20121025

Perumahan Terbengkalai di Bandar Baru Klang

October 25th, 2012

Saya telah membeli apartment dari syarikat perumahan PNSB Acmar pada bulan Disember 2005. Semasa promosi jualan saya dimaklumkan bahawa apartment tersebut telah 60% siap dan dijangka akan siap paling lewat pada penghujung tahun 2006. Namun sehingga kini, projek tersebut masih belum siap & saya tidak lagi menerima apa-apa progress report.

Saya pernah menelefon syarikat perumahan & jawapan tetap sama iaitu projek itu tertangguh dan mereka sedang mencari kontraktor lain untuk menyiapkan projek tersebut. Laporan kepada KPKT juga telah saya buat dalam tahun 2010 tetapi sehingga kini masih tiada tindakan atau maklumbalas. Setiap bulan gaji saya dipotong oleh Bahagian Pinjaman Perumahan & amat membebankan saya sekeluarga.

Saya amat kecewa tertekan kerana terpaksa mendukung “biawak hidup” ini tanpa sinar harapan yang boleh menyelesaikan masalah saya. Disamping menjadi bebanan kepada saya sebagai pembeli, projek terbengkalai ini juga memalukan saya sebagai warga kota Klang kerana ia terletak di kawasan Bandar Baru Klang, di pintu masuk bandar Klang.

Saya berharap masalah saya mendapat perhatian pihak yang bertanggungjawab.

By: Norazlina

20121022

Perumahan SPNB terbengkalai di Lahad Datu


22 Okt 2012
aduanrakyat.com

Saya merupakan pembeli rumah yang teraniaya dengan Projek SPNB yang dibina di Lahad Datu, Sabah (Perumahan Sri Gemilang) yang sehingga kini masih terbengkalai. Pinjaman yang saya buat dengan Kerajaan telah diluluskan pada tahun 2008.

Saya telah membuang masa selama 5 tahun tanpa membeli rumah dengan projek perumahan lain semata-mata mengharapkan agar Projek Perumahan Sri Gemilang ini dapat disiapkan.

Saya telah cuba menghubungi pihak yang berkenaan namun demikian tidak mendapat jawapan yang pasti sehinggalah baru-baru ini saya dimaklumkan bahawa projek ini akan dijalankan tetapi kedudukan lot rumah saya akan berubah dan setiap pembeli dikehendaki mengisi borang persetujuan untuk pemindahan lot tersebut dan kena akur dengan semua keputusan.

Di mana kami hendak menuntut pembelaan  jika sekiranya hak kami sebagai pembeli tidak diambil kira? Di samping itu juga sehingga kini saya belum menerima apa-apa pampasan di atas semua ini.

Sudah hampir sebulan saya cuba menghubungi Puan Siti Hajar untuk mendapatkan penjelasan namun tidak mendapat jawapan. Agen SPNB Kota Kinabalu En Hafiz ketika kunjungannya ke Lahad Datu menyatakan bahawa saya tidak layak untuk menerima pampasan disebabkan pemotongan belum berjalan.

Namun demikian kenapa ada pembeli yang belum menerima pemotongan bulanan tetapi menerima pampasan??Adakah SPNB pusat dengan SPNB Kota Kinabalu adalah satu Syarikat Perumahan yang berbeza??Di mana letaknya keadilan?Siapa yang mahu membayar segala ganti rugi?Adakah ini cuma janji palsu semata-mata?

Saya harap ada pihak-pihak yang prihatin terhadap masalah ini dan ianya dapat diketengahkan agar semua pembeli rumah di bawah Projek SPNB tidak teraniya dan nasib kami terbela.

By: Lina