20120116

SUK dan Nova bermasalah, pembeli jadi mangsa

SUK dan Nova bermasalah, pembeli jadi mangsa
January 15th, 2012

Saya telah membeli rumah pangsa kos rendah di Taman Bukit Tinggi, Bentong, Pahang. Lokasi yang menarik dan harga yang berpatutan telah menarik minat saya untuk mencuba nasib memohon rumah tersebut. Alhamdulillah,setelah menjalani beberapa kali temuduga, saya telah dipanggil untuk mencabut undi pada 26 April 2008 jam 9.30pg di Dewan Bukit Tinggi.

Saya telah menandatangani perjanjian jual beli pada 16 May 2008 di Joe Shahrul Husni & Co peguam yang dilantik oleh Kerajaan Negeri. Saya telah mendapat kelulusan pinjaman bank dan menandatanganinya pada 10 Julai 2008 di BSN Bentong, Pahang.

Setelah itu, pada Mac 2009 saya telah mula membayar faedah bank RM74.54 dan jumlah itu telahpun meningkat setiap tahun sehingga hari ini saya membayar sebanyak RM 138. Mungkin pada pandangan orang lain jumlah itu tidak banyak tetapi bagi surirumah yang hanya mengambil upah menjahit baju di rumah, jumlah tersebut agak membebankan. apatah lagi jumlah tersebut hanya melunaskan faedah selama 3 tahun ini dan rumah yang dibeli masih belum diserahkan kepada pembeli.

Kami cuba mendapatkan jawapan daripada SUK tetapi SUK telah beberapa kali berjanji akan menyiapkannya dan seringkali menyalahkan pihak pemaju.

Apabila saya pergi melihat rumah tersebut, saya dapati rumah tersebut telahpun siap dan terdapat beberapa barang spt sinki telah dicuri. Saya telah memaklumkan kepada SUK dan mereka masih memberikan jawapan yang sama. Perkara ini telah dilaporkan di dalam SINAR Pahang. Pada 2010, kami telah dpnggl ke Dewan Umno Bentong, Pahang untuk mengisi borang TNB, kononnya untuk memasukkan elekrik ke rumah tersebut.

Kami gembira dan SUK berjanji akan menyerahkan rumah tersebut sebelum thn baru cina 2011. Malangnya sehingga tarikh tersebut rumah masih tidak diserahkan. Akhirnya pada 11 Dis 2011, melalui FB Kami Penduduk Bentong, saya mendapat tahu ada perjumpaan antara SUK ( diwakili Dato Ho), pemaju dan pembeli (diwakili Dato Seri Liow Tiong Lai). Yang menghairankan, kenapa semua pembeli tidak dimaklumkan melalui surat.

Pada pagi tersebut, hanya segelintir pembeli yang hadir dan di sanalah baru pembeli mendapat berita yang sebenarnya. Rupa2nya, rumah tersebut telah siap sepenuhnya dan 3 dari 6 blok telah mendapat CF. Masalahnya ialah projek ini adalah Projek Bersilang, SUK memberikan projek kepada pemaju dan pemaju membina rumah dan pemaju akan dibayar dengan tanah yang ada di Pahang mengikut nilai projek tersebut.

Malangnya pemaju tidak dibayar seperti yang dijanjikan oleh SUK dan oleh sebab itu, pemaju tidak mahu menyerahkan rumah tersebut. Melalui perbincangan itu, kami sekali lagi dijanjikan oleh wakil SUK untuk menyelesaikan masalah ini dan mereka telah diberi tempoh seminggu dari tarikh perjumpaan atau selewat2nya sehingga bulan Mac 2012.

Sehingga pada hari saya menulis aduan ini, masih belum ada apa2 berita daripada mana2 pihak. Apakah janji kosong lagi yang SUK berikan? Apakah wajar pembeli menanggung kesusahan membayar bank dan membayar sewa rumah yang sedang diduduki, gara-gara kedua-dua pihak ini tidak menyelesaikan isu mereka? Adakah ini yang dikatakan Rakyat Didahulukan? Pembeli terus dihimpit kesusahan semata-mata mengharapkan rumah kos rendah kerajaan. Sampai bilakah kami terpaksa menunggu???????

By: tengku salbiah

http://www.aduanrakyat.com.my/suk-dan-nova-bermasalah-pembeli-jadi-mangsa#more-8780

Tiada ulasan: