20110118

Rumah terbengkalai undang rasa kurang senang penduduk

Sinar Harian 18 Jan 2011

TEMIANG – Sebanyak 13 unit rumah terbengkalai yang hanya siap 70 peratus di Taman Temiang Jaya di sini, menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk berikutan ia berdekatan dengan kawasan kediaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai ketika ditemui berkata, rumah teres dua tingkat yang dibina sejak 1998 lalu, sehingga kini masih tiada perkembangan pembinaan.

Menurutnya, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada penduduk sekitar, mahupun pembeli mengenai projek terbengkalai itu.

Malah katanya, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada kerajaan negeri agar mereka dapat mencari alternatif lain bagi membantu pembeli mendapatkan rumah mereka.

“Perkara ini telah saya bangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Disember lalu tetapi jawapan yang diterima tidak memuaskan.

“Jika projek perumahan ini tidak diteruskan, maka pembeli berdepan risiko kerugian kerana terpaksa membayar pinjaman bank, sedangkan rumah yang dibeli tidak siap sepenuhnya,” katanya.

Chin Tsai berkata, sejak projek itu terbengkalai, ia turut mengundang bahaya dalam kalangan penduduk setempat.

Menurutnya, penduduk sering mengadu mengenai masalah nyamuk dan binatang liar seperti ular kerana keadaan kawasan sekeliling yang semak-samun.

“Bukan itu sahaja, saya juga khuatir jika kerajaan negeri, mahupun pihak berkaitan tidak membuat sesuatu terhadap kawasan projek ini, kemungkinan besar ia dijadikan kawasan untuk aktiviti penagihan dadah.

“Justeru, saya menggesa pihak berkenaan supaya melakukan sesuatu demi masa depan pembeli dan keselesaan penduduk sekeliling yang turut menerima impak dengan keadaan tidak terurus ini,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story8635577.asp

Tiada ulasan: