20111024

Mount Austin terbengkalai

Mount Austin terbengkalai
Berita Harian
24 Okt 2011

200 pembeli pangsapuri kos rendah rayu kerajaan campur tangan

JOHOR BAHRU: Lebih 200 pembeli pangsapuri kos rendah Taman Mount Austin di sini, merayu Kerajaan Pusat dan negeri campur tangan menyelesaikan masalah perumahan yang terbengkalai sejak lapan tahun lalu.

Lebih mengusutkan masalah pembeli terbabit, pemaju gagal dikesan apabila pejabat urusannya sudah dipindahkan sekali gus menambahkan kebimbangan kepada golongan berpendapatan rendah yang masing-masing sudah membayar pendahuluan serta mengambil pinjaman bank.

Penduduk tidak mampu menyediakan peguam untuk membawa masalah ini ke mahkamah. Kami merayu kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam dapat campur tangan. - Suhaini Mat Isa, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Projek, Terbengkalai Taman Mount Austin Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Projek Terbengkalai Taman Mount Austin, Suhaini Mat Isa, berkata menerusi memorandum diserahkan kepada kerajaan negeri, pihaknya mengharapkan sokongan dan simpati kerajaan bagi menyelesaikan isu projek terbabit.

"Pelbagai saluran sudah kami gunakan bagi mencari penyelesaian terbaik, namun sehingga kini belum menemui sebarang penyelesaian, sedangkan ansuran pinjaman perlu dibayar.

"Justeru, penduduk berharap isu ini tidak dipolitikkan kerana kerajaan mempunyai kuasa melantik pemaju baru apabila projek gagal disiapkan mengikut tempoh. Kami hanya berharap hak kami dipenuhi kerana kami bukan berpendapatan tinggi untuk membeli rumah baru di tempat lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Johor, Mohd Haffiz Ahmad, di Pejabat Menteri Besar dekat Nusajaya, kelmarin. Hadir sama, Naib Pengerusinya jawatankuasa itu, Cong Werry.

Suhaini berkata, pihaknya berharap kerajaan memperuntukkan dana secukupnya bagi memulihkan projek terbengkalai yang setakat ini semakin meningkat selain meminta pihak terbabit segera mengambil langkah segera sebagai membuktikan pencapaian diutamakan, rakyat didahulukan.

"Penduduk tidak mampu menyediakan peguam untuk membawa masalah ini ke mahkamah. Justeru, penduduk merayu kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam dapat campur tangan.

'Kami juga bercadang mahu membuat laporan polis bagi memastikan pemaju tidak sewenang-wenang melepaskan tanggungjawab mereka dengan meninggalkan projek terbengkalai,” katanya.

Sementara itu, pekerja kilang, Nor Hashimah Sahat, 34, berkata beliau sudah membayar lebih RM20,000 sebagai bayaran pendahuluan rumah selain menjelaskan ansuran bulanan kepada bank, hampa apabila rumah yang dibina sejak 2004 gagal disiapkan sehingga kini.
"Penantian kami selama ini sia-sia apabila rumah tidak disiapkan seperti dijanjikan, malah paling mengecewakan hanya tapak rumah yang ditinggalkan apabila pemaju menghilangkan diri,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MountAustinterbengkalai/Article

Rumah terbengkalai 10 tahun

Rumah terbengkalai 10 tahun
Utusan Malaysia 24 Okt 2011



Sebahagian pembeli rumah Taman Desa Kempas mengadakan piket secara aman berhubung isu kelewatan projek berkenaan disiapkan, di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 23 Okt. - Kira- kira 100 pembeli rumah Taman Desa Kempas mengadakan demonstrasi aman menuntut penjelasan daripada pihak pemaju berhubung projek perumahan tersebut yang terbengkalai sejak lebih 10 tahun lalu.

Beberapa pembeli mendakwa mereka terpaksa menanggung kerugian termasuk kos bayaran rumah sewa dan ansuran pinjaman perumahan kepada pihak bank setiap bulan sejak 2003.

Salah seorang pembeli, Chan Hwa Nong, 38, berkata, dia membeli sebuah rumah kos rendah berharga RM22,000 pada 2000 semasa tawaran pembelian di sebuah pusat beli-belah di sini.

''Rumah itu sepatutnya siap pada 2003 tapi sampai sekarang tak siap-siap lagi dan disebabkan itu saya terpaksa menyewa rumah lain dengan sewa RM350 sebulan.

''Saya juga terpaksa membayar ansuran pinjaman perumahan kira-kira RM40 setiap bulan pada bank sejak rumah itu dibeli," katanya ketika ditemui di tapak projek perumahan tersebut di sini hari ini.

Difahamkan, projek pangsapuri Taman Desa Kempas dibangunkan pada 2001 dijual pada harga RM22,000 hingga RM100,000 bagi setiap unit. Ia dijadual siap sepenuhnya pada 2004 tetapi sehingga hari ini hanya fasa satu dan dua berjaya disempurnakan.

Seorang suri rumah, Ari Hasni Arifin, 33, dan seorang pegawai keselamatan, R. Lingam, 56, turut melahirkan rasa kecewa kerana masih belum dapat mendiami rumah idaman mereka biarpun pembayaran ansuran sudah mula dibuat sejak 2001.

Kedua-dua mereka masing-masing membeli sebuah pangsapuri berharga RM88,000 dan membayar ansuran pinjaman di antara RM350 hingga RM380 setiap bulan.

''Kami kecewa dan kesal. Sudahlah berhabis puluhan ribu ringgit malah terpaksa pula membayar sewa rumah yang diduduki sekarang. Kami berharap kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya ," ujarnya lagi.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_16.htm

20111020

Projek rumah JP Perdana yang terbengkalai

Projek rumah JP Perdana yang terbengkalai
Aduan Rakyat
20 Okt 2011

Saya ada membeli rumah teres dua tingkat di JP Perdana , Johor Bahru pada tahun 2005. Pemaju perumahan tersebut Oxbridge Height Sdn Bhd sepatutnya menyiapkan perumahan tersebut pada tahun 2008. Namun sehingga sekarang kami rumah tersebut belum siap dibina.

Pemaju meminta kami menandatangani surat perjanjian baru dengan syarat kami tidak menuntut apa-apa bayaran pampasan.Sehingga sekarang saya tidak menandatangani sebarang surat perjanjian dengan pemaju tersebut.

Saya telah pun berhenti membuat pembayaran dengan bank kerana merasakan projek ini telah terbelengkalai dan sekiranya saya terus membuat bayaran semakin banyak wang yang direleasekan bank dan sekiranya rumah ini tidak siap saya yang terpaksa menanggung hutang .

Disamping menyewa rumah terpaksa pula mengeluarkan wang membayar wang rumah yang belum tentu dapat lagi.

Sekarang saya pula menghadapi tekanan di mana pihak bank menuntut pembayaran bulanan yang kian tertunggak . Saya buntu bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut . Saya mohon ade pihak yang dapat menolong memberi nasihat bagaimana harus saya menyelesaikannya.

Sebagai pembeli saya rasa mempunyai hak kerana seharusnya rumah tersebut telah benar2 siap barulah kita sebagai pembeli mula membuat pembayaran bank.

Pemaju tidak langsung berminat mengambil tahu masalah kita sebalik menyatakan ini adalah urusan saya dan bank dan mereka tidak terlibat.

Saya mohon bantuan untuk menyelesaikan masalah ini.

By: Nur Nilam

http://www.aduanrakyat.com.my/projek-rumah-jp-perdana-yang-terbengkalai

20111018

Rumah terbengkalai oleh Syarikat Perpaduan Heights



Rumah terbengkalai oleh Syarikat Perpaduan Heights
18 Okt 2011

Saya telah membeli sebuah rumah teres setingkat yang dimajukan oleh Syarikat Perpaduan Heights Mukim Pilah Kuala Pilah Negeri Sembilan pada tahun 2002 dan sepatutnya siap 2003 sebanyak 152 unit Rumah Teres Setingkat dan Rumah Kos Rendah 2 Tingkat 119 unit . Rumah telah terbengkalai , saya telah membayar pinjaman sebanyak RM 432.00 setiap bulan hingga sekarang.

Setiap tahun juga saya terpaksa membayar cukai tanah di Pejabat Daerah Kuala Pilah hingga sekarang.

Saya juga telah membuat aduan kepada Yang Berhormat Menteri Besar , Pejabat Tanah Kuala Pilah , Pihak Pemaju dan Pihak TV 3 juga telah datang ke perumahan tersebut.

Pihak berkenaan berjanji akan memberi ganti perumahan lain untuk kami memandangkan Projek Perumahan itu dihentikan berbahaya di lereng bukit.

Semasa pembelian saya tidak tahu kedudukan rumah tersebut hanya diberitahu rakan dan melihat melalui gambar dari pihak pemaju perumahan di Johor Bahru kerana saya bertugas di Johor Bahru.

Masalah ini patut dapat di atasi segera kerana setiap kali belanjawan ada disebut masalah rumah terbengkalai akan diambil berat seperti juga tahun 2011 dan memandangkan pilihanraya hampir tiba , saya , kami berharap masalah perumahan terbengkalai ini dapat disiapkan dan memberi penempatan baru kepada kami .

Juga saya memang amat memerlukan tempat tinggal kerana 2014 akan bersara tiada tempat tinggal selepas persaraan . Kesiannilah saya yang terania dan selepas bersara tidak akan menyewa rumah pula.

Sekian , terima kasih .

Harap mendapat pembelaan dan berita gembira belanjawan 2011 dan sebelum pilihanraya menjadi kenyataan dan ditunaikan.

By: NOR MALA

Sumber : http://www.aduanrakyat.com.my/rumah-terbengkalai-oleh-syarikat-perpaduan-heights

20111017

Rayu siapkan rumah terbengkalai

Rayu siapkan rumah terbengkalai
KOSMO 17 Okt 2011


SEBAHAGIAN pembeli rumah pangsa Taman Mount Austin menyertai demonstrasi meminta menyiapkan projek pembinaan rumah mereka yang masih terbengkalai di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Pembeli 911 unit rumah pangsa Taman Mount Austin di sini yang terbengkalai sejak 2007 menggesa pihak bertanggungjawab termasuk kerajaan membantu agar pembinaan projek perumahan itu dapat disiapkan.

Ini berikutan, pembeli yang kebanyakan berpendapatan rendah itu bukan sahaja gagal mendiami rumah sendiri malah terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih untuk menyewa kediaman sementara menunggu rumah berkenaan siap.

Seorang pembeli, Yong Yon Choy, 21, berkata, dia membeli seunit rumah berharga RM50,000 pada 2003 dan telah membayar sebanyak RM35,000 dengan harapan untuk menduduki rumah tersebut seperti tarikh yang dijanjikan.

“Saya kecewa dan rasa tertipu apabila pemaju sehingga hari ini gagal menyerahkan rumah kami seperti yang dijanjikan.

“Malah saya telah mengeluarkan wang yang banyak untuk memiliki sekali gus berpindah ke rumah ini,” katanya yang bekerja sebagai tukang paip.

Seorang lagi pembeli, Ting Su Ung, 39, pula telah menyelesaikan kesemua bayaran rumah yang berharga RM50,000 itu, namun hampa apabila masih belum boleh diduduki.

“Saya sudah tidak boleh bersabar lagi kerana projek perumahan yang mempunyai 10 blok ini dijangka siap awal 2007.

“Selepas 2007, blok saya iaitu blok 10 telah siap dan pemaju telah menyerahkan kunci dan sijil menduduki (CF) tetapi malangnya bekalan air dan elektrik tidak ada,” katanya yang merupakan seorang guru taman didikan kanak-kanak.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

20111004

Apa sudah jadi perumahan SPNB di Lahad Datu

Apa sudah jadi perumahan SPNB di Lahad Datu
October 3rd, 2011

Saya adalah salah seorang pembeli rumah SPNB di Lahad Datu,Sabah (Bandar Sri Gemilang).Menurut perjanjian sewaktu pembelian,rumah tersebut akan diserah kunci pada 2010.

Tetapi sampai sekarang bayang kunci pun tidak kelihatan.Yang lebih menyedihkan lagi perumahan tersebut sudah terbengkalai(tidak ada kerja-kerja peminaan dijalankan).

Persoalannya sekarang dimana janji-janji Barisan Nasional untuk membantu rakyat Sabah?.Mana rumah mampu milik yang dijanjikan SPNB?.Adakah perumahan Bandar Sri Gemilang ini dibuat hanya untuk memancing undi?.Takan bila pilihanraya sudah dekat baru pembinaan dijalankan semula.

Kalau pembeli bertanya pihak SPNB Kota Kinabalu mengenai status perumahan tersebut,jawapannya senang saja PROJEK BERJALAN MENGIKUT JADUAL. Jadual apa yang diikut sekarang?.

Kami yang hari-hari lalu jalan tu untuk pergi kerja.Kami yang nampak projek tu berjalan atau tidak.Takan mahu tunggu wartawan TV3 datang baru nak kelamkabut.

Kalau boleh kami minta la bos-bos besar SPNB ni turun padang.Lihat-lihat la projek diSabah ni.Jangan nak duduk dipejabat saja.

Kalau kita lihat dalam tv bukan main lagi rancak projek SPNB ni.sana-sini rumah dibuat.Sana-sini bagi kunci rumah.Tapi hakikatnya diLahad Datu ni pembinaanya terbengkalai.

Kita bukannya nak marah,tapi kita menagih apa yang sudah dijanjikan untuk rakyat.kesudahannya sekarang yang kaya tambah kaya,yang miskin tambah miskin.

KECEWA DENGAN PROJEK SPNB.

Assalammualaikum.

By: malik
http://www.aduanrakyat.com.my/apa-sudah-jadi-perumahan-spnb-di-lahad-datu