20110924

Rumah terbengkalai oleh Syarikat Sepadan Tegas Sdn Bhd


Rumah terbengkalai oleh Syarikat Sepadan Tegas Sdn Bhd
Aduan Rakyat
23 September 2011

Saya telah membeli sebuah rumah yang dimajukan oleh Syarikat Sepadan Tegas Sdn Bhd pada tahun 2001. Rumah sepatutnya siap pada tahun 2003, walaupun demikian ia terbengkalai hingga sekarang.

Saya telah membayar pinjaman perumahan dari tahun 2003 hingga sekarang. Pada ketika ini pihak pemaju langsung tidak ada memberi maklum balas tentang rancangan penyiapan projek perumahan (Taman Bidara Palma) di Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka.

Saya percaya bahawa mereka senasib dengan saya juga merasa begitu tertekan dan kecewa keran rumah yang diidamkan tidak disiapkan mengikut perjanjian.

Dah nak masuk kali ketiga mengundi (PRU) keadaannya masih sama. Kawasan perumahan yang terbengkalai sebahagiannya dah jadi hutan kecil.

Sebahagian pembeli pula telah mengambil inisiatif sendiri menyiapkan rumah idaman dengan perbelanjaan sendiri.

By: zainudin

Sumber : http://www.aduanrakyat.com.my/rumah-terbengkalai-oleh-syarikat-sepadan-tegas-sdn-bhd

20110921

Dapaf CF tanpa air, elektrik

JELEBU 19 Sept. 2011 - Rumah siap pahat berbunyi. Itu yang dapat digambarkan perihal 30 pemilik rumah di Taman Teja dekat sini yang memperoleh rumah baru namun kediaman mereka itu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.

Lebih menghairankan penduduk, kemudahan asas tersebut belum diperoleh sungguhpun perumahan di kawasan itu sudah memiliki sijil layak menduduki (CF).

Salah seorang pemilik rumah, Mohd. Nizam Ibrahim, 34, berkata, rumah teres dua tingkat berkenaan dibeli pada 2006 dan siap sepenuhnya hujung tahun lalu.

''Pada Mac tahun ini kami dimaklumkan kawasan perumahan ini sudah memiliki CF sebelum menerima kunci dari pihak pemaju Julai lalu.

''Bagaimanapun, harapan saya untuk menduduki kediaman baru ini belum tercapai kerana sehingga kini kawasan itu belum mempunyai bekalan air dan elektrik," katanya di sini hari ini.

Mohd. Ali Imran Idris, 31, pula memberitahu, dia sendiri telah menghubungi pihak pemaju untuk bertanya masalah itu tetapi jawapan yang diterimanya sangat mengecewakan.

Jelasnya, pihak pemaju berjanji bekalan air dan elektrik akan disalurkan tidak lama lagi tetapi selepas beberapa bulan menunggu masih tiada sebarang perubahan.

''Saya juga sudah mengajukan masalah ini kepada pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak Majlis Daerah Jelebu (MDJ) tetapi masih tiada tindakan.

''Agak pelik juga bagaimana kediaman kami boleh mendapat CF daripada MDJ sedangkan kenyataannya ia belum layak untuk diduduki lagi kerana tiada kemudahan asas," ujarnya.

Sementara Norlaila Abdul Rahman, 31, pula berharap dapat menduduki rumah baru itu dengan segera kerana ketika ini dia sekeluarga tinggal di rumah sewa.

''Tidak lama gaji saya akan dipotong untuk membayar ansuran rumah dan ini sudah tentu membebankan saya dan penduduk yang lain kerana terpaksa membayar juga rumah yang di sewa," jelasnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm

20110914

Project Pangsapuri Kos Sederhana di Taman Selayang Mutiara masih tidak siap

Project Pangsapuri Kos Sederhana di Taman Selayang Mutiara masih tidak siap
September 13th, 2011

Untuk maklumat pihak tuan, kami pembeli Pangsapuri Kos Sederhana 5 Tingkat di Taman Selayang Mutiara, Selayang, di bawah pemaju Delpuri Corporation Sdn Bhd, ingin memohon jasa baik pihak tuan agar dapat membantu menyelesaikan masalah project terbengkalai ini.

Mengikut perjanjian rumah tersebut sepatutnya siap pada tahun 2007. Kami menemui jalan buntu. Perbincangan dengan pemaju yang berjanji hanya tinggal janji kosong sejak tahun 2007 hinggalah sekarang.

Rumah yang kami beli ini bukannya rumah kos mewah tapi cuma rumah kos sederhana sahaja yang mana kebanyakan pembeli adalah daripada golongan pemdapatan rendah dan sederhana.

Kami terpaksa menanggung pembiayaan bank sejak 2007 lagi dan juga terpaksa menanggung pembiayaan rumah sewa yang kami duduki sekarang. Harap pihak tuan dapat membantu kami.

By: Rashpail kaur

Sumber : http://www.aduanrakyat.com.my/project-pangsapuri-kos-sederhana-di-taman-selayang-mutiara-masih-tidak-siap

20110912

Bukit Kepong telah berlalu, rumah terbengkalai bila nak siap?

Isu Bukit Kepong telah banyak menenggelamkan isu masalah rakyat terutamanya projek perumahan terbengkalai. Mangsa perumahan terbengkalai ini bukan rakyat biasa sahaja, malahan polis dan bekas polis pun ada yang menjadi mangsa perumahan terbengkalai. Tak percaya?

Tengoklah dan bacalah sendiri laman web luahan mangsa perumahan terbengkalai di Malaysia di http://terbengkalai.blogspot.com

Projek Terbengkalai SPNB
Aduan Rakyat, 12 September 2011

Saya membuat aduan ini kerana pemaju projek perumahan SPNB di Taman Sri Gemilang Lahad Datu gagal menunaikan janji yg mana mereka sepatutnya menyerahkan rumah tersebut kepada saya pada Nov 2010. Oleh yang demikian saya minta supaya SPNB dan BN:

- Bertanggungjawab menyiapkan projek sebelum pilihanraya akan datang, kalau tidak kami sebagai pengundi tidak akan berkonfromi.
- Menyediakan dana peruntukan yang cukup untuk membiayai projek tersebut dan membayar kontraktor tepat pada masanya.
- Kalau tidak mahir menguruskan projek perumahan, minta nasihat atau melantik syarikat perumahan seperti Hup Seng Properties yang mana terbukti mutunya yang mana telah pun menyiapkan Taman Aman, Taman Fajar, Taman Perdana, Palm Height di daerah Lahad Datu.
- Minta Pengerusi SPNB yang juga MP Umno supaya turun padang melawat Lahad Datu bukan hanya duduk dalam pejabat sahaja. Lakukan sesuatu kalau masih mahu menjadi pengerusi SPNB.
- SPNB dan BN perlu menunaikan janji menyiapkan projek terbengkalai ini supaya tidak dicop tidak beretika dan tidak bermoral.

Minta saudara Karam Singh Walia (TV3) datang melawat kami dan memanjangkan permasalahan ini kepada PM.

Sekian

Calvin, Lahad Datu 18.08.2011

http://www.aduanrakyat.com.my/projek-terbengkalai-spnb

Rumah Terbengkalai 7 tahun, Pemaju Lari

Rumah Terbengkalai 7 tahun, Pemaju Lari
Aduan Rakyat, 12 September 2011

Saya telah membeli rumah di taman mount austin – low medium cost dan telah membayar 10% deposit pada awal tahun 2004 . Namun, sehingga sekarang saya hanya membayar interest pada pihak bank dan rumah saya sehingga kini tidak dapat diduduki dan tiada seorang pekerja pun yang ada di tapak pembinaan .

Apa yang paling mendukacitakan saya ialah saya telah pergi ke pejabat pemaju semalam ( 20 August 2011 ) tetapi pemaju tidak lagi menjalankan operasi di alamat dibawah tanpa memberikan notis kepada kami sebagai pembeli.

Saya amat kecewa debgan apa yang berlaku apatah lagi kawasan perumahan tersebut terlalu dekat dengan Hospital Sultan Ismail dan mencacatkan lagi keindahan kawasan yang sedang pesat membangun dengan wujudnya ‘rumah pangsa terbelengkalai dan berhantu’

Pihak kerajaan negeri dan majlis tempatan seharusnya peka dan mengambil tindakan segera bagi membela nasib pembeli yang berpendapatan rendah ( pemandu lori ) seperti saya.

Saya sekeluarga terpaksa pindah dan duduk di rumah emak mertua saya di Kelantan kerana terbeban dengan hutang bank yang harus di bayar setiap bulan. RM 200 pada saya merupakan satu jumlah yang amat besar untuk di bayar kepada pihak bank setiap bulan, sedangkan rumah tidak di duduki dan terbelengkalai.

Saya juga gagal untuk menghubungi pihak peguam yang beroperasi di Taman Pelangi Johor Bahru.

Diharap pihak Aduan Rakyat dapat memaparkan masalah ini di televisyen agar dapat membuka mata pihak berkuasa dan pemimpin kerajaan negeri dan perumahan tempatan yang sedang lena.

7 tahun merupakan satu tempoh yang lama dan bukanlah satu alasan untuk pihak berkenaan terlepas pandang. Seharusnya ada satu undang-undang di wujudkan bagi membuat ‘audit’ setiap tahun bagi memantau dan menguatkuasa tindakan yang sepatutnya terhadap pihak pemaju yang penipu ini.

Audit bukanlah di atas kertas berdasarkan laporan yang di hantar oleh pihak pemaju semata-mata, tetapi turun padang ke tapak pembinaan.

Dan adalah lebih baik campur tangan pihak Badan Pencegah Rasuah di dalam mengambil tindakan yang sepatutnya kerana tidak mustahil ada pihak tertentu telah di tutupkan mata di dalam melaksanakan tugas pemantauan.

Pandangan saya adalah di atas kesengsaraan yang saya dan pembeli lain hadapi dan tanggung selama 7 tahun ini. Saya yakin pembeli lain juga telah membuat aduan di beberapa tempat yang di rasakan dapat membela nasib kami.

PEMAJU: KONG SUN ENTERPRISE SDN BHD
ADDRESS : 2A & 6 Jalan Suria 19, Taman Putera 81100 Johor Bahru.

By: Rosli Bin Nawi

http://www.aduanrakyat.com.my/rumah-terbengkalai-7-tahun-pemaju-lari

20110908

10 tahun tunggu rumah siap



10 tahun tunggu rumah siap
Sinar Harian 8 Sep 2011

AIR KUNING – Majlis pecah tanah sudah diadakan pada 10 tahun lalu tetapi sehingga kini sebatang tiang pun tidak dipacakkan bagi melaksanakan projek perumahan rumah kos rendah di Kampung Air Kuning, di sini.

Keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemohon rumah tersebut yang sudah menandatangani surat permohonan pada 1998 bersama syarikat yang ingin memajukan projek berkenaan.

Naib Pengerusi Ketua MIC Air Kuning, K Jayamani, 46, yang juga salah seorang pemohon rumah tersebut berkata, mereka sudah menunggu terlalu lama dan sekarang mahu menuntut hak yang pernah dijanjikan oleh pihak berkenaan.

Menurutnya, mereka sudah memberi tempoh 10 tahun kepada pihak terlibat untuk menyelesaikan masalah itu, namun sehingga kini nampaknya hanya ‘dikuburkan’ begitu sahaja.

“Sekarang kami mahu menuntut hak yang dijanjikan dan berharap pihak bertanggungjawab tidak lepas tangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kawasan tapak pecah tanah projek berkenaan.

Jayamani berkata, mereka sentiasa menyokong kerajaan hari ini dan tidak pernah berhasrat untuk berpaling arah.

“Namun dalam hal ini, kami semua hanya mahu menuntut hak melalui janji yang diberikan dahulu.

“Rumah adalah harta yang paling bernilai bagi semua orang dan kami juga menanam hasrat untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.

Katanya, beliau pernah bertanyakan perkara itu kepada wakil rakyat kira-kira tiga bulan lalu dan maklum balas yang diberikan adalah rumah berkenaan memang mahu dibina.

“Oleh itu, diharap ia bukan sekadar jawapan untuk menyenangkan hati kami atau janji baru,” katanya.

Manakala, A Chandra berkata, pada usia 31 tahun, dia menyaksikan majlis pecah tanah projek pembinaan rumahnya yang dipohon, namun pada usia 41 tahun, tapak projek itu masih sama dipenuhi hutan belukar.

“Setiap kali melalui kawasan ini, saya amat kecewa kerana impian memiliki rumah sendiri tidak tercapai. walhal saya sendiri sudah melihat pelan rumah berkenaan dan berasa tidak sabar untuk mendiaminya.

“Kini, saya menyewa rumah di sini dan amat mengimpikan kehidupan di rumah sendiri bersama keluarga,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan selain masyarakat India, Melayu dan Cina turut menjadi antara pemohon rumah kos rendah itu di mana rata-rata mereka kini menyewa rumah di sekitar Air Kuning serta Linggi.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9506152.asp