20110728

Terharu pemaju berhati mulia




Terharu pemaju berhati mulia
Sinar Harian 28 Julai 2011

SEREMBAN - Kesanggupan sebuah syarikat pemaju perumahan memulangkan semula wang deposit sebanyak RM11,880 menyebabkan pembeli, Azalin Awang, 25, terharu semasa sesi perbicaraan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Negeri Sembilan, semalam.

Malah, beberapa individu yang hadir pada sesi perbicaraan itu secara spontan menepuk tangan dan bersorak dengan keputusan dibuat wakil syarikat pemaju.

Azalin berkata, dia amat menghargai keputusan pihak pemaju yang dianggapnya berhati mulia kerana memahami situasi sedang dihadapinya.

“Saya membuat bayaran deposit berkenaan untuk membeli sebuah rumah teres di Ampangan setelah sebuah bank bersedia menawarkan pembiayaan sepenuhnya.

“Bagaimanapun, pihak bank kemudian memaklumkan :pinjaman saya tidak diluluskan. Saya cuba memohon di bank lain tetapi tiada yang mahu memberi :pinjaman penuh,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia kemudian meminta pemaju mengembalikan deposit namun kecewa apabila wakil syarikat terbabit memberitahu wang hanya akan dikembalikan jika berjaya mencari pembeli lain.

Katanya, jawapan itu mengelirukannya yang tidak mempunyai pengalaman dalam urusan pembelian rumah.

“Saya memang amat gembira mendapat semula wang yang boleh digunakan untuk persiapan menyambut kelahiran anak saya tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, wakil syarikat pemaju, James Tan berkata, pihaknya memahami masalah Azalin dan bersedia membayar semula deposit dalam masa tiga bulan.

“Sebelum ini, saya tidak tahu masalah dihadapi Azalin sebab urusan jual beli itu diuruskan seorang pegawai lain.

“Setelah dipanggil oleh TTPM Negeri Sembilan hari ini (semalam), baru saya tahu cerita sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi TTPM Negeri Sembilan, Reihana Abdul Razak berkata, keputusan memulangkan semula wang deposit kepada Azalin dibuat sepenuhnya oleh pemaju.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9378491.asp

20110713

Projek Perumahan Yang Tidak Lengkap Pada Jangka Masa Yang Ditetapkan

Aduan Rakyat Online
July 12th, 2011

Ayah saya telah membeli sebuah unit pangsapuri di Taman Desa Kempas, Johor Bahru, Johor pada tahun 2000 yang dijangka siap pada tahun 2003. Walau bagaimanapun, pemaju projek tersebut iaitu MAJU DELIMA SDN BHD (JB Waterfront City Sales Office) gagal mematuhi perjanjian jual beli sehingga hari ini.

Lapan tahun sudah berlalu, tetapi ayah saya terpaksa menanggung bayaran bank yang membebankan. Kami telah cuba dengan sedaya upaya untuk menyelesaikan maslah ini, tetapi pemaju enggan memberi respon kepada pihak pembeli dan pemaju memberikan alasan yang tidak munasabah.


Selain itu, ramai lagi yang sedang menghadapi masalah yang sama dengan membeli pangsapuri ini.Harap pihak anda dapat membantu kami dalam menyelesaikan masalah in.

By: Amla A/P Nagendran
http://www.aduanrakyat.com.my/projek-perumahan-yang-tidak-lengkap-pada-jangka-masa-yang-ditetapkan

20110712

Projek Perumahan Terbengkalai Selama 11 Tahun

Aduan Rakyat Online
July 11th, 2011

Salam 1 Malaysia.

Disini saya ingin membuat aduan tentang projek perumahan terbengkalai di Fasa 2, Bandar Putera Indah, Mukim Linau Daerah Batu Pahat Johor.

Projek tersebut telah terbengkalai selama 11 tahun. Sesetengah pembeli telah pun membayar hampir separuh manakala sesetengah lagi telah pun menjelaskan pembayaran penuh terhadap pihak tersebut. Tetapi pihak tersebut telah menaburkan janji-janji palsu dan tidak mengendahkan sebarang aduan.

Kami telah berjumpa dengan pihak pemaju tetapi sehingga kini, rumah tersebut masih lagi dalam keadaan yang sama.

Projek perumahan tersebut dijangka siap pada tahun 2002. Tetapi sampai sekarang kami masih belum menerima sebarang khabar berita tentang rumah tersebut. Kini keadaan kawasan projek perumahan tersebut telah dipenuhi dengan semak dan telah menjadi tempat pembuangan sampah penduduk sekitar.

Memandangkan kehidupan kami tidak stabil, dengan bayaran sewa rumah, pembelanjaan sekolah anak-anak dan lain-lain lagi, kami memohon pihak Aduan Rakyat dapat menyelesaikan masalah ini.

By: siti mariam binti uyob
http://www.aduanrakyat.com.my/projek-perumahan-terbengkalai-selama-11-tahun

Projek SPNB Taman Saujana Kinabalu terbengkalai di Ranau, Sabah

Aduan Rakyat Online
July 11th, 2011

Saya ingin membuat aduan tentang projek perumahan di Taman Saujana Kinabalu Ranau yang telah lama terbengkalai. Setahu saya, projek ini dimajukan oleh SPNB iaitu Syarikat perumahan negara malaysia.

Projek perumahan ini telah lama dimulakan iaitu sejak 2007 lagi dan dijangka siap pada 2009 (kalau tidak silap saya, sebab ada sesetengah orang berpendapat yang ianya dijangka siap pada 2008) Apa-apa pun, jangkaan tahun yang sepatutnya projek ini disiapkan telah berlalu 2-3 tahun lepas.

Sekarang ini, projek perumahan ini masih lagi belum siap, malah terbengkalai begitu sahaja. Ini belum lagi termasuk tempat-tempat lain yang telah lama terbengakalai di sabah. Projek perumahan di Taman Saujana Kinabalu ranau belum siap tapi SPNB sudah sibuk membuat projek perumahan baru.

Sepatutnya SPNB utamakan dulu projek perumahan yang belum siap, kemudian barulah beralih ke projek perumahan baru yang seterusnya. Kalau beginilah SPNB menunjukkan ketidaktanggungjawab dalam hal ini, lama kelamaan akan timbul ketidakpercayaan terhadap SPNB.

Tolong ADUAN RAKYAT dedahkan tentang projek perumahan di Taman Saujana Kinabalu Ranau yang telah lama terbengkalai.

By: Eij
http://www.aduanrakyat.com.my/projek-spnb-taman-saujana-kinabalu-terbengkalai-di-ranau-sabah

Rumah Terbengkalai di Taman Mount Austin, Johor Bahru

Aduan Rakyat Online
July 11th, 2011

Saya telah menandatangani perjanjian beli rumah kos sederhana (RM50000) di Taman Mount Austin, Johor Bahru pada 7 tahun yang lalu. Mengikut perjanjian saya boleh menduduki rumah itu dalam jangkamasa maksimum tempoh pembinaan 3 tahun, tapi sehingga ke hari ini saya masih belum dapat menduduki rumah sendiri.

Sehubungan itu pula, saya dan suami telah mengeluarkan sebahagian dari akaun KWSP untuk menampung pembayaran bulanan rumah. Kini kami masih menyewa rumah dengan kadar yang sama dengan bayaran bulanan rumah yang kami beli.Pendapatan kami berdua yang tidak seberapa untuk menampung kehidupan ini.

Aduan telah dibuat dengan pelbagai pihak, sehingga kami membuat semakan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri , penjelasan yang diberikan ialah projek rumah kami adalah projek sakit bukan projek terbengkalai. Sanpai bilakah kami dibelenggu masalah sebegini, seiring dengan kemajuan dan peningkatan kos kehidupan yang berlaku sekarang.

Pejabat urusan projek ini pula sudah tutup dimana pula kami boleh mendapatkan maklumat terkini tentang perjalanan projek ini.Harapan tinggi mengunung untuk mendiami rumah sendiri tetap menguatkan semangat kami menunggu. Semoga pihak tuan dapat membantu nasib saya dan keluarga.

By: Masita
http://www.aduanrakyat.com.my/rumah-terbengkalai-di-taman-mount-austin-johor-bahru

20110701

DERITA 350,000 PEMBELI RUMAH



SERAMAI 500 pembeli di lapan projek perumahan yang terbengkalai berhimpun di hadapan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Pusat Bandar Damansara bagi mendesak campur tangan dan tindakan tegas kerajaan terhadap pemaju yang terlibat, kelmarin.

Utusan Malaysia 1 Julai 2011

KUALA LUMPUR 30 Jun – Lebih 350,000 pembeli di lapan buah projek perumahan terbengkalai sekitar Lembah Klang kini semakin tertekan berikutan masalah yang mereka hadapi itu belum menampakkan sebarang tanda penyelesaian.

Pelbagai usaha sudah dilakukan dan yang terbaru, kira-kira 500 orang yang mewakili keseluruhan pembeli terbabit berkumpul di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini bagi membantah kegagalan pemaju menyiapkan projek mengikut jadual.

Dalam perhimpunan tersebut, mereka menyerahkan memorandum untuk meminta kementerian berkenaan campur tangan dan bertindak tegas bagi menangani masalah terbabit.

Memorandum itu diserahkan oleh wakil pembeli, Mohd. Akram Mohd. Akhbar, 58, kepada wakil Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Apa yang menarik ialah kesemua yang hadir memakai baju berwarna oren yang tertera tulisan “100,000 keluarga mangsa projek terbengkalai” bagi menyatakan perasaan mereka.

Rata-rata mereka terdiri daripada pembeli dari kawasan perumahan terbengkalai di Taman Ukay Bistari, Lestari Puchong Fasa 3, Taman Bukit Jalil, Taman Lestari Perdana, Taman Puncak Jalil, Bukit Pandan Bistari dan Lake Villa, Putra Perdana.

Mohd. Akram ketika ditemui berkata, projek-projek perumahan itu sudah dimulakan sejak 10 tahun lepas, namun sehingga kini pembeli masih tidak mendapat rumah yang mereka beli.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, para pembeli sering tertekan menanti rumah mereka yang tidak siap-siap walaupun pihak pemaju sering kali menjanjikan rumah akan siap dalam masa terdekat.

Ujarnya, selain tertekan, pembeli-pembeli itu juga kerugian dari segi kewangan kerana terpaksa membayar faedah pinjaman bank setiap bulan dan ramai yang sudah membayarnya sejak 10 tahun lepas.

“Kalau dihitung, rata-rata pembeli sudah membayar lebih RM 50,000 sepanjang tempoh itu tetapi rumah yang dibeli tidak juga disiapkan. Ramai juga yang terpaksa menyewa rumah lain,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pembeli merayu agar pihak kementerian segera mengambil tindakan sama ada mengarahkan pemaju yang terlibat menyiapkan projek mereka atau mencari pemaju ganti.

“Kami sudah tidak tahu lagi ke mana hendak mengadu...,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_01.htm

Projek Rumah Terbengkalai di Lahad Datu depan MPOB

Aduan Rakyat Online – 30 Jun 2011

Kami berasa sangat sedih kerana Projek Pembinaan Rumah Sri Gemilang di Depan MPOB terbengkalai. Perumahan tersebut seharusnya siap pada tahun 2010 tetapi sampai sekarang belum siap.

Semasa kami mendaftar untuk membeli perumahan, kami sangat yakin kerana perumahan tersebut dikenalkan oleh YB Ustaz Suhaili yang merupakan ADUN N49 Tungku Lahad Datu.

Namun demikian keyakinan kami terhadap ADUN BN ini luntur sama sekali. Kami mengharapkan semoga kerajaan dapat melakukan tindakan segera bagi mengatasi masalah ini.

Keperhatian kerajaan terhadap masalah ini akan meraihkan sokongan rakyat kepada kerajaan pada pilihanraya umum ke 13 yang akan datang di Sabah.

By: RUKIAH

http://www.aduanrakyat.com.my/projek-rumah-terbengkalai-di-lahad-datu-depan-mpob

20110628

Pembeli rumah terbengkalai lancar Himpunan Jingga



KUALA LUMPUR, 28 Jun 2011 : 1000 keluarga mangsa projek rumah terbengkalai di seluruh Kuala Lumpur dan Selangor akan memakai baju jingga esok Rabu jam 2.30 petang bagi menzahirkan kemarahan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Perhimpunan amam itu akan didadakan di Bukit Damansara untuk menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap seorang Tan Sri yang menjadi Pengarah Bukan Eksekutif Talam Corporation.

Difahamkan mangsa projek rumah terbengkalai ini mendakwa beribu-ribu keluarga di Selangor dan Kuala Lumpur mengalami kesengsaraan dan beban ekonomi yang teruk disebabkan kegagalan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Tan Sri ini dalam menyiapkan rumah mereka yang kini tertunggak lebih daripada enam tahun.

Menurut Jaafar Ismail Pengerusi Badan Bertindak Casa Gemilang (BBCG), pihaknya telah bergabung dengan Victims (Persatuan Bangunan Terbengkalai Malaysia) sebagai gabungan kesemua mangsa projek terbengkalai di Malaysia, khususnya di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Perhimpunan besar-besaran sebanyak 1000 keluarga ini untuk menunjukkan kemarahan kita kepada manusia ini serta kami menuntut kerajaan campur tangan dan mendakwa orang ini dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi kepentingan kami sebagaimana yang ditetapkan di bawah Akta Pembangunan Perumahan.

"Perhimpunan ini adalah permulaan siri perhimpunan yang kami berhasrat untuk meneruskan sehingga kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap orang ini.

"Kita tidak boleh memahami mengapa lelaki ini menikmati keistimewaan dan kekebalan kepada kerajaan.

"Kami mahu kerajaan membatalkan semua gelaran Kehormat yang telah diberikan oleh kerajaan," katanya kepada Harakahdaily.

Victims adalah sebuah badan bukan kerajaan yang dipimpin oleh Dr. Muhammad Rafick yang juga Pengerusi rumah terbengkalai UK Bistari yang pada ketika ini, hampir 500 ahli berjaya didaftarkan dibawah Victims.

Sementara itu, BBCG yang mewakili pembeli-pembeli projek terbengkalai Casa Gemilang Servis Apartment dan Rumah Bandar di Sungai Pusu, Gombak.

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4053-pembeli-rumah-terbengkalai-lancar-himpunan-jingga

20110626

Rumah SPNB di Kuang tidak dapat sambutan



Free Malaysia Today
June 26, 2011

Daripada 1, 000 buah yang dibina, hanya 200 yang dibeli, demikian kata Pengerusi SPNB, Datuk Idris Haron.

PETALING JAYA: Rumah Mampu Milik (RMM) yang dimajukan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kuang, Selangor kurang mendapat sambutan.

Daripada 1, 000 buah yang dibina, hanya 200 yang dibeli, demikian kata Pengerusi SPNB, Datuk Idris Haron.

Menurutnya, lokasi yang agak terpencil dan masalah pengangkutan menjadi punca mengapa rumah tersebut kurabg mendapat sambutan.

Bagaimanapun beliau yakin dalam tempoh lima tahun akan datang semua rumah tersebut habis dijual.

“Tetapi kita berusaha menjualnya lebih cepat kerana SPNB telah melabur sebanyak RM120 juta.

“Orang tunggu dan lihat tetapi kalau tunggu terlalu lama kita akan ketinggalan,” jelasnya.

11, 000 tidak dijual

Menurut Idris yang juga ahli Parlimen Tangga Batu, Melaka , RMM di Kuang itu sebahagian daripada 11, 000 buah milik SPNB yang belum dijual.

Begitupun, dakwanya, SPNB tidak menanggung kerugian itu sebaliknya pihak bank yang gagal menjulal rumah-rumah berkenaan.

“Rumah yang gagal dijual itu ada yang sudah berusia setahun, dua tahun malah empat tahun,” tambahnya.

Beliau memberi jaminan mutu dan spesikasi rumah yang dibina oleh SPNB sama dengan projek swasta tetapi harga rumah SPNB lebih murah.

Katanya, rumah SPNB lebih murah kerana pihaknya memberi subsidi kepada pembeli sebagai satu tanggungjawab sosial agensi itu.

http://www.freemalaysiatoday.com/2011/06/26/rumah-spnb-di-kuang-tidak-dapat-sambutan/

Rumah terbengkalai di Taman Bukit Riah, Pengkalan Hulu, Perak

Aduan Rakyat Online, 25 Jun 2011

Saya ingin perhatian pihak tuan berkaitan rumah terbengkalai di Taman Bukit Riah Pengkalan Hulu, telah 23 tahun kami menunggu rumah tak juga diserahkan, dah baiki semula minta pihak tuan ketengahkan ADA PEMBELI DAH MENINGGAL rumah tak juga dapat duduk.

Kami bekas Pasukan Gerak Am Batalion 18 kebanyakan dah pencen rumah tak dapat duduk, potongan tetap di bayar pada kerajaan dan bank. Minta kerjasama sangat tuan untuk ketengahkan isu ini, Rumah Kos Rendah Taman Bukit Riah Pengkalan Hulu Jalan Betong.. tarikh beli 30/4/1991. Puas mengadu tapi tak dapat perhatian.

Rumah dah di baiki tapi kunci pula tidak mahu diserah. Pihak kami tidak membuat tuntutan apa-apa dari mana-mana pihak, kami hanya menunggu untuk rumah diserahkan, itu sahaja, kerjasama pihak tuan amat kami nantikan ibarat menanti buah yang tidak gugur

http://www.aduanrakyat.com.my/rumah-terbengkalai-di-taman-bukit-riah-pengkalan-hulu-perak

30 Julai 2005
Majlis Penerangan dan Menandatangani Surat Akujanji Projek Perumahan Terbengkalai Taman Bukit Riah, Kroh, Pengkalan Hulu, Perak.
http://www.spnb.com.my/bm/corporate/media_event2005.htm

20110602

Adakah Anda Pembeli Perumahan Terbengkalai ?



Sekiranya anda adalah mangsa Projek Perumahan Terbengkalai yang tidak mendapat perhatian dan pembelaan yang sewajarnya, sila luahkan kekecewaan anda dalam ruangan komen di sini.

Di bawah ini beberapa komen dari pembaca blog sebelum ini :

Tiada harapan bagi saya untuk menduduki rumah yang diidamkan selepas berpencen dari perkhidmatan Tentera pada Jul 2011 memandangkan rumah yang dibeli telah terbengkalai. Hendak dikesalkan membuat jiwa rasa terseksa, namun apakan daya hidup mesti diteruskan walau terpaksa menumpang rumah ibubapa atau menyewa. Sebenarnya menjadi tanda tanya mengapa mudah pemaju menjadikan orang lain sengsara sedangkan pembeli telah membayar dengan kaedah pinjaman bank atau sebagainya. Wahai pihak yang berkaitan renung2 masalah projek perumahan Bandar Utama Tampin yang telah terbengkalai..mengapa jadi begini pasti ada yang tidak kena. Harapan saya dan pembeli yang lain adalah impiana untuk menduduki rumah yang diidamkan itu menjadi kenyataan...AMIN
By WARISN9 on 600 Rumah Bandar Utama Tampin 6 tahun tak siap on 8/17/10

salam... saya pun salah seorg drpd pembeli perumahan pinggiran felda. saya pun tidak berpuas hati dan sgt kecewa kerana rumah yang dinanti tidak jua siap. saya ada menghubungi lawyer, tetapi hampa dia seolah-olah melepas tangan dan tidak mahu campur tangan dlm permasalahan ini...saya akan bersama2 menyokong sebarang usaha utk menuntut hak kita....
By fendy5479 on PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI TAMAN RASAH INDAH DA... on 1/30/10

saya jugak salah sorang pembeli.terima kasih kerana ketengahkan masalah kami.sewa rumah kena bayar load lagi.harap pihak berwajib ambil tindakan
By yan_gemas on Pembeli berang pemaju ‘ghaib’ on 9/16/09

BeEND mendabik dada maju dalam pembangunan tapi nampaknya, dalam bab pembangunan mereka tidak begitu pandai seperti yang diuar-uarkan..... buat malu boleh lah!!!
By Kuda Perang on Perumahan Terbengkalai di Bagan Pinang , N.Sembila... on 9/15/09

20110501

Rumah hanya tinggal impian



Sinar Harian 1 Mei 2011

Temiang, Seremban - Impian lebih 60 pembeli untuk tinggal di kediaman sendiri di Taman Bukit Zamrud, dekat sini hanya tinggal angan-angan apabila pembinaan rumah mereka terbengkalai sejak lebih lima tahun lalu.

Rumah teres yang mereka beli pada 2004 itu kini masih belum siap dan belum ada tanda akan disiapkan pemaju sepenuhnya.

Seorang pembeli, Kamarullah Hawari, 46, berkata, seramai 67 pembeli rumah berkenaan hanya mampu ‘gigit jari’ apabila pemaju gagal menyiapkan projek peruma-han berkenaan.

Dia dan keluarga yang berharap untuk menduduki rumah berkenaan selepas bersara nanti hanya mampu berharap masalah tersebut dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Menurutnya, sehingga kini, mereka bukan saja terbeban untuk membayar ansuran rumah berkenaan, malah terpaksa mengeluarkan wang untuk menyewa rumah.

“Dalam perjanjian jual beli oleh pemaju sebelum ini, projek berkenaan dikatakan dapat siap dalam tempoh 24 bulan.

“Tetapi sampai hari ini kami masih tidak boleh mendiami rumah berkenaan, namun tetap membayar ansuran rumah sehingga kini,” katanya.

Menurutnya, rumah berkenaan dibeli sekitar RM87,000 seunit.

Seorang lagi pembeli, Mohd Affendy Abd Wahid, 34, berkata, dia kesal kerana projek peruma-han yang sudah siap 65 peratus itu dihentikan secara tiba-tiba.

“Saya benar-benar kecewa. Sampai bila kami harus sabar menunggu ? Saya masih lagi menyewa rumah.

“Hasil pertemuan dengan pihak pemaju awal tahun ini pun tidak membawa apa-apa jalan penyelesaian,” katanya.

Sehubungan dengan itu, katanya, pembeli di situ sudah sepakat mengambil tindakan undang-undang kepada pemaju bagi menuntut semula wang pinjaman yang sudah dibayar pembeli dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN – DAP) Temiang, Ng Chin Tsai yang turut mendengar keluhan pembeli projek perumahan tersebut berjanji akan cuba membantu dengan melantik peguam bagi mengadili masalah dihadapi.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9035720.asp

20110228

Pembeli rumah derita 10 tahun


OSMAN bersama para pembeli menunjukkan projek perumahan terbengkalai di Taman Desa Kempas, Johor Bahru semalam.
--------------------------------------------------
KOSMO 28 Feb 2011

JOHOR BAHRU – Selepas sedekad menunggu, seramai 666 pembeli projek perumahan Taman Desa Kempas di sini kecewa dan tertekan ekoran rumah idaman mereka sehingga kini masih belum siap-siap.

Lebih menyedihkan, mereka banyak kali mengadukan masalah tersebut kepada pihak pemaju namun ia ibarat mencurah air di daun keladi.

Akibatnya, pembeli terpaksa menanggung kerugian termasuk menanggung kos bayaran rumah sewa selain membayar ansuran pinjaman kepada pihak bank setiap bulan.

Seorang pembeli, Faridah Ban, 45, berkata, dia membeli sebuah rumah berharga RM88,000 itu pada tahun 2001 dan sampai sekarang, ia belum disiapkan.

“Rumah fasa ketiga itu sepatutnya siap dalam tempoh tiga tahun namun sehingga tahun 2011 hanya siap 90 peratus sahaja.

“Saya kecewa kerana terpaksa menyewa di tempat lain dengan kadar RM350 sebulan manakala pinjaman rumah itu pula perlu dibayar sebanyak RM200 sebulan,” katanya yang mempunyai tiga orang anak di sini semalam.

Bagi Yong Yeok Sheng, 39, dia kecewa dengan kegagalan pemaju menyiapkan projek perumahan tersebut.

Dia juga terpaksa menanggung bayaran pinjaman bank rumah yang dibeli pada harga RM90,000 sejak sembilan tahun lalu.

“Jadi saya minta pemaju bertanggungjawab dan menyiapkan segera rumah kami,” katanya yang kini menyewa di rumah lain pada kadar RM400 sebulan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

20110118

Rumah terbengkalai undang rasa kurang senang penduduk

Sinar Harian 18 Jan 2011

TEMIANG – Sebanyak 13 unit rumah terbengkalai yang hanya siap 70 peratus di Taman Temiang Jaya di sini, menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk berikutan ia berdekatan dengan kawasan kediaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai ketika ditemui berkata, rumah teres dua tingkat yang dibina sejak 1998 lalu, sehingga kini masih tiada perkembangan pembinaan.

Menurutnya, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada penduduk sekitar, mahupun pembeli mengenai projek terbengkalai itu.

Malah katanya, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada kerajaan negeri agar mereka dapat mencari alternatif lain bagi membantu pembeli mendapatkan rumah mereka.

“Perkara ini telah saya bangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Disember lalu tetapi jawapan yang diterima tidak memuaskan.

“Jika projek perumahan ini tidak diteruskan, maka pembeli berdepan risiko kerugian kerana terpaksa membayar pinjaman bank, sedangkan rumah yang dibeli tidak siap sepenuhnya,” katanya.

Chin Tsai berkata, sejak projek itu terbengkalai, ia turut mengundang bahaya dalam kalangan penduduk setempat.

Menurutnya, penduduk sering mengadu mengenai masalah nyamuk dan binatang liar seperti ular kerana keadaan kawasan sekeliling yang semak-samun.

“Bukan itu sahaja, saya juga khuatir jika kerajaan negeri, mahupun pihak berkaitan tidak membuat sesuatu terhadap kawasan projek ini, kemungkinan besar ia dijadikan kawasan untuk aktiviti penagihan dadah.

“Justeru, saya menggesa pihak berkenaan supaya melakukan sesuatu demi masa depan pembeli dan keselesaan penduduk sekeliling yang turut menerima impak dengan keadaan tidak terurus ini,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story8635577.asp

20110117

Pangsapuri terbengkalai, MB lepas tangan


BENTONG, 12 Jan 2011 : Harapan 24 pembeli rumah pangsa Taman Perdana Raya Karak, dekat sini untuk tinggal selesa berkecai apabila rumah yang mereka beli itu tidak disempurnakan oleh pemaju selain daripada tidak selamat untuk diduduki.

Tidak cukup dengan itu, pangsapuri kos sederhana rendah yang bernilai antara RM56,000 hingga RM63,000 (tingkat bawah) itu telah diubah oleh pemaju daripada pelan asalnya yang diluluskan.

Akibatnya, bentuk pangsapuri tersebut bertukar menjadi seperti sebuah bangunan sekolah manakala binaan dalamannya tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan sehingga Majlis Daerah Bentong (MDB) tidak mengeluarkan sijil menduduki (CF).

Dalam tinjauan Harakahdaily ke pangsapuri yang terbengkalai sejak 2006 itu kelmarin, didapati dikelilingi semak samun sementara bangunannya sudah banyak yang retak dan longkang serta cermin tingkapnya pecah.

Kebanyakan kabel elektrik sudah dicuri. Di bahagian dalamnya dipenuhi sampah dipercayai menjadi ‘port’ remaja melakukan maksiat dan tempat penagih melepaskan gian.

Namun begitu 11 pembeli Melayu, 10 Cina dan tiga India itu terpaksa juga membayar ansuran antara RM300 hingga RM520 kepada bank kerana wang pinjaman telah dikeluarkan hampir seratus peratus kepada pemaju.

Perumahan yang mula dibina pada tahun 2003 itu terletak di atas tanah kerajaan atas nama Puncak Properties di lot 3335, H.S (D) 14104 P.T 594 dan dimajukan oleh sebuah syarikat yang dipercayai ada kaitan dengan Umno Bahagian Bentong, IT Prima Development Sdn Bhd.

Tidak puas hati dengan keadaan tersebut, pembeli telah menubuhkan jawatankuasa bertindak dan membuat laporan polis.

Mereka juga telah mengadu hal berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabai, Ahli Parlimen Bentong, pembantu peribadi Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob minta diselesaikan.

Lepas tangan

Malangnya, kata Setiausaha jawatankuasa berkenaan Krishnan A/L Kassim Maruthiah, 46, semuanya tidak berhasil kerana masing-masing berlepas tangan.

“Beberapa bulan lalu kami telah mengadu kepada Biro Pengaduan Awam dan Senator Datuk T. Murugiah sendiri telah turun mengadakan rundingan dengan wakil jawatankuasa dan jabatan berkaitan malangnya wakil pemaju tidak hadir dan masalah kami terus senyap tanpa penyelesaian.

“Seterusnya kami telah berhubung dengan pejabat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah. Akhirnya atas inisiatif Majlis Perbandaran Bentong (MPB) pemaju telah berjanji memulangkan semula wang kami dengan tiga bayaran.

“Namun sehingga kini tiada tindakan dan bayaran balik yang dibuat. Unit korporat pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang juga berjanji untuk selesaikan dalam tempoh 10 hari, tapi sampai ini tak beres,” jelasnya.

Tambahnya lagi, isu perumahan ini juga telah dibawa ke parlimen oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail tahun lalu.

Menurut Krishnan, beliau mendapat rumah ditingkat bawah pangsapuri berkenaan dengan harga RM63,000 dan telah membuat ansuran bayaran sebanyak RM520 sebulan. Sehingga kini, katanya, sebanyak RM30,000 telah dijelaskan kepada bank.

Seorang pembeli lagi, Zuraini Zulkifli, 30, berkata beliau pada mulanya begitu gembira apabila ditawarkan membeli rumah dipangsapuri berkenaan sehingga mengeluarkan RM10,000 daripada KWSP kerana selama ini hanya tinggal menyewa.

Namun apabila sehingga kini rumah yang dibeli tidak boleh didiami, menyebabkan ibu kepada empat anak itu amat kecewa dan malu apabila ditanya oleh adik beradik tentang ‘rumah baru’nya itu

Rumah baru atau pulangkan duit

“Macam-macam cara dibuat termasuk pernah bertemu dengan Menteri Besar minta beliau campur tangan, tapi beliau kata tidak tahu menahu sedangkan ini ialah kawasannya. Kami juga ada mengutus surat kepada Sultan Pahang meminta baginda melihat nasib kami, tapi hingga kini masih senyap daripada sebarang penyelesaian.

“Saya membayar ansuran sebanyak RM400 sebulan, tapi dah kena macam ini dah tak larat lagi membayar sebab rumah sewa kena bayar, kos perubatan suami lagi. Suami saya bekerja di kilang kertas Bentong dan dia penghidap sakit jantung tepaksa berulang hospital Selayang dua bulan sekali,” ujarnya.

Tambah Zuraini, beliau telah dua tahun tidak membayar kepada bank kerana kesempitan wang dan kini namanya telah disenaraihitam.

“Harapan saya jika perumahan berkenaan tidak boleh dibaiki semula hingga boleh diduduki, pulangkanlah balik duit saya,” rayunya.

Tambahnya, beliau percaya jika perkara seperti ini terjadi di negeri Pakatan Rakyat atau berlaku pilihan raya kecil pasti kerajaan akan selesaikan.

Seorang pembeli lagi, Yang Kong Fatt, 31, berkata beliau membeli rumah itu kerana mahu berkahwin dulu dan sekarang sudah mempunyai anak rumah masih belum siap.

“Pada masa itu saya beli mahu hadiahkan rumah itu kepada isteri kerana masa itu belum berkahwin. Saya pinjam bank dan bayar secara ansur dan sudah habis lebih RM30,000, tapi kecewa sangat sampai sekarang masih menyewa.

“Rumah ini sekarang tak boleh duduk, jadi saya mahu balik wang saya untuk beli rumah lain,” tegasnya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30295:pangsapuri-terbengkalai-mb-lepas-tangan&catid=54:negeri-pahang-darul-makmur&Itemid=99

Pesara tentera kecewa rumah dibeli di Taman Rembia Utama terbengkalai


BUKHARI Ibrahim termenung melihat rumah yang dibelinya terbengkalai sejak enam tahun dulu di Taman Rembia Utama Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.

Utusan Malaysia 17 Jan 2011

ALOR GAJAH 16 Jan. - Seorang pesara tentera, Bukhari Ibrahim, 46, melahirkan rasa kecewanya setelah rumah idaman yang dibeli di Taman Rembia Utama fasa dua di sini pada harga RM70,000, terbengkalai sejak kira-kira enam tahun lalu.

Lebih mengecewakan lelaki itu, apabila dia terpaksa menjelaskan bayaran ansuran pinjaman rumah tersebut kepada bank sejak tahun 2003 sebanyak RM495 sebulan.

''Bayangkanlah kekecewaan yang terpaksa saya dan keluarga terpaksa alami, ingatkan selepas bersara, saya boleh tinggal dan mencantikkan rumah sendiri, namun semuanya tinggal anganangan sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, projek pembinaan rumah tersebut bermula 2002 dengan harga belian sebanyak RM70,000 dan sepatutnya siap pada 2006.

Bukhari berkata, dia mula membayar ansuran pinjaman bank pada 2003 namun projek perumahan kos sederhana itu mula menghadapi masalah pada 2005.

Katanya, dia kemudian mendapatkan penjelasan berhubung masalah tersebut kepada pihak pemaju perumahan terbabit yang beroperasi di Taman Melaka Raya namun pihak berkenaan memaklumkan masalah tersebut hanya sementara.

''Namun dari tahun ke tahun sehingga kini pemaju perumahan tersebut masih memberi jaminan yang sama tetapi rumah belum siap, pinjaman kepada bank perlu dijelaskan juga setiap bulan," katanya dalam nada kesal.

Bukhari yang mempunyai tiga anak berusia antara 10 hingga 17 tahun kini terpaksa menyewa sebuah rumah di taman berhampiran pada harga RM250 ekoran rumah yang dibeli terbengkalai.

Ujarnya, dia juga terpaksa mendapatkan pekerjaan lain sebagai polis bantuan di salah sebuah syarikat swasta di sini dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan bagi menampung keperluan harian keluarganya.

''Saya tidak tahu kepada siapa lagi nak adu masalah ini. Kasihan saya melihat isteri dan anak-anak yang sudah terpaksa lama menunggu rumah idaman yang tidak siap-siap.

''Isteri pula langsung tidak boleh cerita tentang masalah rumah ini, seolah-olah sudah berputus asa malah tidak mahu langsung melihat lagi rumah yang terbengkalai ini," katanya.

Katanya, perkara ini pernah dikemukakan kepada pihak Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan (Japerun) Dewan Undangan Negeri Rembia namun belum ada sebarang bentuk bantuan penyelesaian diambil oleh pihak tersebut.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_04.htm

20101118

Pembeli kecewa rumah mesra rakyat tidak siap


Utusan Malaysia 18 Nov 2010

Nor Azlan Ismail dan isterinya, Azlina Abd. Rahman meninjau rumah mesra rakyat mereka yang tidak siap di Desa Permai, Jempol, semalam.

--------------------------------------

JEMPOL 17 Nov. - Seorang pembeli rumah hari ini kecewa dengan sebuah syarikat kontraktor yang gagal menyiapkan rumah mesra rakyat di Desa Permai sejak dua tahun lalu.

Nor Azlan Ismail, 37, berkata, rumah yang sepatutnya dimilikinya Ogos tahun lalu kini hanya tinggal harapan sehinggakan dia sudah buntu untuk mencari jalan penyelesaian.

''Pada awalnya saya dikhabarkan rumah ini dijangka siap pada awal bulan Ogos tahun lalu. Bagaimanapun, projek itu terhenti separuh jalan, kelibat kontraktor hilang entah ke mana.

''Masalah ini telah saya ajukan kepada Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yassin. Saya difahamkan terdapat perubahan pada kontraktor. Selepas itu ramai kontraktor datang melihat rumah. Namun masih tiada kontraktor yang meneruskan projek.

''Sementara menunggu tindakan susulan oleh pihak berkenaan, saya terpaksa menyewa sementara di taman ini dengan sewa RM150 sebulan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nor Azlan berkata, lebih mengecewakan dia dimaklumkan tidak berhak ke atas tanah tersebut kerana geran kini disimpan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Sementara itu, Lilah ketika mengulas perkara berkenaan memberitahu, pihaknya telah menghantar sepucuk surat kepada SPNB bagi mengetahui status terkini pembinaan rumah berkenaan.

''Berdasarkan maklumat yang kita peroleh daripada SPNB, kontraktor pertama dikatakan mengalami masalah sehingga projek berkenaan terpaksa dihentikan.

''Daripada aspek pembinaan pula, rumah yang dibuat oleh kontraktor itu tidak menepati syarat yang ditetapkan termasuk longkangnya kecil, tingkap rendah serta masalah di bahagian bumbung," katanya.

Justeru, Lilah berharap pihak SPNB dapat menyelesaikan masalah pembinaan rumah itu secepat mungkin kerana ia telah lama dibincangkan tanpa penyelesaian menyebabkan pemilik menghadapi masalah.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_06.htm

20100812

9 tahun rakyat N.Sembilan berputih mata

Berita Harian 12 Ogos 2010

PAROI: Ketiadaan Sijil Layak Menduduki (CF) yang dipercayai akibat sistem pembetungan yang tidak memenuhi piawaian ditetapkan menyebabkan beberapa pembeli rumah di Fasa 2 Taman PJ Perdana di sini berputih mata untuk mendiami rumah mereka sejak sembilan tahun lalu.

Tanpa CF, pembeli tidak dapat memasuki rumah walaupun ia sudah siap. Bagaimanapun, beberapa pembeli yang tidak sabar terus mendiami rumah idaman mereka walaupun tanpa mendapat CF. Sesetengah pembeli lain pula tidak mahu menanggung risiko berikutan rumah tanpa CF tidak mendapat perlindungan insurans.

Ini menyebabkan pembeli rumah berkembar itu memohon pihak berkuasa campur tangan untuk menyelesaikan kemelut yang mereka hadapi. Pembeli, Ali Mohamad, 28, berkata masalahnya sekarang terpaksa membayar pinjaman bank kira-kira RM1,000 sebulan sejak 2001 walaupun tidak menduduki rumah itu.

Katanya, pembeli tidak berpuas hati kerana pemaju perumahan tidak memberi jawapan konkrit untuk menyelesaikan masalah mereka.

Saya minta kerajaan negeri campur tangan dalam masalah ini kerana hampir 10 tahun menunggu, masih tiada kata putus daripada pemaju. Rumah sudah siap, cuma kekurangan beberapa kemudahan infrastruktur, katanya yang terpaksa membayar pinjaman bank dan pada masa sama membayar sewa rumah.

Beliau berkata, rumah yang tidak didiami dikhuatiri digunakan untuk kegiatan menghisap dadah dan akhirnya dirosakkan.

Tinjauan Berita Harian mendapati ada beberapa rumah didiami penduduk dan sebahagian terbiar hingga dipenuhi semak. Sebuah rumah didapati mempunyai banyak kesan, dipercayai akibat kegiatan menghidu gam.

Jamaludin Hussin, 49, pula tidak peduli dengan ketiadaan CF dan terus mendiami rumah itu sejak Januari lalu dengan menyiapkan kemudahan yang tidak disiapkan pemaju menggunakan wangnya sendiri.

Saya membuat keputusan tinggal di sini kerana sudah membeli rumah ini dan tiada rumah lain. Tinggal di mana-mana pun tetap ada risiko, tetapi di sini saya akan rugi jika berlaku apa-apa kerana rumah tidak dilindungi insurans, katanya.

BAGAIMANAPUN, DIA HAIRAN KERANA RUMAHNYA DIKATEGORIKAN SEBAGAI TERBENGKALAI SEDANGKAN BIL PEMBETUNGAN DITERIMA SETIAP ENAM BULAN.

Jika sistem pembetungan menjadi punca rumah tidak mendapat CF, mengapa saya menerima bil ini? katanya.

Seorang pembeli yang enggan dikenali berkata, mereka bosan kerana disuruh bersabar sedangkan CF masih belum diperoleh selepas bertahun-tahun menunggu, malah sesetengah pembeli terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk mendiami rumah itu.

Malah, katanya, masalah sosial sudah berlaku di kawasan itu berikutan keadaannya yang sunyi serta dipenuhi semak-samun.

Kawasan ini sunyi dan dipenuhi semak memudahkan perbuatan tidak senonoh dilakukan. Penduduk sering menjumpai botol arak dan tin gam. Walaupun diadukan kepada pihak berkuasa, masalah ini masih berlaku, katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_9tahunputihmata/Article

20100430

Kesal permohonan rumah awam diketepi

Sinar Harian 30 April 2010

GEMAS – Niat berbakti kepada kampung sendiri untuk menjadi sebahagian tenaga belia kampung menjadikan Mohd Zairul Almey Abdul Rahaman, 27, dari Kampung Londah membuat keputusan pulang ke kampung halaman pada 2006.

Niatnya itu diperkukuhkan dengan perkahwinannya bersama Wan Jannati Wan Haznan, 29, untuk terus menetap di kampung berkenaan dan dia mula membuat permohonan menjadi peserta Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Halacara Baru sejak 9 Februari 2007.

Mohd Zairul berkata, pada 26 November 2007 dia menerima surat tawaran seunit rumah di PAKR Halacara Baru Gemas dan dikehendaki mengesahkan kelayakan permohonan dengan pergi ke Pejabat Daerah Kecil Gemas pada 6 Disember 2007.

Bagaimanapun, menurutnya, pada 3 Disember 2007, tiga hari sebelum pengesahan kelayakan, dia menerima surat penangguhan pengundian lot rumah di PAKR Halacara Baru, Gemas daripada agensi berkaitan.

“Perkara ini mengecewakan, namun saya tetap menunggu kerana yakin diberikan surat tawaran dan surat berkenaan hanya penangguhan pengundian lot sahaja,” katanya ketika ditemui di Kampung Londah, dekat sini.

“Namun, penantian selama dua tahun tidak berakhir dengan khabar gembira apabila pengundian lot rumah PAKR Halacara Baru pada awal 2010 membabitkan 20 unit rumah tidak menyelitkan nama saya.

Mohd Zairul berkata, bagaimanapun dia tidak cepat melatah kerana beranggapan kemungkinan pengundian kali itu bukan rezekinya dan berharap dapat disertakan dalam pengundian lain.

“Namun, setelah berbual dengan beberapa individu yang berjaya memiliki rumah di PAKR Halacara Baru, saya kecewa dan tidak berpuas hati kerana ada di antara mereka baru memohon selama setahun, sudah memiliki rumah dan tidak kurang juga menyewa kepada orang lain.

“Saya keliru rumah di PAKR Halacara Baru ini pada awalnya dikatakan keutamaan akan diberikan kepada anak jati Kampung Londah dan kini turut diberikan kepada orang luar. Namun, ini bukan perkara utama sekiranya mereka layak, tetapi ada di antara mereka sudah memiliki rumah sendiri.

Mohd Zairul berkata, dia cuba berunding mengenai isu berkenaan kepada wakil rakyat setempat dan pernah menghubungi Unit Perumahan Kerajaan Tempatan (UPKT) serta terkilan kerana tidak diberikan kata putus.

“Oleh itu, saya berharap masalah saya ini dapat berakhir dengan perkhabaran gembira kerana saya memerlukannya kerana kini saya memiliki dua anak berusia tiga minggu hingga dua tahun.

Menurutnya, kini dia menyewa di taman berhampiran dengan bayaran RM250 sebulan dan saya hanya melakukan kerja kampung sahaja.

“Jika dahulu, pendapatan saya agak baik kerana saya menoreh getah, tetapi kini dalam proses tanam semula dan saya terpaksa membuat kerja lain. Mujur saya memiliki pengalaman membaiki elektrik ketika di Kuala Lumpur dahulu untuk menampung keluarga saya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7628383.asp

20100325

Bimbang rumah tak siap jadi sarang penagih

2010/03/25

TEMIANG: Penduduk berhampiran sebuah projek pembinaan rumah teres terbengkalai dekat Taman Temiang Jaya di sini bimbang projek terbengkalai itu bukan sekadar menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, malah sarang penagih dadah.

Terdapat 13 unit rumah terbengkalai di kawasan itu yang kini ditumbuhi semak samun menyebabkan penduduk mendakwa persekitaran tidak terurus boleh menyebabkan nyamuk aedes membiak di tempat yang mempunyai takungan air dalam bangunan.

Tinjauan Berita Harian mendapati rumah terbengkalai itu terletak berhampiran kediaman penduduk menuntut pihak berwajib melakukan pembersihan kawasan berkenaan dengan segera. Peniaga, S Devi, 30, berkata projek itu yang terbengkalai sejak beberapa tahun lalu juga dikhuatiri menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian. "Kami penduduk pun tidak berani masuk ke dalam bangunan terbengkalai dan ini memudahkan tempat itu menjadi sarang penagih dadah,” katanya.

Beliau juga bimbang semak samun mengelilinginya menjadi sarang binatang berbisa seperti ular dan lipan yang boleh mengancam keselamatan penduduk sekitar, terutama kanak-kanak yang bermain berdekatan kawasan itu.

Bagaimanapun, A Vasanthakumaran, 21, berpendapat penduduk tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membersihkan semak samun itu.

Katanya, penduduk sepatutnya harus mengambil inisiatif sendiri untuk membersihkan kawasan itu dengan mengadakan gotong royong dari semasa ke semasa dan pada peringkat permulaan, boleh mendapatkan bantuan PBT.

“Selepas semak samun tebal dibuang, penduduk hanya perlu memastikan keadaan bersih dikekalkan dan ini tidak terlalu sukar," katanya.

Vasanthakumaran berkata, gotong royong juga dapat membantu mencegah kes demam denggi di sekitar taman ini yang dipercayai turut berpunca dari projek terbengkalai kerana nyamuk aedes boleh membiak dalam tempat air bertakung dalam rumah terbengkalai.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_Bimbangrumahtaksiapjadisarangpenagih/Article

20100227

Impian miliki rumah sendiri berkecai

Sinar Harian 26 Feb 2010

KUNDUR – Impian pembeli di Taman Sri Kundur untuk memiliki sebuah rumah sendiri berkecai apabila rumah yang sepatutnya siap penghujung 2006 kini terbengkalai dan tiada sebarang tanda akan dipulihkan.

Pembeli kini bukan sahaja terpaksa menang-gung hutang membayar balik pinjaman, malah lebih membingungkan pemaju seolah-olah lepas tangan membiarkan ma-salah tiada penyelesaian.

Dibebani hutang

Kakitangan kerajaan, Bahar Shariff, 54, berkata, dia membeli rumah itu sebagai persediaan awal meneruskan kehidupan selepas pencen, namun impiannya itu terus tinggal impian.

Dia tambah kecewa apabila sudah membayar ansuran bulanan kepada bank sebanyak RM530 sejak pertengahan 2007.

“Masalah ini nyata merunsingkan saya kerana setiap bulan saya perlu membayar ansuran rumah, tetapi rumah itu tidak siap sepenuhnya.

“Saya sudah nak pencen tetapi jadi macam ini pula. Sudahlah setiap bulan kena bayar ansuran tetapi rumah itu tidak boleh diduduki. Saya rasa seperti tertipu dan terlalu kecewa dengan sikap pemaju,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di taman perumahan itu,

Bahar berkata, ketika ini, isteri dan lima anakmenumpang sementara di rumah mertuanya.

Justeru, dia berharap pihak pemaju dapat meneruskan kembali projek tergendala supaya mereka anak beranak dapat tinggal di rumah sendiri.

“Saya juga akan berusaha sedaya upaya supaya pembeli seperti kami mendapat hak semula dan tidak dibiarkan terkon-tang-kanting tanpa penjelasan wajar,” katanya.

Menurutnya, pihak pemaju seharusnya bersikap profesional dan tidak mendiamkan diri kerana kebanyakan pembeli sudah membayar wang deposit selain membayar ansuran bulanan kepada pihak bank.

“Saya sangat kesal dengan tindakan pihak pemaju kerana tidak memikirkan kesusahan ditanggung pembeli kerana rata-rata sangat berharap dapat mendiami rumah ini mengikut apa yang dikatakan pihak pemaju,” katanya.

Mahu penjelasan

Pembeli, Norhisyam Sharif, 40, berkata, pihak pemaju perlu tampil bertemu pembeli bagi menjelaskan keadaan sebenar supaya pembeli tidak tertunggu-tunggu menanti bila projek itu akan siap.

Menurutnya, seperti pembeli lain, dia membeli rumah itu dengan harapan dapat menduduki rumah sendiri apabila dijanjikan akan siap sepenuhnya kira-kira empat tahun lalu.

“Namun penantian itu ibarat satu penyeksaan apabila projek itu terhenti sehingga ke hari ini.

“Sebagai pembeli sudah tentu kami merasa tidak puas hati kerana rumah ini sepatutnya sudah boleh didiami tetapi perkara sebaliknya berlaku apabila rumah itu hanya siap separuh sahaja,” katanya.

Norhisyam berkata, dia sudah membayar ansuran rumah sejak 2008 selain membayar deposit rumah sebanyak RM1,000.

“Bayangkan kami perlu membayar ansuran setiap bulan tetapi projek perumahan itu masih tidak berjalan.

“Bagaimana dengan nasib pembeli seperti kami ini. Ke mana lagi harus kami perjuangkan nasib sebagai pembeli. Sampai bila kami perlu membayar sedangkan projek ini masih dibiarkan,” katanya.

Dipenuhi semak

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke taman perumahan itu mendapati keadaan amat menyedihkan kerana sekeliling rumah ditumbuhi semak samun selain menjadi tempat pembiakan binatang berbisa.

Sementara itu, Bahar berkata, keadaan persekitaran rumah itu semakin teruk dan sangat berbahaya kepada orang ramai yang melalui kawasan ini apatah lagi kawasan ini bersebelahan dengan sekolah rendah.

“Bukan sahaja semak samun menyakitkan mata memandang tetapi dikhuatiri menjadi tempat binatang berbisa seperti ular,” katanya.

Menurutnya, dengan keadaan rumah yang tersorok di pandangan mata menjadikan tempat ini sebagai lokasi remaja nakal untuk menjalankan kegiatan tidak sihat.

“Tengoklah ada tin minuman keras. Dalam rumah pula diconteng dan dilukis gambar-gambar yang tidak sepatutnya. Kalau tidak diambil tindakan segera tidak mustahil tempat ini akan menjadi tempat melakukan aktiviti negatif,” katanya.

Pulangkan deposit

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Rembau, Mohd Rawi Baharom berkata, pihaknya memutuskan dalam mesyuarat lalu bahawa pihak pemaju perlu memulangkan kembali wang deposit pembeli.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Rembau berkata, pihak pemaju sudah tidak berupaya meneruskan projek perumahan kerana masalah kewangan melanda syarikat terbabit.

“Walaupun mereka berusaha mendapatkan pinjaman untuk menjalankan projek ini namun sehingga kini tiada perkembangan positif diterima.

“Berikutan itu, kita meminta pihak pemaju menyerahkan kembali wang deposit pembeli. MDR juga sedang mencari maklumat lanjut untuk mengenal pasti ke semua pembeli rumah taman ini,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6868032.asp

20100201

Sisa toksik di kawasan tanah lapang

Berita Harian 1 Feb 2010

Kilang getah buang sampah di tapak projek terbengkalai

TAMPIN: Kawasan lapang dalam projek perumahan Bandar Tampin Utama di Kilometer 2.5 Jalan Gemas dekat sini, yang terbengkalai sejak tujuh tahun lalu dan jauh daripada pandangan orang ramai kini menjadi pusat pembuangan sampah dan sisa toksik.

Pembuangan sampah secara haram yang dipercayai dilakukan kontraktor pembinaan, kilang getah, kedai tayar dan penebangan pokok sejak beberapa bulan lalu.

Ia berikutan penemuan timbunan sisa bahan binaan, tayar buruk, keratan batang dan dahan pokok serta bekas bahan kimia yang dipercayai mengandungi sisa toksik.

Tinjauan Berita Harian mendapati sampah sarap yang terbakar dan mengeluarkan asap mereka yang berada di situ pening kepala, rasa loya. Pada timbunan sampah juga ditemui bekas plastik turut tertera nama sebuah syarikat memproses susu getah.

Perbuatan membuang sampah sarap dan sisa toksik di situ terbongkar selepas orang ramai menghidu kehadiran lori yang berulang-alik memasuki projek terbengkalai itu sejak kebelakangan ini.

Peniaga warung, Mustafa Saleh, 45, berkata kekerapan lori memasuki kawasan itu menyebabkan mereka mula menyangka ada sesuatu yang tidak kena di situ.

“Akhirnya terbukti benar kerana pihak terbabit membuang sampah dan lebih mengejutkan, ada yang sanggup membuang bahan dipercayai toksik.

"Nasib baik perkara ini diketahui. Jika tidak, mungkin sisa toksik bertambah banyak dan membahayakan penduduk sekitar," katanya.

Berikutan itu, empat pegawai Majlis Daerah Tampin (MDT) diketuai Ketua Jabatan Kesihatan, Nor Mohamed Hussin, bergegas ke lokasi selepas mendapat arahan Yang Dipertua MDT, Datuk Mohd Yusof Yunus.

Nor Mohamed berkata, pemeriksaan MDT mendapati sampah yang dipercayai sisa toksik itu adalah milik sebuah syarikat kilang getah.

Sehubungan itu, katanya, MDT dengan segera akan menghubungi syarikat berkenaan untuk mengenal pasti sama ada bahan buangan itu milik syarikat terbabit.

Katanya, tindakan membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya seperti di Bandar Tampin Utama tidak sepatutnya berlaku kerana mengotorkan dan menjejaskan pemandangan.

"Pembuangan barangan yang mempunyai unsur bahan kimia adalah lebih bahaya kerana bukan hanya mencemarkan alam sekitar, malah dikhuatiri boleh membawa kemudaratan kepada manusia di kawasan berdekatan," katanya.

Sementara itu, Mohd Yusof meminta orang ramai memberi maklumat kepada MDT jika mempunyai maklumat berhubung perbuatan membuang sampah dan sebarang bahan mengandungi toksik dengan menelefon 06-4422801.

Katanya, aduan juga boleh dibuat melalui e-mel ke alamat www.mdtampin.gov.my atau menghubungi terus Ketua Jabatan Kesihatan Nor Mohamed Hussin di talian 06-4414161 atau 019-6509003.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Wilayah/20100201091034/Article/index_html

20100125

Pembeli tagih janji pemaju


Sinar Harian 25 Jan 2010

RANTAU – “Umur kami sudah lanjut, sampai bila mahu tunggu lagi,” keluh Chang Dai Moi, 67, yang menjadi salah seorang mangsa projek rumah terbengkalai di sebuah taman perumahan, di sini.

Warga emas itu mengakui semakin tertekan berikutan rumah diduduki di estet ketika ini akan diambil semula tuan tanah sehingga memaksa dia mencari tempat lain untuk berteduh.

Menurutnya, rumah yang sepatutnya siap 2007 kini tidak boleh diduduki disebabkan pelbagai masalah timbul.

“Saya sudah tua, mahu tanggung ini semua menjadikan hati saya ‘panas’ tetapi orang susah seperti saya apalah boleh dilakukan melainkan hanya menunggu sahaja,” katanya.

Dia yang tinggal bersama dua anaknya perlu membayar ansuran pinjaman bank sebanyak RM450 sebulan, malah dia bersama anaknya kini tidak pasti sama ada boleh mencari rumah lain dalam masa terdekat ini selepas menerima notis berpindah daripada tuan rumah, baru-baru ini.

Dai Moi mendakwa, pihak pemaju sudah berjanji akan menyelesaikan masalah itu dalam tempoh lima hingga 10 hari tetapi sehingga sekarang belum ada tindakan.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6438396.asp

20091130

Pembeli Rumah Ditipu Orang Minyak

Dari Blog YB Dato Kamarul , Pengerusi PKR N.Sembilan

November 2009


PEMBELI RUMAH DITIPU 'ORANG MINYAK'


Sekiranya ada yang sudah lupa, atau belum tahu ceritanya, biar saya ulang. Kisah seorang wanita warga emas, Siti Hawa Abdullah, 61 tahun. Tahun 1982, masih muda pada usia awal 30an, dia berhasrat memiliki rumah sendiri. Dia membeli sebuah rumah di Taman Senawang Jaya (Fasa 1C), Seremban. Ketika membayar wang pendahuluan kepada pihak pemaju, dia membayangkan betapa bahagianya tinggal di rumah sendiri dalam tempoh 2 tahun lagi.


Malang baginya sebab setelah menunggu penuh semangat selama 2 tahun, rumahnya tidak siap. Dia terus menunggu, menunggu, dan menunggu. Akhirnya beberapa bulan lalu rumah idaman itu siap juga, setelah dia menunggu selama 27 tahun! Bayangkan dari pertengahan usia hingga memasuki usia emas, dia menunggu selama lebih suku abad untuk mendapat rumah. Tidakkah Siti Hawa boleh disenaraikan dalam Buku Rekod Dunia sebagai pembeli paling lama menunggu untuk mendapatkan rumah?


Perangkaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyebut ada 148 projek perumahan terbengkalai dilaporkan sejak tahun 1990. Berpuluh ribu pembeli kini masih menjadi mangsa.


Seorang pembantu pengurus di sebuah syarikat pengangkutan berjumpa saya baru-baru ini, membawa bersamanya surat perjanjian jual beli rumah, surat peguam, surat bank dan lain-lain dokumen. Dia membeli rumah kos sederhana satu kawasan perumahan di pinggir KL, berharga RM150,000. Projek tersebut sepatutnya siap dalam 3 tahun. Sampai kini dia sudah menunggu lapan tahun, rumah impian itu baru lebih kurang 30 peratus siap – baru nampak tiang, bumbung dan sebahagian dinding yang semuanya sudah berlumut dimakan cuaca – itu pun dalam semak samun yang mungkin telah menjadi tempat musang, ular sawa, kala jengking atau jin aprit, jembalang tanah dan suku-sakatnya.


Rumah tidak tahu bila akan siap, tetapi sejak hari pertama menandatangani perjanjian jual beli, termasuk dengan pihak bank, dia telah menanggung segala akibatnya. Dia terpaksa membayar balik kepada bank RM1,350 setiap bulan. Terlewat sehari dua bank bising-bising, dan kenakan faedah lambat bayar. Dalam waktu yang sama dia kena juga membayar sewa rumah. Bayangkan lapan tahun membayar balik pada bank untuk rumah yang tidak pernah diduduki. Lapan tahun juga terpaksa tinggal di rumah orang yang sewanya naik, naik, dan terus naik. Dia sekarang sudah separuh gila sebab dikejar bank setelah dua bulan tertunggak. Terkini, dia menerima surat peguam dari bank untuk mengheretnya ke mahkamah kerana kegagalan melunaskan hutang.


Alangkah menderitanya hidup! Semuanya gara-gara pihak pemaju yang tidak bertanggungjawab. Bagi berpuluh ribu mangsa yang menderita, apa lagi kata-kata dan gelaran yang patut diberikan kepada pemaju berkenaan selain penyangak, lintah darat, pembelit, kaki putar alam. Pemaju sudah awal-awal ‘sakau’ duit pembeli. Ketika pembeli tercungap-cungap dikejar bank, pemaju mudah sahaja cuci tangan dan menghilang diri. Menurut kenyataan kementerian berkenaan sebanyak 120 kontraktor telah disenaraihitamkan seluruh negara setakat ini atas pelbagai kesalahan, termasuk kegagalan menyiapkan projek perumahan mengikut jadual.


Apakah cukup sekadar ‘dihitamkan’? Sedangkan sesetengah dari kontraktor hitam itu masih terus selesa dengan rumah besar, kereta mewah, makan angin luar negara. Ketika pembeli menderita, mungkin ada yang membunuh diri, ‘orang minyak’ itu terus ketawa besar, cerut besar, perut besar. Sedikit pun tidak rasa bersalah.

RM200 juta juga telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2010 untuk membantu projek rumah terbengkalai. Peruntukan dalam Belanjawan 2010 itu terlalu kecil, dan patut ditambah bagi membantu berpuluh-puluh ribu lagi pembeli rumah yang sesetengahnya telah menunggu dalam derita selama sepuluh tahun.


Apalah RM200 juta jika dibandingkan dengan skandal PKFZ yang berjumlah berbilion-bilion ringgit itu. Menyedihkan dan menyakitkan hati kos awal projek komersial dan perindustrian Zon Bebas Pelabuhan Klang hanya RM2.5 bilion, tiba-tiba melonjak RM4.6 bilion.


Siapakah musibatnya? Pada ketika berpuluh ribu pembeli rumah menderita dan mengharapkan bantuan untuk mengatasi masalah projek rumah terbengkalai, ada pula pihak yang dengan mudah menyelewengkan duit berbilion ringgit menerusi projek PKFZ. Ini yang orang politik kita kena tengok!


Artikel penuh di http://telokkemang.blogspot.com/2009/11/pembeli-rumah-ditipu-orang-minyak.html

20091031

Rumah hantu sarang ular

Berita Harian 30 Okt 09
Banglo PD Village terbiar, dipenuhi semak samun

TELOK KEMANG: Suasana kawasan perumahan banglo setingkat PD Village di sini agak menyeramkan walaupun pada waktu siang kerana daripada 47 rumah di situ, hanya tujuh didiami.

Tinjauan Berita Harian mendapati walaupun kawasan itu terletak di lokasi strategik di atas bukit dan dikelilingi pokok, ia belum dapat menarik perhatian pemiliknya untuk terus kekal tinggal di sana.

Difahamkan semua rumah dengan konsep moden itu mempunyai pemilik, namun sebahagian mereka menjadikan rumah itu sebagai rumah percutian dan selebihnya dijadikan aset.

Bagi yang menjadikan rumah itu sebagai rumah percutian, setiap kali bercuti di situ, mereka akan membersihkan kawasan sekitar. Keadaan jauh berbeza dengan pemilik yang langsung tidak pernah menjenguk rumah mereka yang kelihatan seperti rumah ‘hantu’.

Beberapa rumah yang lengkap dengan alat pendingin hawa juga kelihatan dipecah masuk berdasarkan keadaan pintu dan tingkap yang pecah.

Malah, beberapa rumah yang dalam proses pengubahsuaian dibiarkan begitu saja dengan peralatan untuk mengubah suai dilihat terbiar di luar rumah dalam tempoh yang agak lama.

Sebagai kemudahan tambahan, pihak pemaju turut menyediakan sebuah kolam renang di kawasan ‘elit’ itu, namun kerana tiada pengguna mahu pun penjaga, ia dibiarkan begitu saja dan hanya dipenuhi air hujan serta daun kering.

Rumah pengawal di pintu masuk kawasan itu juga kosong. Difahamkan perumahan itu masih dijaga oleh seorang pengawal keselamatan yang hanya datang pada waktu malam.

Seorang penduduk yang ditemui, Abdullah Sani Mohd Said, 56, memberitahu kawasan itu memang dibiarkan begitu saja oleh pemilik sejak enam tahun lalu selepas siap dibina.

Katanya, walaupun semua rumah memiliki pemiliknya, dia juga tidak pernah mengenali jirannya kerana jarang berjumpa.

"Lebih 80 peratus pemilik adalah orang luar dan kebanyakan mereka berasal dari Kuala Lumpur. Ada yang membeli rumah ini untuk dijadikan rumah percutian dan ada yang dijadikan aset.

"Rumah tiga bilik ini saya beli dengan harga RM140,000 pada 2003 dan sekarang saya rasa harganya sudah jatuh memandangkan banyak rumah dibina di kawasan Port Dickson," katanya yang senang tinggal di situ kerana suasana nyaman sesuai dengan kehidupannya sebagai pesara.

Namun, perkara yang membimbangkannya dan penduduk sekitar, kawasan yang dipenuhi semak samun itu menarik minat haiwan seperti ular sawa dan tedung.

Abdullah Sani yang tinggal bersama isteri dan dua anaknya berkata, dia sering terserempak dengan haiwan liar itu di luar kawasan rumah dan bimbang jika memasuki rumahnya.

"Walaupun di bahagian kiri, kanan dan belakang rumah saya tidak berpenghuni, saya kerap membersihkan semak yang ada bagi mengelakkan kehadiran ular serta mahukan persekitaran yang bersih," katanya.

Tidak cukup dengan itu, Abdullah Sani berkata, bagi menjamin kawasan perumahan itu sentiasa selamat, dia dan beberapa penduduk yang tinggal di situ mengeluarkan sendiri wang untuk mengupah pengawal keselamatan berjaga pada waktu malam.

"Sudah ada beberapa kejadian pecah rumah di kawasan ini, terutama pada waktu malam kerana ia bertambah sunyi. Jadi saya dan beberapa penduduk setempat bertindak mengeluarkan wang sendiri sekurang-kurangnya RM30 setiap bulan bagi mengupah pengawal keselamatan," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Wilayah/20091030100846/Article/index_html

20091028

PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI TAMAN RASAH INDAH DAN TAMAN SRI MAMBAU

PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI TAMAN RASAH INDAH DAN TAMAN SRI MAMBAU. Sila ke pautan berikut http://tmnserimambau.blogspot.com

20091002

Rumah masih terbengkalai, pembeli mahu penjelasan


Sinar Harian 2 Okt 09

LUBOK CHINA - Masalah projek perumahan terbengkalai di Taman Desa Indah berhampiran Rumah Rakyat Lubok China yang sepatutnya siap November 2005 masih belum selesai sepenuhnya sehingga mendatangkan seribu pertanyaan dan kekeliruan kepada pembeli terlibat.

Masalah yang dihadapi penduduk di sini pernah disiarkan Sinar Harian keluaran 5 Ogos lalu.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi projek perumahan tersebut mendapati kawasan itu sedang digiat dibersihkan kerana sebelum ini ia ditumbuhi semak samun dan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

:Bagaimanapun, kerja baik pulih dan pembersihan ini menjadi tanda tanya kepada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Taman Desa Indah, Lubok China, Ibrahim Mahat dan pembeli lain kerana mereka tidak menerima sebarang notis atau surat memaklumkan kerja baik pulih dan pembersihan kawasan tersebut dijalankan.

Menurutnya, apa yang menghairankan apabila dia menghubungi pihak pemaju, mereka sendiri tidak tahu mengenai kerja baik pulih sedang dijalankan di kawasan tersebut.

“Saya jadi pelik kenapa hal ini boleh berlaku. Apabila saya tanya kepada orang yang melakukan kerja baik pulih ini mereka juga enggan memberi kerjasama sedangkan sebagai pembeli kami berhak tahu,” katanya.

Difahamkan, dia turut menghubungi Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, namun mereka juga memberi alasan yang sama tidak mengetahui mengenai kerja baik pulih yang dijalankan.

Malah, pihak kemente-rian juga telah mengeluarkan surat bahawa projek ini adalah projek peruma-han terbengkalai.

“Saya diberitahu pihak mereka akan menyiasat keadaan sebenar untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Ibrahim berkata, kehadiran pihak pemaju untuk bertemu dengan pembeli amat diharapkan bagi mengungkai segala kekeliruan yang dialami kini.

Menurutnya, perjumpaan bersama penting supaya masalah yang berlarutan selama bertahun ini selesai secepat mungkin.

“Sebagai pembeli sampai bila kami harus menunggu sedangkan pihak pemaju sendiri tidak mahu turun padang menemui pembeli.

“Seolah-olah mereka lepas tangan begitu sahaja tanpa memikirkan derita yang terpaksa kami tanggung,” katanya.

Katanya, masalah ini telah dibangkitkan kepada banyak pihak yang berkaitan, namun sehingga kini pembeli masih belum mendapat jaminan pasti bahawa projek perumahan ini akan boleh diduduki.

“Jika ya, adakah mereka akan membaiki segala kerosakan yang dialami seperti kayu yang telah reput dan keadaan rumah yang memerlukan proses baik pulih.

“Kami tidak mahu kerja baik pulih yang dijalankan ibarat melepas batuk di tangga dan akhirnya kami terpaksa menanggung kerugian wang ringgit atau nyawa,” katanya.

Seorang pembeli, Siti Aisyah Ayub, 43, yang mewakili suaminya berkata, dia tidak menafikan ada perubahan yang dilakukan yakni kerja pembersihan dilakukan sebulan lalu hingga kini selepas beberapa tahun mereka dihimpit dengan pelbagai persoalan dan rasa kesal dengan tindakan pemaju.

“Namun, saya masih khuatir takut kerja baik pulih ini dilakukan secara sambil lewa tanpa memikirkan risiko yang perlu pembeli hadapi selepas menduduki rumah ini,” katanya.

Aisyah berkata, dia agak tertekan kerana terpaksa membayar ansuran rumah sedangkan keadaan suami tidak sihat manakala dia pula tidak bekerja.

“Perkara ini sememangnya merunsingkan mereka sekeluarga apatah lagi sehingga kini rumah tersebut gagal diduduki.

“Saya sangat kecewa dengan tindakan pemaju yang tidak pernah mengambil tahu mengenai keadaan kami,” katanya.

Sehubungan itu, jika masalah ini berlarutan dia mahukan pihak pemaju membayar ganti rugi dan menghentikan segala pembayaran yang dibuat sebahagian pembeli di sini.

Sebagai pembeli, mereka tidak mahu diperkotak-katikkan oleh pihak yang tidak bertanggung-jawab.

“Pulangkan duit kami. Biar kami cari rumah lain. Tak perlu kita semua bermain tarik tali kerana yang menanggung kesusahan adalah kami.

“Saya sendiri sudah lali dengan masalah ini kerana penantian kami selama hampir 10 tahun masih belum berakhir,” katanya.

Menurutnya, bukan sekali dua masalah ini dilontarkan kepada pihak yang bertanggungjawab, namun setiap kali dibangkitkan, suara kecil pembeli tidak diendahkan.

“Keprihatinan dan perhatian Kerajaan Negeri amat diharapkan dalam membantu menyelesaikan kekalutan yang dialami.

“Kami tidak tahu di mana lagi hendak mengadu. Setiap hari terpaksa memikirkan sampai bila semua ini akan selesai. Saya harap pihak berkaitan turun padang lihat sendiri apa masalah yang ditanggung kami,” kata-nya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kema-juan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lubok China, Ismail Md Jan berkata, kerja baik pulih ini dijalankan sebulan lalu dan berterusan sehingga kini.

“Kerja baik pulih dan pembersihan ini melibatkan 46 buah rumah yang telah dibina sebelum ini di kawasan tersebut,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5181516.asp

20090916

Pembeli berang pemaju ‘ghaib’

Sinar Harian 16 Sep 09

GEMAS – Ketika masyarakat Islam lain sibuk membuat persiapan menyambut Syawal tidak lama lagi dengan penuh ceria, beberapa pembeli rumah di Pinggiran Felda masih tetap tinggal di rumah sewa selepas pemaju perumahan ‘ghaib’ menghilangkan diri.

Hasrat untuk beraya di kediaman baru milik sendiri kian terhakis selepas rumah teres satu tingkat, jenis Melur, masih lagi tidak dapat dihuni biarpun sudah membuat pembayaran sebanyak RM42,000 melalui potongan gaji daripada bank.

Pembeli, Azmi Mahmud, 39, berkata, kerja pembinaan berkenaan bermula sekitar 2005 dan siap pada 2007 serta dijanjikan selamat diduduki pembeli awal tahun ini.

Katanya, janji dibuat itu didengari ketika menghadiri perjumpaan tertutup antara Pegawai Daerah bersama wakil jabatan kerajaan, namun, masih gagal diduduki kerana bangunan kediaman berkenaan tidak mempunyai bekalan air, elektrik dan sijil kelayakan menduduki (CF).

“Pegawai Daerah berjanji rumah yang mula dibina sekitar empat tahun lalu dan siap pada Julai 2007 dijanjikan selamat diduduki pembeli pada 25 Februari lalu.

“Bagaimanapun, sehingga kini kami masih tidak diserahkan kunci, sebaliknya mengetahui kediaman baru kami tidak mempunyai CF, air dan elektrik walaupun sudah menjelaskan bayaran sebanyak RM1,000,” katanya.

Pemaju gagal serah kunci selepas mendapat bayaran

Azmi berkata, kegagalan mereka untuk berhari raya bersama kediaman baru di Taman Pinggiran Felda ini menimbulkan rasa kesal dan ia berpunca sikap tidak bertanggungjawab pemaju perumahan dari Lukut, Port Dickson iaitu, Resolute Fortune, Sdn Bhd yang menghilangkan diri selepas menerima bayaran pembeli.

Dia juga mengambil dokumen penting dari pada pejabat pemaju terbabit sebagai langkah mempertahankan diri selepas mendakwa menyaksikan majlis penyerahan cek kepada jabatan dan organisasi terbabit dengan projek itu pada perjumpaan tertutup.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, kegagalan pihak pemaju melaksanakan proses penyerahan kunci dengan keadaan prasarana lengkap menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati sekali gus mengajak rakan lain mencari penyelesaian.

Selain itu, katanya, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mendapatkan jawapan sebagai penyelesaian permasalahan terbabit seperti menghantar surat kepada pemaju dan Ketua Setiausaha Bahagian Perumahan Malaysia, namun, maklum balas yang diberikan menghampakan.

“Pada perjumpaan tertutup itu, saya diberitahu boleh memasuki kediaman baru pada 25 Februari dan ada menyaksikan majlis penyerahan cek kepada jabatan serta organisasi terbabit dalam projek ini sebagai pembayaran bagi menyiapkan sepenuhnya kawasan perumahan untuk diduduki pembeli.

“Sangkaan saya meleset apabila tibanya waktu penyerahan kunci, tiada seorang pun yang ada di lokasi. Pada keesokan harinya, saya segera menuju ke pejabat pemaju selepas panggilan yang dibuat tidak diendahkan bagi mendapatkan penjelasan serta dokumen penting daripada keraninya,” katanya.

Azmi juga mahu pemimpin setempat peringkat kampung Dewan Undangan Negeri (DUN), Pejabat Daerah dan Tanah Tampin serta jabatan kerajaan campur tangan menyelesaikan permasalahan yang membelenggu pembeli sejak berbulan lamanya.


Projek 90 peratus siap dibina

Sementara itu, Shamsuddin Omar, 48, berkata kehilangan pemaju tanpa diketahui menimbulkan rasa tidak puas hati kerana projek yang dilancar beberapa tahun lalu sudah 90 peratus siap dibina dan pembeli mula membayar cukai pintu dan kediaman berkenaan secara pinjaman bank.

“Saya berasa amat marah dan rasa tertipu dengan sikap pemaju yang lepas tangan selepas menerima bayaran pembeli. Saya sudah mula membayar cukai pintu dan menjelaskan bayaran rumah secara berperingkat sejak 2005.

“Kami pembeli kediaman di Taman Pinggiran Felda tidak akan berdiam diri dan tindakan sewajarnya akan diambil ke atas pihak pemaju serta mana-mana organisasi terbabit dalam kes penipuan ini, selain menuntut ganti rugi,” katanya.

Ahmad Komari, 47, berkata, pihak berkuasa dan pihak berwajib diharap dapat campur tangan sekali gus bersama pembeli menyelesaikan kemelut yang dihadapi sejak berbulan lamanya secara segera.

“Saya menuntut pihak berkuasa dan berwajib supaya tidak berdiam diri dengan permasalahan yang dihadapi sekali gus mengambil tindakan ke atas pihak yang mengambil kesempatan serta menipu.

“Segerakanlah kerja pemasangan meter air dan elektrik di samping memastikan kepada kami bangunan itu selamat untuk diduduki kerana bayaran sudah lama dibuat,” katanya.

ADUN Gemas sudah hubungi pemaju

Pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas di bawah pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Zainab Nasir sudah sedia maklum dengan permasalahan dihadapi pembeli rumah teres di Taman Pinggiran Felda.

Zainab yang juga Exco Kerajaan Negeri ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah sedia maklum dengan aduan dibuat pembeli yang memohon campur tangan wakil rakyat dalam menyelesaikan permasalahan berkenaan.

Menurutnya, wakil pemaju ada memberitahunya bahawa mereka berjanji akan menyelesaikan masalah terbabit dengan menjelaskan pembayaran bagi menyempurnakan pemasangan meter untuk kemasukan air dan elektrik di setiap rumah ketika dihubungi.

:“Bagaimanapun saya tidak menyangka proses itu langsung tidak dilakukan oleh pihak pemaju yang dipertanggungjawabkan.

“Saya difahamkan melalui aduan dibuat bangunan kediaman yang sudah hampir siap 100 peratus berdekatan Felda Sungai Kelamah ini masih belum diduduki,” katanya.

Beliau berkata, pemaju tersebut bersikap licik dan sehingga kini masih tiada lagi sebarang proses dibuat supaya pembeli dapat menduduki rumah yang dibeli mereka pada sekitar tahun 2005.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story4677242.asp

20090915

PEMBELI KECEWA PROJEK TERTANGGUH

Sinar Harian 15 Sep 09

TAMAN ANGGERIK , Port Dickson – Setiap kali menjelang Syawal, 40 pembeli rumah di Taman Anggerik hanya mampu berangan-angan untuk beraya di rumah kediaman sendiri.

Hal ini kerana rumah mereka yang dijanjikan siap dibina dalam tempoh tiga tahun selepas dibeli pada 2000, bukan saja gagal disiapkan malah terus terbengkalai sehingga kini.

Ketua Ahli Jawatankuasa (AJK) Bertindak Taman Anggerik, Rohaizad Yacob berkata, pembeli membeli rumah itu lapan tahun lalu dan menandatangani perjanjian jual beli yang menyatakan kediaman berkenaan bakal disiapkan dalam tempoh 36 bulan.

Menurutnya, selepas sembilan tahun, bukan saja rumah gagal disiapkan, malah ia terus terbengkalai.

“Bayaran bank pembelian rumah tetap dipotong tetapi kami hanya mampu melihat semak samun dan struktur bangunan tidak siap.

“Akibat terlalu lama terbengkalai, kos untuk membaiki semula rumah ini dianggarkan meningkat kepada RM15,000 berbanding hanya tinggal RM1,000 sewaktu sewaktu mula-mula projek ini terhenti.

“Hal ini kerana rumah itu sudah siap 60 hingga ke 80 peratus. Namun akibat terlalu lama terbengkalai ia dijadikan sebagai sumber rezeki kepada penjenayah dengan mencuri komponen-komponen rumah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tapak projek berkenaan.

Rohaizad berkata, selain masalah rumah terbengkalai, terdapat juga satu lagi masalah lain di mana sebuah rumah mempunyai tiga nama dan ketiga-tiga mereka membuat bayaran deposit.

“Malah ada juga pembeli yang membuat bayaran deposit kabinet dapur dan kelengkapan lain.

“Rata-rata pembeli rumah di sini berpendapatan sederhana dan permasalahan ini amat membebankan kami semua ditambah dengan kos perbelanjaan sekarang yang semakin meningkat,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati banyak rumah terbengkalai runtuh sebahagian daripada atap dan binaannya serta dipenuhi dengan semak samun yang menjadi pusat pembiakan binatang bisa, nyamuk, tikus dan sebagainya.

Tinjauan yang dibuat bersama pembeli juga mendapati tempat ini dijadikan sebagai markas menghidu gam kerana terdapat botol gam ditinggalkan.

Pakaian juga dijumpai menunjukkan tempat ini aktif dijadikan kawasan sarang maksiat.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story4675007.asp

20090913

Perumahan Terbengkalai di Bagan Pinang , N.Sembilan

PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI TAHUN 1990 SEHINGGA 30 APRIL 2009

Taman Crystal Bersatu , Port Dickson
Pemaju : Maju Properties Sdn. Bhd.

Taman Anggerik , Pekan Si Rusa , Port Dickson
Pemaju : Smart Project Sdn. Bhd.

Green View Resort Homes, Port Dickson
Pemaju : Eurodec Development Const. Sdn. Bhd.

Sumber http://www.kpkt.gov.my/kpkt/fileupload/terbengkalai/Senarai_Projek_Terbengkalai_Sehingga_300409.pdf

20090910

MB persalahkan swasta punca perumahan terbengkalai di N.Sembilan

Rumah terbengkalai milik swasta
Sinar Harian 10 Sep 09

SEREMBAN – Projek rumah terbengkalai adalah projek diusahakan swasta dan bukan Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun begitu, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif bersesuaian bagi memulihkan beberapa buah projek rumah terbengkalai.

Menurut beliau, projek rumah terbengkalai bukan mudah diuruskan memandangkan Kerajaan Negeri tidak mempunyai kapasiti untuk memulihkan keadaan itu.

“Rumah terbengkalai bukan kerajaan punya projek, satu pun bukan kena mengena dengan Kerajaan Negeri. Ia adalah projek yang diusahakan pihak swasta. Kita telah mengambil (alih) beberapa projek untuk disiapkan.

“Dalam bulan raya nanti kita akan serahkan kunci di Taman Senawang, dan Taman Pelangi pun kita uruskan.

“Projek terbengkalai ini bukan sesenang yang kita lihat, ada yang melibatkan pengurusan yang kompleks,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri, semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga sedang mengusahakan memulihkan projek terbengkalai sebaik mungkin.

“Kerajaan cuba sedaya upaya memulihkan projek terbengkalai yang kita boleh pulih. Tetapi ada juga projek yang langsung kita tidak boleh pulihkan, jadi kena kenal pasti keadaan tersebut.

“Kita telah pulihkan lima projek, yang lain kita sedang usahakan supaya ada orang yang boleh pulihkan. Kita tidak ada kapasiti untuk memulihkan projek terbengkalai,” katanya.

Walau bagaimanapun, Mohamad berkata, projek rumah terbengkalai akan dapat diselesaikan dengan baik sekiranya ada agensi atau syarikat yang berminat memulihkan projek tersebut.

“Tetapi melalui agensi kerajaan ataupun ada syarikat yang berminat, kita akan memberi kemudahan dan galakan, permudahkan kerja memulihkannya,” katanya.

Beliau menambah, projek rumah terbengkalai bukan berpunca daripada kegawatan ekonomi tetapi ia berlaku sebelum zaman gawat, ditambah sikap kurang prihatin pemaju.

“Ada beberapa isu selain gawat, sebelum itu pun ada yang terbengkalai kerana ada pemaju yang tidak berfikir betapa susah menjadi pemaju, banyak terbengkalai atas sebab persendirian.

“Apabila gawat pada tahun 1997, banyak menyebabkan projek terbengkalai,” katanya.

Kerajaan Negeri juga perlu mengenal pasti kategori setiap projek rumah terbengkalai sebelum mengambil apa-apa tindakan memandangkan ada yang melibatkan proses perundangan yang rumit.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story4629512.asp

20090829

Pembeli Taman Selasih tunggu kunci rumah

Berita Harian 28 Ogos 2009

SAYA adalah pembeli projek taman perumahan yang dimajukan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Seperti sedia maklum, syarikat ini diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan yang menjadi alasan kukuh kenapa saya dan pembeli lain teruja untuk membeli rumah di Taman Selasih, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Namun begitu, entah di mana silapnya projek yang dijadualkan siap pada 2007 itu hanya siap pada awal tahun ini dan sehingga kini kami masih tidak dapat menduduki rumah itu.

Masalahnya hanya satu, yang sehingga kini masih tidak dapat diatasi iaitu tangki air yang menyalurkan bekalan air kepada taman perumahan ini masih belum siap.

Beberapa panggilan telefon dibuat kepada SPNB, namun jawapan yang diberikan amat mengecewakan.

Mereka hanya berjanji untuk menyelesaikan perkara itu secepat mungkin tetapi masih tiada kerja dijalankan sehingga ke hari ini.

Majlis penyerahan kunci diadakan pada 31 Mei lalu dan SPNB berjanji taman itu boleh diduduki sebelum bulan ini.

Namun, sehingga hari ini semua masih kabur. Bukan niat saya dan pembeli lain menuding jari menyalahkan mana-mana pihak kerana kami memahami kelewatan mungkin berpunca daripada faktor luaran lain yang di luar jangkaan tetapi memandangkan tiada usaha atau sebarang makluman secara bertulis kepada kami menyebabkan kami buntu.

Besar harapan kami untuk menduduki rumah berkenaan secepat mungkin memandangkan bayaran ansuran pinjaman dan pembiayaan kepada pihak bank sudah bermula beberapa tahun lalu.

Untuk makluman juga, rata-rata pembeli bukan daripada golongan yang berkemampuan untuk membayar ansuran pembiayaan, pinjaman dan bayaran rumah sewa sekali gus.

WAKIL PEMBELI
TAMAN SELASIH,
Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Surat/20090828005401/Article/index_html

20090805

Penduduk kesal pemaju lepas tangan


Sinar Harian 5 Ogos 2009

LUBOK CHINA - Penduduk di sini melahirkan rasa kecewa dan kesal kerana projek perumahan yang sepatutnya siap November 2005, masih terbengkalai sehingga kini.

Pelbagai cara dan usaha dilakukan penduduk namun masih menemui jalan buntu apabila pemaju perumahan seolah-olah lepas tangan.

Masalah yang dihadapi penduduk di sini pernah disiarkan Sinar Harian keluaran 11 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Taman Desa Indah Lubok China, Ibrahim Mahat berkata, perkara ini sudah lama dibangkitkan dan pihaknya telah pergi ke agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk menangani masalah ini namun jawapan yang diterima adalah diminta bersabar dan menunggu siasatan dilakukan.

Menurutnya, memandangkan tahun ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan maka pihak yang berkenaan perlu mengambil saranan ini sebagai langkah proaktif menyelesaikan masalah penduduk.

“Jangan pinggirkan penduduk kampung seperti kami, tolonglah pantau dan tinjaulah masalah yang kami hadapi ini kerana sampai bila kami harus menunggu tanpa mengetahui perkembangan sebenar projek yang terbengkalai ini,” katanya.

Ibrahim berkata, projek ini menyebabkan masalah lain turut timbul akibat keadaan rumah separuh siap itu dibiarkan tanpa penjagaan bertahun lama.

Menurutnya, ia bukan lagi semak-samun malah kawasan perumahan itu kini sudah menjadi seperti belukar dan dipenuhi air bertakung yang menggalakkan pembiakan nyamuk Aedes selain berlakunya tanah runtuh.

“Kawasan ini juga berdekatan dengan Rumah Rakyat Lubok China dan hanya beberapa meter dari rumah penduduk.

“Perkara ini amat membimbangkan penduduk sekitar kerana mereka turut mendapat kesan akibat projek ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya meminta jasa baik agensi kerajaan yang berkaitan supaya turun membantu menyelesaikan kemelut yang melanda pembeli di sini walaupun pihaknya menyedari projek ini adalah projek syarikat swasta.

“Kami amat mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak untuk tangani masalah ini. Kami akan berpuas hati sekiranya kami dapat mengetahui status dan keputusan mengenai projek terbengkalai itu bila akan diteruskan,” katanya.

Seorang lagi pembeli, Isah Ayub yang mewakili suaminya berkata, sehingga kini dia masih membayar ansuran rumah RM341.52 sebulan walaupun projek itu masih tiada perubahan kerana jika tidak membayar akan dikenakan tindakan mahkamah.

“Mahu tidak mahu kena juga bayar. Apa yang merunsingkan saya sekarang ialah keadaan suami yang tidak sihat, saya pula tidak bekerja.

“Saya bimbang jika suatu masa nanti menghadapi kesukaran untuk membayar apatah lagi rumah itu belum siap dan sekarang kami sekeluarga tinggal di rumah kampung kerana masih menunggu rumah ini siap,” katanya.

Menurutnya, kesabaran mereka seolah-olah teruji dengan keadaan seperti ini kerana bukan setahun dua masalah ini diajukan tetapi lebih daripada itu.

“Cubalah tengok keadaan rumah itu sekarang, langsung tiada perubahan malahan bertambah teruk dan tidak boleh diduduki lagi,” katanya.

Isah berkata, keadaan ini sangat mengecewakan kerana banyak pihak bersikap sambil lewa dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.

Katanya, walaupun perkara ini sudah lama tetapi pembeli yang terlibat tetap akan berjuang untuk mendapatkan hak mereka.

“Kami memohon menyegerakan projek ini dan prihatin dengan keadaan kami. Kami bukannya orang senang untuk membawa masalah ini ke sini sana.

“Jika pihak yang bertanggung jawab tidak membantu kami siapa lagi kami boleh minta tolong,” katanya.

Bagi pasangan suami isteri, Anas Haiza Hamid dan Norsherina Husin, perkara yang mengelirukan mereka adalah rumah belum didirikan lagi dan yang ada cuma tapak tetapi hak milik tanah sudah bertukar kepada mereka sedangkan tidak semua pembeli yang mendapat tukar hak milik tanah ini.

Menurut Norsherina, perkara ini telah dibawa ke Pejabat Tanah untuk mengetahui keadaan sebenar namun jawapan yang diberikan adalah dia beruntung kerana mendapat tanah secara percuma dan kini perlu membayar cukai tanah.

“Saya pun hairan apabila hak milik tanah ini sudah bertukar padahal rumah belum dibina lagi dan hal ini menjadi tanda tanya kepada pembeli yang lain,” katanya.

Norsherina berkata, sudah sembilan tahun dia sekeluarga menyewa rumah sementara menunggu rumah ini siap namun kini harapan untuk tinggal di rumah sendiri nyata hanya tinggal harapan.

“Saya berharap projek perumahan ini dapat dijalankan dengan segera kerana sampai bila lagi kami mahu hidup menyewa dan terus menunggu sedangkan anak-anak semakin membesar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Lubok China, Ismail Md Jan ketika ditemui berkata, keadaan yang menimpa penduduk terutama pembeli amat dikesalkan dan memohon pihak yang bertanggungjawab agar memberi keputusan yang pasti kepada pembeli.

“Saya bersimpati dengan apa yang dialami mereka kerana perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku sehingga menjejaskan kehidupan penduduk di sini,” katanya.

Ismail berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dimohon memantau keadaan seperti belukar di situ dan menjadi tempat pembiakan nyamuk selain menjadi tempat haiwan berbisa tinggal yang membahayakan kesihatan dan keselamatan penduduk setempat.

“Justeru, tidak hairanlah kawasan Rumah Rakyat Lubok China ini mencatatkan kes demam denggi yang tinggi jika dilihat persekitaran kawasan yang tidak selamat dan tidak dijaga.

“Saya ada menghubungi Jabatan Kesihatan untuk membantu menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk ini tetapi mereka tidak mampu untuk memantau keseluruhan kawasan itu,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story3018274.asp