Sinar Harian 15 Sep 09
TAMAN ANGGERIK , Port Dickson – Setiap kali menjelang Syawal, 40 pembeli rumah di Taman Anggerik hanya mampu berangan-angan untuk beraya di rumah kediaman sendiri.
Hal ini kerana rumah mereka yang dijanjikan siap dibina dalam tempoh tiga tahun selepas dibeli pada 2000, bukan saja gagal disiapkan malah terus terbengkalai sehingga kini.
Ketua Ahli Jawatankuasa (AJK) Bertindak Taman Anggerik, Rohaizad Yacob berkata, pembeli membeli rumah itu lapan tahun lalu dan menandatangani perjanjian jual beli yang menyatakan kediaman berkenaan bakal disiapkan dalam tempoh 36 bulan.
Menurutnya, selepas sembilan tahun, bukan saja rumah gagal disiapkan, malah ia terus terbengkalai.
“Bayaran bank pembelian rumah tetap dipotong tetapi kami hanya mampu melihat semak samun dan struktur bangunan tidak siap.
“Akibat terlalu lama terbengkalai, kos untuk membaiki semula rumah ini dianggarkan meningkat kepada RM15,000 berbanding hanya tinggal RM1,000 sewaktu sewaktu mula-mula projek ini terhenti.
“Hal ini kerana rumah itu sudah siap 60 hingga ke 80 peratus. Namun akibat terlalu lama terbengkalai ia dijadikan sebagai sumber rezeki kepada penjenayah dengan mencuri komponen-komponen rumah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tapak projek berkenaan.
Rohaizad berkata, selain masalah rumah terbengkalai, terdapat juga satu lagi masalah lain di mana sebuah rumah mempunyai tiga nama dan ketiga-tiga mereka membuat bayaran deposit.
“Malah ada juga pembeli yang membuat bayaran deposit kabinet dapur dan kelengkapan lain.
“Rata-rata pembeli rumah di sini berpendapatan sederhana dan permasalahan ini amat membebankan kami semua ditambah dengan kos perbelanjaan sekarang yang semakin meningkat,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati banyak rumah terbengkalai runtuh sebahagian daripada atap dan binaannya serta dipenuhi dengan semak samun yang menjadi pusat pembiakan binatang bisa, nyamuk, tikus dan sebagainya.
Tinjauan yang dibuat bersama pembeli juga mendapati tempat ini dijadikan sebagai markas menghidu gam kerana terdapat botol gam ditinggalkan.
Pakaian juga dijumpai menunjukkan tempat ini aktif dijadikan kawasan sarang maksiat.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story4675007.asp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan