20110921

Dapaf CF tanpa air, elektrik

JELEBU 19 Sept. 2011 - Rumah siap pahat berbunyi. Itu yang dapat digambarkan perihal 30 pemilik rumah di Taman Teja dekat sini yang memperoleh rumah baru namun kediaman mereka itu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.

Lebih menghairankan penduduk, kemudahan asas tersebut belum diperoleh sungguhpun perumahan di kawasan itu sudah memiliki sijil layak menduduki (CF).

Salah seorang pemilik rumah, Mohd. Nizam Ibrahim, 34, berkata, rumah teres dua tingkat berkenaan dibeli pada 2006 dan siap sepenuhnya hujung tahun lalu.

''Pada Mac tahun ini kami dimaklumkan kawasan perumahan ini sudah memiliki CF sebelum menerima kunci dari pihak pemaju Julai lalu.

''Bagaimanapun, harapan saya untuk menduduki kediaman baru ini belum tercapai kerana sehingga kini kawasan itu belum mempunyai bekalan air dan elektrik," katanya di sini hari ini.

Mohd. Ali Imran Idris, 31, pula memberitahu, dia sendiri telah menghubungi pihak pemaju untuk bertanya masalah itu tetapi jawapan yang diterimanya sangat mengecewakan.

Jelasnya, pihak pemaju berjanji bekalan air dan elektrik akan disalurkan tidak lama lagi tetapi selepas beberapa bulan menunggu masih tiada sebarang perubahan.

''Saya juga sudah mengajukan masalah ini kepada pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak Majlis Daerah Jelebu (MDJ) tetapi masih tiada tindakan.

''Agak pelik juga bagaimana kediaman kami boleh mendapat CF daripada MDJ sedangkan kenyataannya ia belum layak untuk diduduki lagi kerana tiada kemudahan asas," ujarnya.

Sementara Norlaila Abdul Rahman, 31, pula berharap dapat menduduki rumah baru itu dengan segera kerana ketika ini dia sekeluarga tinggal di rumah sewa.

''Tidak lama gaji saya akan dipotong untuk membayar ansuran rumah dan ini sudah tentu membebankan saya dan penduduk yang lain kerana terpaksa membayar juga rumah yang di sewa," jelasnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm

Tiada ulasan: