20090910

MB persalahkan swasta punca perumahan terbengkalai di N.Sembilan

Rumah terbengkalai milik swasta
Sinar Harian 10 Sep 09

SEREMBAN – Projek rumah terbengkalai adalah projek diusahakan swasta dan bukan Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun begitu, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif bersesuaian bagi memulihkan beberapa buah projek rumah terbengkalai.

Menurut beliau, projek rumah terbengkalai bukan mudah diuruskan memandangkan Kerajaan Negeri tidak mempunyai kapasiti untuk memulihkan keadaan itu.

“Rumah terbengkalai bukan kerajaan punya projek, satu pun bukan kena mengena dengan Kerajaan Negeri. Ia adalah projek yang diusahakan pihak swasta. Kita telah mengambil (alih) beberapa projek untuk disiapkan.

“Dalam bulan raya nanti kita akan serahkan kunci di Taman Senawang, dan Taman Pelangi pun kita uruskan.

“Projek terbengkalai ini bukan sesenang yang kita lihat, ada yang melibatkan pengurusan yang kompleks,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri, semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga sedang mengusahakan memulihkan projek terbengkalai sebaik mungkin.

“Kerajaan cuba sedaya upaya memulihkan projek terbengkalai yang kita boleh pulih. Tetapi ada juga projek yang langsung kita tidak boleh pulihkan, jadi kena kenal pasti keadaan tersebut.

“Kita telah pulihkan lima projek, yang lain kita sedang usahakan supaya ada orang yang boleh pulihkan. Kita tidak ada kapasiti untuk memulihkan projek terbengkalai,” katanya.

Walau bagaimanapun, Mohamad berkata, projek rumah terbengkalai akan dapat diselesaikan dengan baik sekiranya ada agensi atau syarikat yang berminat memulihkan projek tersebut.

“Tetapi melalui agensi kerajaan ataupun ada syarikat yang berminat, kita akan memberi kemudahan dan galakan, permudahkan kerja memulihkannya,” katanya.

Beliau menambah, projek rumah terbengkalai bukan berpunca daripada kegawatan ekonomi tetapi ia berlaku sebelum zaman gawat, ditambah sikap kurang prihatin pemaju.

“Ada beberapa isu selain gawat, sebelum itu pun ada yang terbengkalai kerana ada pemaju yang tidak berfikir betapa susah menjadi pemaju, banyak terbengkalai atas sebab persendirian.

“Apabila gawat pada tahun 1997, banyak menyebabkan projek terbengkalai,” katanya.

Kerajaan Negeri juga perlu mengenal pasti kategori setiap projek rumah terbengkalai sebelum mengambil apa-apa tindakan memandangkan ada yang melibatkan proses perundangan yang rumit.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story4629512.asp

Tiada ulasan: