20110118

Rumah terbengkalai undang rasa kurang senang penduduk

Sinar Harian 18 Jan 2011

TEMIANG – Sebanyak 13 unit rumah terbengkalai yang hanya siap 70 peratus di Taman Temiang Jaya di sini, menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk berikutan ia berdekatan dengan kawasan kediaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai ketika ditemui berkata, rumah teres dua tingkat yang dibina sejak 1998 lalu, sehingga kini masih tiada perkembangan pembinaan.

Menurutnya, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada penduduk sekitar, mahupun pembeli mengenai projek terbengkalai itu.

Malah katanya, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada kerajaan negeri agar mereka dapat mencari alternatif lain bagi membantu pembeli mendapatkan rumah mereka.

“Perkara ini telah saya bangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Disember lalu tetapi jawapan yang diterima tidak memuaskan.

“Jika projek perumahan ini tidak diteruskan, maka pembeli berdepan risiko kerugian kerana terpaksa membayar pinjaman bank, sedangkan rumah yang dibeli tidak siap sepenuhnya,” katanya.

Chin Tsai berkata, sejak projek itu terbengkalai, ia turut mengundang bahaya dalam kalangan penduduk setempat.

Menurutnya, penduduk sering mengadu mengenai masalah nyamuk dan binatang liar seperti ular kerana keadaan kawasan sekeliling yang semak-samun.

“Bukan itu sahaja, saya juga khuatir jika kerajaan negeri, mahupun pihak berkaitan tidak membuat sesuatu terhadap kawasan projek ini, kemungkinan besar ia dijadikan kawasan untuk aktiviti penagihan dadah.

“Justeru, saya menggesa pihak berkenaan supaya melakukan sesuatu demi masa depan pembeli dan keselesaan penduduk sekeliling yang turut menerima impak dengan keadaan tidak terurus ini,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story8635577.asp

20110117

Pangsapuri terbengkalai, MB lepas tangan


BENTONG, 12 Jan 2011 : Harapan 24 pembeli rumah pangsa Taman Perdana Raya Karak, dekat sini untuk tinggal selesa berkecai apabila rumah yang mereka beli itu tidak disempurnakan oleh pemaju selain daripada tidak selamat untuk diduduki.

Tidak cukup dengan itu, pangsapuri kos sederhana rendah yang bernilai antara RM56,000 hingga RM63,000 (tingkat bawah) itu telah diubah oleh pemaju daripada pelan asalnya yang diluluskan.

Akibatnya, bentuk pangsapuri tersebut bertukar menjadi seperti sebuah bangunan sekolah manakala binaan dalamannya tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan sehingga Majlis Daerah Bentong (MDB) tidak mengeluarkan sijil menduduki (CF).

Dalam tinjauan Harakahdaily ke pangsapuri yang terbengkalai sejak 2006 itu kelmarin, didapati dikelilingi semak samun sementara bangunannya sudah banyak yang retak dan longkang serta cermin tingkapnya pecah.

Kebanyakan kabel elektrik sudah dicuri. Di bahagian dalamnya dipenuhi sampah dipercayai menjadi ‘port’ remaja melakukan maksiat dan tempat penagih melepaskan gian.

Namun begitu 11 pembeli Melayu, 10 Cina dan tiga India itu terpaksa juga membayar ansuran antara RM300 hingga RM520 kepada bank kerana wang pinjaman telah dikeluarkan hampir seratus peratus kepada pemaju.

Perumahan yang mula dibina pada tahun 2003 itu terletak di atas tanah kerajaan atas nama Puncak Properties di lot 3335, H.S (D) 14104 P.T 594 dan dimajukan oleh sebuah syarikat yang dipercayai ada kaitan dengan Umno Bahagian Bentong, IT Prima Development Sdn Bhd.

Tidak puas hati dengan keadaan tersebut, pembeli telah menubuhkan jawatankuasa bertindak dan membuat laporan polis.

Mereka juga telah mengadu hal berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabai, Ahli Parlimen Bentong, pembantu peribadi Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob minta diselesaikan.

Lepas tangan

Malangnya, kata Setiausaha jawatankuasa berkenaan Krishnan A/L Kassim Maruthiah, 46, semuanya tidak berhasil kerana masing-masing berlepas tangan.

“Beberapa bulan lalu kami telah mengadu kepada Biro Pengaduan Awam dan Senator Datuk T. Murugiah sendiri telah turun mengadakan rundingan dengan wakil jawatankuasa dan jabatan berkaitan malangnya wakil pemaju tidak hadir dan masalah kami terus senyap tanpa penyelesaian.

“Seterusnya kami telah berhubung dengan pejabat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah. Akhirnya atas inisiatif Majlis Perbandaran Bentong (MPB) pemaju telah berjanji memulangkan semula wang kami dengan tiga bayaran.

“Namun sehingga kini tiada tindakan dan bayaran balik yang dibuat. Unit korporat pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang juga berjanji untuk selesaikan dalam tempoh 10 hari, tapi sampai ini tak beres,” jelasnya.

Tambahnya lagi, isu perumahan ini juga telah dibawa ke parlimen oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail tahun lalu.

Menurut Krishnan, beliau mendapat rumah ditingkat bawah pangsapuri berkenaan dengan harga RM63,000 dan telah membuat ansuran bayaran sebanyak RM520 sebulan. Sehingga kini, katanya, sebanyak RM30,000 telah dijelaskan kepada bank.

Seorang pembeli lagi, Zuraini Zulkifli, 30, berkata beliau pada mulanya begitu gembira apabila ditawarkan membeli rumah dipangsapuri berkenaan sehingga mengeluarkan RM10,000 daripada KWSP kerana selama ini hanya tinggal menyewa.

Namun apabila sehingga kini rumah yang dibeli tidak boleh didiami, menyebabkan ibu kepada empat anak itu amat kecewa dan malu apabila ditanya oleh adik beradik tentang ‘rumah baru’nya itu

Rumah baru atau pulangkan duit

“Macam-macam cara dibuat termasuk pernah bertemu dengan Menteri Besar minta beliau campur tangan, tapi beliau kata tidak tahu menahu sedangkan ini ialah kawasannya. Kami juga ada mengutus surat kepada Sultan Pahang meminta baginda melihat nasib kami, tapi hingga kini masih senyap daripada sebarang penyelesaian.

“Saya membayar ansuran sebanyak RM400 sebulan, tapi dah kena macam ini dah tak larat lagi membayar sebab rumah sewa kena bayar, kos perubatan suami lagi. Suami saya bekerja di kilang kertas Bentong dan dia penghidap sakit jantung tepaksa berulang hospital Selayang dua bulan sekali,” ujarnya.

Tambah Zuraini, beliau telah dua tahun tidak membayar kepada bank kerana kesempitan wang dan kini namanya telah disenaraihitam.

“Harapan saya jika perumahan berkenaan tidak boleh dibaiki semula hingga boleh diduduki, pulangkanlah balik duit saya,” rayunya.

Tambahnya, beliau percaya jika perkara seperti ini terjadi di negeri Pakatan Rakyat atau berlaku pilihan raya kecil pasti kerajaan akan selesaikan.

Seorang pembeli lagi, Yang Kong Fatt, 31, berkata beliau membeli rumah itu kerana mahu berkahwin dulu dan sekarang sudah mempunyai anak rumah masih belum siap.

“Pada masa itu saya beli mahu hadiahkan rumah itu kepada isteri kerana masa itu belum berkahwin. Saya pinjam bank dan bayar secara ansur dan sudah habis lebih RM30,000, tapi kecewa sangat sampai sekarang masih menyewa.

“Rumah ini sekarang tak boleh duduk, jadi saya mahu balik wang saya untuk beli rumah lain,” tegasnya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30295:pangsapuri-terbengkalai-mb-lepas-tangan&catid=54:negeri-pahang-darul-makmur&Itemid=99

Pesara tentera kecewa rumah dibeli di Taman Rembia Utama terbengkalai


BUKHARI Ibrahim termenung melihat rumah yang dibelinya terbengkalai sejak enam tahun dulu di Taman Rembia Utama Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.

Utusan Malaysia 17 Jan 2011

ALOR GAJAH 16 Jan. - Seorang pesara tentera, Bukhari Ibrahim, 46, melahirkan rasa kecewanya setelah rumah idaman yang dibeli di Taman Rembia Utama fasa dua di sini pada harga RM70,000, terbengkalai sejak kira-kira enam tahun lalu.

Lebih mengecewakan lelaki itu, apabila dia terpaksa menjelaskan bayaran ansuran pinjaman rumah tersebut kepada bank sejak tahun 2003 sebanyak RM495 sebulan.

''Bayangkanlah kekecewaan yang terpaksa saya dan keluarga terpaksa alami, ingatkan selepas bersara, saya boleh tinggal dan mencantikkan rumah sendiri, namun semuanya tinggal anganangan sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, projek pembinaan rumah tersebut bermula 2002 dengan harga belian sebanyak RM70,000 dan sepatutnya siap pada 2006.

Bukhari berkata, dia mula membayar ansuran pinjaman bank pada 2003 namun projek perumahan kos sederhana itu mula menghadapi masalah pada 2005.

Katanya, dia kemudian mendapatkan penjelasan berhubung masalah tersebut kepada pihak pemaju perumahan terbabit yang beroperasi di Taman Melaka Raya namun pihak berkenaan memaklumkan masalah tersebut hanya sementara.

''Namun dari tahun ke tahun sehingga kini pemaju perumahan tersebut masih memberi jaminan yang sama tetapi rumah belum siap, pinjaman kepada bank perlu dijelaskan juga setiap bulan," katanya dalam nada kesal.

Bukhari yang mempunyai tiga anak berusia antara 10 hingga 17 tahun kini terpaksa menyewa sebuah rumah di taman berhampiran pada harga RM250 ekoran rumah yang dibeli terbengkalai.

Ujarnya, dia juga terpaksa mendapatkan pekerjaan lain sebagai polis bantuan di salah sebuah syarikat swasta di sini dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan bagi menampung keperluan harian keluarganya.

''Saya tidak tahu kepada siapa lagi nak adu masalah ini. Kasihan saya melihat isteri dan anak-anak yang sudah terpaksa lama menunggu rumah idaman yang tidak siap-siap.

''Isteri pula langsung tidak boleh cerita tentang masalah rumah ini, seolah-olah sudah berputus asa malah tidak mahu langsung melihat lagi rumah yang terbengkalai ini," katanya.

Katanya, perkara ini pernah dikemukakan kepada pihak Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan (Japerun) Dewan Undangan Negeri Rembia namun belum ada sebarang bentuk bantuan penyelesaian diambil oleh pihak tersebut.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_04.htm