20110117
Pesara tentera kecewa rumah dibeli di Taman Rembia Utama terbengkalai
BUKHARI Ibrahim termenung melihat rumah yang dibelinya terbengkalai sejak enam tahun dulu di Taman Rembia Utama Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.
Utusan Malaysia 17 Jan 2011
ALOR GAJAH 16 Jan. - Seorang pesara tentera, Bukhari Ibrahim, 46, melahirkan rasa kecewanya setelah rumah idaman yang dibeli di Taman Rembia Utama fasa dua di sini pada harga RM70,000, terbengkalai sejak kira-kira enam tahun lalu.
Lebih mengecewakan lelaki itu, apabila dia terpaksa menjelaskan bayaran ansuran pinjaman rumah tersebut kepada bank sejak tahun 2003 sebanyak RM495 sebulan.
''Bayangkanlah kekecewaan yang terpaksa saya dan keluarga terpaksa alami, ingatkan selepas bersara, saya boleh tinggal dan mencantikkan rumah sendiri, namun semuanya tinggal anganangan sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, projek pembinaan rumah tersebut bermula 2002 dengan harga belian sebanyak RM70,000 dan sepatutnya siap pada 2006.
Bukhari berkata, dia mula membayar ansuran pinjaman bank pada 2003 namun projek perumahan kos sederhana itu mula menghadapi masalah pada 2005.
Katanya, dia kemudian mendapatkan penjelasan berhubung masalah tersebut kepada pihak pemaju perumahan terbabit yang beroperasi di Taman Melaka Raya namun pihak berkenaan memaklumkan masalah tersebut hanya sementara.
''Namun dari tahun ke tahun sehingga kini pemaju perumahan tersebut masih memberi jaminan yang sama tetapi rumah belum siap, pinjaman kepada bank perlu dijelaskan juga setiap bulan," katanya dalam nada kesal.
Bukhari yang mempunyai tiga anak berusia antara 10 hingga 17 tahun kini terpaksa menyewa sebuah rumah di taman berhampiran pada harga RM250 ekoran rumah yang dibeli terbengkalai.
Ujarnya, dia juga terpaksa mendapatkan pekerjaan lain sebagai polis bantuan di salah sebuah syarikat swasta di sini dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan bagi menampung keperluan harian keluarganya.
''Saya tidak tahu kepada siapa lagi nak adu masalah ini. Kasihan saya melihat isteri dan anak-anak yang sudah terpaksa lama menunggu rumah idaman yang tidak siap-siap.
''Isteri pula langsung tidak boleh cerita tentang masalah rumah ini, seolah-olah sudah berputus asa malah tidak mahu langsung melihat lagi rumah yang terbengkalai ini," katanya.
Katanya, perkara ini pernah dikemukakan kepada pihak Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan (Japerun) Dewan Undangan Negeri Rembia namun belum ada sebarang bentuk bantuan penyelesaian diambil oleh pihak tersebut.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_04.htm
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan