atas pihak pemaju serta mana-mana organisasi terbabit dalam kes penipuan ini, selain menuntut ganti rugi,” katanya.

Ahmad Komari, 47, berkata, pihak berkuasa dan pihak berwajib diharap dapat campur tangan sekali gus bersama pembeli menyelesaikan kemelut yang dihadapi sejak berbulan lamanya secara segera.

“Saya menuntut pihak berkuasa dan berwajib supaya tidak berdiam diri dengan permasalahan yang dihadapi sekali gus mengambil tindakan ke atas pihak yang mengambil kesempatan serta menipu.

“Segerakanlah kerja pemasangan meter air dan elektrik di samping memastikan kepada kami bangunan itu selamat untuk diduduki kerana bayaran sudah lama dibuat,” katanya.

ADUN Gemas sudah hubungi pemaju

Pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas di bawah pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Zainab Nasir sudah sedia maklum dengan permasalahan dihadapi pembeli rumah teres di Taman Pinggiran Felda.

Zainab yang juga Exco Kerajaan Negeri ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah sedia maklum dengan aduan dibuat pembeli yang memohon campur tangan wakil rakyat dalam menyelesaikan permasalahan berkenaan.

Menurutnya, wakil pemaju ada memberitahunya bahawa mereka berjanji akan menyelesaikan masalah terbabit dengan menjelaskan pembayaran bagi menyempurnakan pemasangan meter untuk kemasukan air dan elektrik di setiap rumah ketika dihubungi.

:“Bagaimanapun saya tidak menyangka proses itu langsung tidak dilakukan oleh pihak pemaju yang dipertanggungjawabkan.

“Saya difahamkan melalui aduan dibuat bangunan kediaman yang sudah hampir siap 100 peratus berdekatan Felda Sungai Kelamah ini masih belum diduduki,” katanya.

Beliau berkata, pemaju tersebut bersikap licik dan sehingga kini masih tiada lagi sebarang proses dibuat supaya pembeli dapat menduduki rumah yang dibeli mereka pada sekitar tahun 2005.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story4677242.asp

1 ulasan:

Suryani berkata...

saya jugak salah sorang pembeli.terima kasih kerana ketengahkan masalah kami.sewa rumah kena bayar load lagi.harap pihak berwajib ambil tindakan