10 tahun rumah tidak siap
Berita Harian , 3 Dis 2011
JOHOR BAHRU: Kira-kira 600 pembeli unit rumah kos rendah dan sederhana Fasa 3, Taman Desa Kempas dekat Tampoi di sini, kecewa kerana rumah yang mereka beli sejak lebih 10 tahun lalu masih belum siap, selain terpaksa membayar ansuran pinjaman bank.
Lebih mengecewakan pembeli, pemaju projek itu membuat kerja sambil lewa dan apabila aduan dibuat, mereka memberi pelbagai alasan termasuk masalah kewangan dan kekurangan pekerja.
Mangsa, K Krishnan, 50, berkata kelewatan pemaju menyiapkan rumah mengikut tempoh menyebabkan beliau berdepan masalah kewangan yang serius apabila terpaksa membayar ansuran bank selain masa sama membayar rumah sewa dan menyara keluarganya. “Sudahlah rumah tidak siap, saya kini juga bakal berdepan dengan pihak bank kerana gagal membayar ansuran bulanan berjumlah RM870. Bukan saya tidak mahu bayar, tetapi saya sekarang tidak ada kerja tetap, selain terpaksa menanggung keluarga dan bayaran rumah sewa yang didiami sekarang sebanyak RM600 sebulan.
“Tahun lalu, saya terpaksa menjual kereta dan beberapa barangan lain bagi membayar hutang bank. Sekarang sudah tiada apa-apa lagi untuk saya jual. Saya mohon kepada kerajaan supaya memandang serius masalah yang sedang kami hadapi sekarang,” katanya yang membeli rumah berkenaan sejak Disember 2001 lalu.
Pembeli, Ramli Jonet, 38, berkata rumah terbabit yang dibelinya pada 2001 sepatutnya siap sepenuhnya pada 2004 namun sehingga kini ia seolah-olah terbengkalai begitu saja.
“Bila projek ini nak siap, tak tahulah. Sepatutnya siap pada 2004, tetapi kini sudah 2012. Sejak dari mula-mula saya beli lagi, kemajuan projek itu setakat dalam 30 peratus saja, lepas tu... tak berjalan dah.
“Saya dan pembeli yang lain seperti sudah putus asa. Sudah banyak kali kami cuba berbincang dengan pihak pemaju, tetapi gagal. Saya berharap, pertemuan pembeli dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, baru-baru ini memberi sedikit harapan kepada kami untuk melihat rumah itu siap sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Idris Haron, mengesyorkan semua pembeli projek perumahan terbabit supaya membuat aduan kepada Jabatan Perumahan Terbengkalai yang terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Jabatan berkenaan bertanggungjawab mendengar masalah daripada pembeli terbabit melalui sebuah tribunal yang sudah diwujudkan. Mereka akan bertindak melakukan siasatan lanjut mengenai aduan terbabit.
“Tribunal itu akan berurusan dengan pemaju dan mengarahkan mereka menjalankan semula kerja pembinaan. Sebaliknya, jika tribunal ini mendapati pemaju berdepan banyak masalah, tribunal mempunyai kuasa melantik pemaju atau kontraktor 'penyelamat' baru bagi menyudahkan projek terbengkalai itu," katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/10tahunrumahtidaksiap/Article
Tiada ulasan:
Catat Ulasan